TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

Lebih 45 peratus tak setuju kerjasama PAS-Umno

 
Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) November lalu di Selangor mendapati Lebih 45 peratus responden tidak bersetuju dengan kerjasama antara PAS dengan Umno.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata dengan keputusan tersebut menunjukkan kerjasama itu tidak akan memberi sebarang manfaat kepada nasib orang Melayu di negara ini.

Malah katanya, perkara itu dikhuatiri menyebabkan perpecahan susulan kemarahan penyokong PAS terhadap parti pemerintah masih menebal lapor Sinar Harian.

“Kalau berlaku pertandingan antara PAS dan Umno, pengundi PAS akan mengundi PAS (manakala) pengundi Umno akan mengundi Umno…

“Kalau itu (kerjasama) berlaku saya melihat, pilihan raya nanti yang rugi adalah PAS, maklumlah Umno ini masalah dalamannya nak beri kerusi pun bergaduh berhabis-habisan, apatah lagi nak beri kepada orang lain.

“Kita tahu sejarah Umno ini, bercakap perpaduan Melayu pun dia tersepit juga. Saya nampak sama saja, penyokong Umno tetap Umno, penyokong PAS tetap PAS, tidak akan berlaku penyokong Umno akan menyokong Pas dan sebaliknya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, penolakan akar umbi terhadap kerjasama itu disebabkan sejak dahulu lagi perjuangan Umno terhadap nasib orang Melayu tidak menyerlah, sekali gus sukar meyakinkan semua pihak mengenai penyatuan kedua-dua parti itu.

Menurut kaji selidik IDE lagi, walaupun penyokong Umno marah kepada pemimpinnya kerana soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan harga barang, namun mereka tetap setia kepada parti Melayu itu.

“Bukan kerana penyelewengan atau marah, penyokong PAS atau Umno, itu semua (isu) tidak menjejaskan sokongan mereka terhadap parti masing-masing.

“Kalau PAS mengharap jika krisis ini mereka (orang Umno) akan menyokong PAS, berdasarkan kajian saya tidak (berlaku). Mereka tetap (dengan Umno) walaupun mereka tak puas hati dengan 1MDB dan kenaikan harga barang,” dakwanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...