TERKINI :

Saturday, January 16, 2016

Lelaki pijak al-Quran dan sepahkan telekung kerana alami tekanan perasaan - Polis


LUMUT: Seorang lelaki yang mengaku mengalami gangguan jiwa dan tekanan perasan akibat dibelenggu hutang dengan along bertindak di luar kawalan apabila membuat kacau di sebuah masjid di Lekir, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek yang berumur 33 tahun masuk ke dalam Masjid Ar-Raudah, Batu 7 kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum bertindak membaling semua al-Quran dan kitab yang ada di rak.

"Selain itu suspek juga memijak al-Quran di lantai dan menyepahkan kain telekung serta sejadah.

"Selain masalah hutang dengan along suspek juga mengakui mempunyai masalah perbelanjaan keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Tengku Mohd Zailan berkata perbuatan suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid selama 15 minit.

Katanya polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 2.45 petang hari yang sama dan kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Pengerusi masjid Abdul Rani Hashim,64, berkata kehadiran suspek ke masjid itu disedari beberapa pekerja pembinaan di perkarangan rumah ibadah tersebut, namun tidak mengesyaki sebarang kelakuan pelik.
"Seorang kariah masjid yang baru lepas mengambil wuduk kemudian terkejut melihat ruang solat utama dan bahagian solat wanita berselerak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om pula kesal dengan kejadian itu dan berharap jawatankuasa surau atau masjid dapat meningkatkan rondaan untuk mengelak insiden sama berulang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...