TERKINI :

Saturday, January 9, 2016

Kertas siasatan RM2.6 bilion dikaji dengan teliti

Mohamed Apandi Ali
KUALA LUMPUR - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi jaminan beliau akan mengkaji secara teliti kertas siasatan mengenai kes SRC International Sdn Bhd dan derma politik RM2.6 bilion yang diserahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata bukti telah diperoleh daripada lebih 100 saksi berhubung kes berkenaan.

"Ia bukan hanya satu fail. Jadi, saya perlu mengkajinya dengan teliti," katanya kepada pemberita pada perasmian Tahun Perundangan Negara 2016 di sini, hari ini.

Dalam kenyataan pada 31 Disember lepas, SPRM berkata ia sudah menyerahkan kertas siasatan kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara pada hari yang sama.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Mohamed Apandi berkata perlu ada keseimbangan antara hasrat melaksanakan akauntabiliti dan ketelusan berbanding keperluan mengekalkan kerahsiaan maklumat rasmi yang sensitif daripada orang awam.

Ini bagi mengelak berlakunya salah guna terutamanya dalam isu dan kes berprofil tinggi, sensitif dan kompleks, katanya.

Beliau mengingatkan hadirin pada majlis itu bahawa Pejabat Peguam Negara, sebagai sebahagian daripada perkhidmatan awam Malaysia yang ada kaitan dengan politik, terikat dengan kekangan undang-undang mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ia juga perlu mematuhi arahan dalaman serta menyimpan rahsia tertentu dan peruntukan kerahsiaan seperti terkandung dalam undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

"Tanpa mengambil kira sikap berdiam diri kami apabila berdepan dengan media dan orang awam, saya dan Pejabat Peguam Negara mendapati kami terpaksa berbuat demikian semasa menangani beberapa kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...