TERKINI :

Thursday, January 28, 2016

Krisis Tabung Haji : Adakah ia salah DAP untuk mengancam MELAYU..??

Krisis Tabung Haji : Jadi siapa sebenarnya ancam Melayu?

krisis tabung haji

LEMBAGA Urusan Tabung Haji bukan sekadar institusi yang menguruskan hal ehwal ibadat haji, lebih jauh dari itu, ia memiliki nilai sentimental dan emosional umat Islam negara ini khusus bagi mereka yang mahu menunaikan rukun Islam kelima itu di Mekah.

Namun, di saat negara menghadapi cabaran kewangan kritikal penyusutan mata wang, terrorisme dan imperialisme ekonomi melalui TPPA, mungkinkah sebuah institusi yang dipercayai lebih empat dekad lalu, Tabung Haji bakal dan telah menerima goncangan sama?

Krisis kewangan melibatkan nilai rizab negatif Tabung Haji yang didedahkan melalui surat dari Bank Negara membuka mata ramai pihak wujudnya kelemahan ketara urus tadbir dan perancangan institusi kewangan itu menguruskan amanah hampir 9 juta pencarum umat Islam negara ini.

Dalam surat bertarikh 23 Disember 2015 seperti didedahkan The Malaysian Insider, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan dividen kepada pendeposit jika nilai aset kurang daripada jumlah semua obligasinya.

Gabenor Bank Negara itu dalam surat berasingan memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji yang boleh memberi kesan kepada kerajaan.

Ini bermaksud, Tabung Haji tidak mampu untuk membayar dividen kepada pencarum tahun ini melainkan pindahan dana awam dari kerajaan kepada mereka. Dan mungkin sebab itu, dalam maklum balasnya, Pengerusi Tabung Haji dengan sukacita berkata dividen akan diberi selewat-lewatnya Mac ini.

Apapun alasan Tabung Haji, mereka tidak boleh lari dari hakikat bahawa institusi kewangan itu terpaksa menanggung kesan dan risiko akibat pengurusan kewangan yang lemah.

Ancaman sebenar

Sudah tentu, kegawatan pengurusan kewangan Tabung Haji menjadi ancaman dalaman terhadap kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini; terus kepada batang hidung kita.

Timbul persoalan lain, adakah kerajaan benar-benar menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam di negara ini sedangkan, dalam ruang yang berbeza, UMNO melambak pelbagai dongeng ancaman luar terutama DAP terhadap kepentingan orang Melayu dan Islam negara ini.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri yang menempelak sikap baling batu sembunyi tangan UMNO dengan memangsakan DAP kononnya menjadi ancaman terhadap Melayu dan Islam.

“UMNO sekarang sibuk bercakap mengenai ancaman yang imaginary seperti ‘Cina ambil alih, DAP ambil alih itu ini, tapi hakikatnya Tabung Haji melibatkan kepentingan orang Melayu Islam secara diuruskan mereka!

“Ini menunjukkan kualiti pengurusan kononnya ‘orang Melayu’ ke atas -institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu, buruk,” katanya.

Malah, beliau kesal keana UMNO pejam mata dengan segala kemelut bukan sahaja melibatkan Tabung Haji tetapi juga agensi kerajaan lain yang ada hubung kait terus dengan kepentingan orang Melayu dan bumiputera seperti Tanah Rizab Melayu, Felda, Risda, Fama, Tekun dan sebagainya.

“Semua tuduhan ancaman DAP terhadap kepentingan orang Melayu dan Islam tidak benar. Itu sekadar ‘ancaman khayalan’. DAP mempunyai sikap righteous defiance, anti pencabulan kuasa, anti rasuah, anti perbuatan zalim,” katanya.

Cereka khayalan ini, meski tidak bersandar pada fakta benar, dihadam dan menjadi perosak kepada minda, persepsi dan menumbuhkan kesumat pada sebahagian orang kita. Gila.

Apapun dakwaan terhadap DAP, parti ini diakui mahu menjadikan dirinya sebagai wadah perjuangan kepada seluruh lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, budaya, agama, geografi dan bahasa.

Semua salah DAP?

Kes demi kes yang melanda Tabung Haji melibatkan kepentingan Melayu dan Islam bukti kelemahan mengurus institusi, bukan bank itu. Ya, sudah tentu bukan salah DAP. Tapi, yang menyedihkan, DAP pula mendapat nama buruk akibat dituduh mengganggu gugat kepentingan Melayu-Islam.

Tohmahan itu benar-benar tidak waras, namun, dengan mesin propaganda media arus perdana, orang yang waras boleh bertukar sebaliknya apabila menyentuh isu DAP. Ini satu kejayaan perang persepsi yang diciptakan sejak wujud rangkaian televisyen dan persuratkhabaran tanah air pasca merdeka.

Ambil beberapa contoh. Semalam TPPA yang bakal mengikat Malaysia dengan kuasa Amerika Syarikat diluluskan oleh kerajaan UMNO-BN. Seramai 127 Ahli Parlimen BN dan pro-BN menyokong perjanjian TPPA itu manakala 84 Ahli Parlimen pembangkang termasuk DAP menolaknya.

Siapakah yang menggadaikan kepentingan Melayu dan negara?

Bagaimana pula skandal RM2.6 bilion dan kes pemindahan dana dari SRC sebanyak RM42 juta ke akaun Perdana Menteri? Adakah DAP juga yang menjual hartanah negara Bandar Malaysia kepada kerajaan China?

Tanah Rizab Melayu yang diwariskan British sebelum berambus dari Malaya semakin berkurangan. Daripada tiga juta hektar kini hanya berbaki sekitar 11.9 peratus sahaja. Persoalannya, siapakah yang mempunyai kuasa menggadai tanah-tanah ini?

Bukankah UMNO yang menggugat kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sehingga kedudukannya sebagai bahasa rasmi dirombak melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)?

Siapakah yang menghancurkan Bank Bumiputra yang diilhamkan untuk menjaga kepentingan Melayu selepas ditubuh pada 1965 untuk memberi kemudahan kewangan kepada bumiputera mengusahakan perdagangan dan perusahaan?

Siapakah yang mendera ekonomi majoriti rakyat Melayu di Terengganu dan kini di Kelantan begitu juga Sabah dan Sarawak, apabila wang royalti pertroleum di rompak?
Ini hanya sebahagian kecil pengkhianatan UMNO terhadap kepentingan orang Melayu. Masih banyak lagi yang dapat kita senaraikan.

Paling menyedihkan, sebahagian kita masih terperangkap dengan romantisme 13 Mei 1969 mengaitkan Lim Kit Siang meskipun pada waktu berkenaan, Ketua Parlimen DAP itu berada di Kota Kinabalu, Sabah. Segala tohmahan itu semata-mata fitnah, berniat jahat untuk menutup segala kecacatan UMNO yang melancarkan kudeta terhadap pemimpinnya sendiri ketika itu Tunku Abdul Rahman.

DAP hanya ancam kejahatan

Persoalan sama ada DAP mengancam Melayu atau Islam tidak timbul sama sekali. DAP menghormati hak asasi dan kebebasan agama, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

DAP tidak juga anti-Melayu atau anti-Islam, DAP hanya anti-rasuah dan salah guna kuasa.

Pulau Pinang menjadi contoh terbaik membuktikan hanya dengan polisi baik dan berintegriti mampu mengangkat keadilan di setiap lapisan masyarakat. Sejak menggantikan BN, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri memastikan umat Islam mendapat layanan dan pembelaan sewajarnya.

Ini dapat dilihat melalui pelbagai usaha termasuk menambah peruntukan kewangan berkali-kali ganda berbanding pemerintahan UMNO BN, melaksanakan tender terbuka sekaligus menggalakkan ramai kontraktor Melayu- Islam yang layak memenangi projek tanpa perlu kabel politik. Semua ini dilakukan tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.

Jadi, persoalan yang harus kita jawab sekarang, siapa sebenarnya yang ancam siapa? -Roketkini.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...