TERKINI :

Monday, January 18, 2016

Kedah sasar tajaan RM30j untuk Lang Merah

Kedah sasar tajaan RM30j

KUALA KEDAH - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyasarkan untuk mendapatkan tajaan RM30 juta bagi musim 2016 dalam melancarkan pengurusan dan pembangunan bola sepak negeri.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tajaan itu bukan terhad kepada pasukan Hijau Kuning, sebaliknya termasuk semua pasukan bola sepak negeri seperti Piala Presiden, Piala Belia dan futsal.

“Saya percaya sekiranya jumlah itu dicapai, kita pasti tiada masalah kewangan untuk musim ini,” katanya ketika hadir pada majlis kenduri kesyukuran Nasir Abas, pelari solo yang mengotakan janjinya berlari dari Stadium Shah Alam ke Stadium Darul Aman selepas Kedah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia 2015, di Taman Seri Putera, semalam.

Mukhriz yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tiada pilihan lain selain mempelawa penajaan daripada syarikat korporat memandangkan sumber kewangan negeri yang terhad.

“Dari setahun ke setahun perbelanjaan KFA secara keseluruhan meningkat. Walaupun sumber kewangan terhad, gaji pemain dan pengurusan akan diberi keutamaan supaya tidak berlaku tunggakan,” katanya.

Mengulas penajaan untuk pasukan Hijau Kuning bagi musim 2016, katanya, perkara itu belum dimuktamadkan, sebaliknya masih di peringkat rundingan dengan beberapa syarikat yang menunjukkan minat menaja pasukan Naib Juara Piala Malaysia 2015 ini.

“Buat masa ini, perbincangan masih diteruskan dengan beberapa penaja yang berpotensi termasuk anak syarikat kerajaan negeri (GLC). KFA belum muktamadkan lagi siapa penaja pasukan Kedah, disebabkan itu belum tiba masanya untuk buat sebarang kenyataan,” katanya.

Mengulas desas-desus pasukan Kedah turut diintai jutawan muda, yang juga pengasas D’Herbs Healthy Sdn Bhd (D’Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, termasuk viral tajaan RM35 juta daripada jutawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Mukhriz sebaliknya sekadar mengesahkan beberapa syarikat korporat antara penaja berminat namun enggan mendedahkan secara terperinci.

“Kita bincang dengan semua pihak. Sesiapa sahaja yang yakin dengan prestasi permainan pasukan Kedah yang memberangsangkan, dengan jumlah penyokong yang ramai dan mempunyai produk di mana pasarannya sama dengan penyokong kita, dialu-alukan untuk berunding,” katanya.

Mukhriz berkata, pada masa sama, KFA akan memantapkan aspek pembangunan bola sepak, antaranya dengan menganjurkan latihan, kursus pengadilan, kejurulatihan termasuk mencungkil bakat baharu dan pelapis di peringkat sekolah melalui penganjuran Piala Menteri Besar Kedah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...