TERKINI :

Wednesday, January 6, 2016

Kami tak pernah hukum pimpinan Umno, kata PAS

 Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata kerjasama Umno-PAS tidak boleh dilakukan dalam semua perkara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Januari, 2016.
PAS tidak pernah menghukum pimpinan Umno sama ada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mahupun pemimpin terdahulunya, kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan, menurut Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas kenyataan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya pada Ahad lalu, Nasrudin berkata, kerjasama antara 2 parti Melayu Islam itu harus berlandaskan agama, dan bukannya kaum.

"Masalahnya bukan nak hukum sesiapa, soal hukum itu tak berbangkit, kerjasama itu mesti dibina atas dasar yang betul, kebaikan dan kebajikan rakyat.

"Bukannya atas dasar perkauman, permusuhan dan perkara yang boleh mencetuskan dosa (kerana) setiap seruan bekerjasama itu mesti hanya untuk Islam," beliau dipetik berkata.

Fathul sebelum ini berkata, tidak adil PAS menghukum pentadbiran Najib berdasarkan sejarah pemimpin terdahulu yang gagal dalam melaksanakan dengan baik kerjasama antara parti itu dan Umno.

Katanya, sekalipun tidak bersetuju dengan kerjasama itu, pemimpin PAS tidak sewajarnya menghalang usaha ke arah kebaikan itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Fathul berkata demikian sebagai respons kepada bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa, dalam postingnya di akaun Facebook pada 2 Januari, yang bimbang hubungan baik Umno-PAS akan memberi kesan kepada nasib orang Melayu pada masa depan.

Nasrudin dilaporkan Sinar Harian berkata, jika kerjasama yang dibina adalah atas kepentingan politik dan kebendaan, ia mungkin akan mengakibatkan umat Islam bergaduh sesama sendiri.

"Tak mungkin boleh bersatu atas faktor kebendaan, politik atau perkara lain (kerana) manusia akan bercakaran dan saling mendahulukan kepentingan masing-masing," katanya sambil menambah, kerjasama Umno-PAS tidak boleh digunakan dalam semua perkara. – 6 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kami-tak-pernah-hukum-pimpinan-umno-kata-pas#sthash.QFeuHF2n.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...