TERKINI :

Tuesday, January 12, 2016

Kuala Nerang - Duhai YB & MB...nie Titi gantung semakin reput dah nie...!!!

Titi gantung semakin reput

KUALA NERANG - Petani di Kampung Seberang Pengkalan Kiak meminta pihak berkenaan membaiki semula titi gantung di kawasan itu supaya dapat digunakan oleh orang ramai.

Petani mendakwa titi gantung itu sering digunakan mereka sebagai laluan singkat untuk membawa keluar hasil tanaman dari kebun mereka.

Petani, Abdullah Ahmad berkata, sebelum ini, penduduk sering menggunakan titi gantung berkenaan untuk ke jalan utama.

Menurutnya, akibat strukturnya semakin mereput, titi gantung berkenaan tidak lagi digunakan menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan yang agak jauh untuk ke kebun.

“Kawasan seberang itu hanya terdapat dusun dan ladang getah, pemilik kebun terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke kebun mereka bagi membawa hasil buah-buahan dan menoreh getah.

“Ada juga penoreh yang sanggup menanggung risiko untuk menggunakan jalan berkenaan kerana lebih singkat. Akibat lantai titi berkenaan semakin mereput kami takut penoreh yang melaluinya terjatuh dalam sungai,” katanya.

Manakala, penduduk, Osman Mat, 56, berkata, titi gantung itu sudah berusia 30 tahun dan perlu dibaik pulih kerana bahaya untuk digunakan.

Jelasnya, jambatan sepanjang 80 meter itu merupakan jalan pilihan ke Bukit Kura kerana lebih dekat berbanding menggunakan Jambatan Kuala Tekai yang terletak sejauh tiga kilometer dari kampung berkenaan.

“Titi gantung itu juga merupakan aset pelancongan di kawasan itu kerana semasa masih beroperasi, ramai orang luar gembira melaluinya terutamanya ketika musim buah-buahan.

“Bagaimanapun, kini kawasan itu sudah terbiar dan tidak terurus hingga ditumbuhi pokok liar. Struktur binaan yang semakin reput itu pernah menyebabkan seorang penunggang motosikal jatuh ke dalam Sungai Padang Terap ketika melaluinya,” katanya.

Osman berkata, pengusaha ladang merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membaikinya semula titi berkenaan atau membina jambatan baharu yang lebih kukuh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Seberang Pengkalan Kiak, Syed Azni Syed Omar berkata, pihaknya sudah memaklumkan masalah itu kepada Jabatan Pengaiaran dan Saliran (JPS) Padang Terap serta Pejabat Daerah Padang Terap.

“Difahamkan masalah itu sudah pun mendapat perhatian dua agensi berkenaan dan serta Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...