TERKINI :

Sunday, January 24, 2016

Jangan heret Tuanku Sultan dan Rakyat dalam Komplot Guling Mukhriz sebagai MB Kedah

Kenyataan Media.

JANGAN HERET TUANKU SULTAN DAN RAKYAT KEDAH DALAM KOMPLOT GULING MUKHRIZ MB

1. Kemelut politik Umno di Kedah telah masuk hari ke 5 sejak dari tarikh sidang media pada 20 Jan 2016. Usaha untuk menggulingkan Mukhriz sebagai Menteri Besar masih belum menampak keberhasilannya. Namun dipercayai usaha berterusan terus digerakkan oleh komplot yang diketuai oleh Dato' Bashah yang didalangi pula oleh tok dalang wayang kulit seri Putrajaya.

2. Apa yang menyedihkan ialah daripada cakap-cakap dan mesej di media sosial, komplot ini cuba mengheret Ke bawah Duli Tuanku Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan untuk meyakinkan rakyat serta menghalalkan tindakan mereka yang mempunyai agenda serang balas terhadap tuntutan supaya Najib berundur.

3. Tindakan komplot terhadap Mukhriz ini adalah ekoran kritikan panas dan tajam Tun Dr Mahathir, bapa kepada Mukhriz terhadap PM Najib. Ia boleh disifatkan seperti kata pepatah pukul anak sindir menantu (satu penampar untuk Mukhriz adalah juga  penendang buat Tun Dr Mahathir).

4. Paparan sesetengah media arus perdana cuba memberikan gambaran seolah-olah tuntutan mengguling Mukhriz adalah daripada rakyat. Ianya bertujuan untuk memberi tekanan kepada Tuanku Sultan mempercepatkan perkenan untuk mengguling Mukhriz daripada jawatan MB. Tindakan ini suatu perbuatan jahat mengheret Tuanku Sultan dalam kemelut Politik dalaman Umno Malaysia dan di Kedah.

5. Tindakan ini dengan harapan mereka boleh mencuci tangan dan diharap rakyat tidak lagi persoalkan Najib dan Pimpinan Umno Kedah kerana ini adalah kononnya Titah Perkenan Tuanku untuk guling Mukhriz. Bagi mereka, kalau rakyat nak marah, marahlah kepada Tuanku Sultan. Manakala Najib serta pimpinan Umno Kedah boleh tidur lena.

6. Saya ingin mengingatkan Najib dan pimpinan Umno Kedah, jangan mengheret Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi maksud menyempurnakan agenda politik permusuhan dalaman Umno dan membersihkan penentang Najib untuk beliau terus berkuasa. Jangan juga mengheret rakyat yang sedang menghadapi kesusahan dan kepayahan hidup akibat daripada kos sara hidup yang tinggi yang disumbangkan oleh kelemahan Najib dalam menguruskan kehidupan rakyat. Jangan heret dan hina Raja dan jangan cabar rakyat.

DAULAT TUANKU, HIDUP RAKYAT!

DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
24 Januari 2016/14 Rabiulakhir 1437H

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...