TERKINI :

Sunday, January 3, 2016

Kerajaan perlu putuskan semua hubungan dengan Israel

ROMPIN - Bantahan kepada Israel oleh kerajaan hendaklah dilihat secara keseluruhan dan konsisten iaitu bukan sekadar dalam isu atlet sukan luncur angin Israel semata-mata hingga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin boleh menafikan dua visa atlet berkenaan.

Pengerusi Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM), Muhammad Syafiq Azmi, berkata, jika tindakan tegas sedemikian mampu dilakukan, beliau juga dilihat mampu untuk menasihati pihak berkaitan bagi meneliti hubungan dagang antara Malaysia dan Israel.

Beliau turut mendesak agar ketegasan terhadap Israel itu bertitik mula disini dengan kerajaan bertindak memutuskan semua urusan dengan Israel kerana ia bukan sahaja mengguris hati umat Islam di Malaysia, malah telah melukai ramai rakyat Palestin kerana sikap bermuka-muka.

“Mengikut rekod semakan melalui kenyataan dari sebuah akhbar, kerajaan mengakui wujud hubungan dagang dengan Israel. Alasan yang diberikan ialah amat sukar untuk mengasingkan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel. Selain itu juga, pada Mei 1994 melalui Parlimen telah meluluskan Akta Larangan Import (pindaan bil. 7) dengan Malaysia menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

“Menurut laporan rasmi akhbar Times of Israel bertarikh pada 14 September 2014 pula, Biro Pusat Perangkaan Israel mendedahkan secara rasmi hubungan perdagangan Malaysia dan Israel cukup besar serta memberangsangkan namun tidak begitu menonjol sehingga Israel menggambarkan jumlah perdagangan antara Israel dengan Malaysia adalah sesuatu "kegembiraan yang mengejutkan",” katanya kepada Sinar Harian.

Sebuah laman sesawang www.worldrichestcountries.com telah menyenaraikan Malaysia ditangga ke-19 dalam senarai antara negara yang mewakili dalam memperluaskan peluang eksport Israel sekitar tahun 2010 hingga 2014.

Laman sesawang itu turut menyenaraikan Malaysia berada di tangga kedua dalam mengimport alatan elektronik dari Israel di belakang Amerika Syarikat yang menduduki tangga pertama.

Berdasarkan laporan berkenaan, beliau yang bertugas sebagai Setiausaha Politik Pengerusi Amanah Melaka itu turut menggesa rakyat Malaysia perlu bersama meneliti sejauh mana kesungguhan kerajaan dalam menunjukkan pendirian sebenar mereka terhadap Israel.

“Benar dalam urusan pasport kita menunjukkan penolakan terhadap kewujudan negara Israel, tidak kurang dengan tiada kedutaan Malaysia di Tel Aviv dibuka dan begitu juga dengan kedutaan Israel di sini.

“Namun ia tidak melambangkan kesungguhan kita kerana terus menjalinkan hubungan ekonomi sekian lama. Janganlah kita bersikap selektif dalam membuat kenyataan atau pendirian. Bukan untuk menidakkan usaha YB Menteri, tetapi di sana ada lagi solidariti yang lebih penting perlu ditunjukkan Malaysia terhadap Israel,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...