TERKINI :

Tuesday, January 26, 2016

Kemelut politik Kedah, tunggu esok!

MUHAMAD MAT YAKIM 26 JANUARI 2016

Seorang pemimpin Umno negeri yang saya hubungi tengah hari semalam, berkata: “Tunggulah sehari dua saja lagi ...”

Pada ketika isu ini diletupkan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menerusi sidang akhbar di Hotel Grand Alora, Alor Setar petang Rabu lalu, ramai yang menjangkakan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno negeri, akan segera berakhir. Namun apabila masuk hari kedua dan ada kenyataan susulan daripada mereka yang hadir sidang akhbar itu mendakwa “kami ditipu”, ramai orang - termasuk saya - mulai curiga.

Kesudahan kemelut ini semakin sukar dijangka apabila tersebar berita bahawa yang akhirnya kekal menolak kepimpinan Mukhriz hanya empat daripada 14 ketua Umno bahagian, tidak termasuk Jerlun. Mereka adalah Ahmad Bashah sendiri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Ketua Umno Bahagian Jerai), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling) dan Datuk Johari Baharom (Kubang Pasu). Menyertai kem mereka, Datuk Seri Ghazali Ibrahim (Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap) dan Datuk Ahmad Lebai Sudin (bekas Ketua Umno Bahagian Pokok Sena).

Ini berbeza dengan kenyataan awal Ahmad Bashah ketika sidang akhbar bahawa keputusan untuk menolak kepimpinan Mukhriz telah dicapai secara konsensus oleh kesemua pimpinan Umno bahagian di Kedah. Jerlun yang diketuai Mukhriz sendiri, diwakili naib ketua Umno bahagian, Datuk Othman Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno negeri pada sidang media itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...