TERKINI :

Thursday, January 28, 2016

Jangan hampakan 8 juta pendeposit TH

 http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/TABUNG_HAJI_080515_TMINAZIRSUFARI_04.jpg
SURAT yang sepatutnya rahsia itu, bocor lagi, dan segera mencetuskan kebimbangan. Antara kandungan surat yang tersebar di media sosial itu ialah:

“Paras rizab Lembaga Tabung Haji negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini...”

Surat itu bertarikh 23 Disember 2015, datangnya daripada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, ditujukan kepada Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada tarikh sama Gabenor Bank Pusat itu juga mengutus surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menegaskan: “Keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan kerana Putrajaya menjamin sepenuhnya simpanan deposit di Lembaga Tabung Haji.”

Zeti memberitahu Jamil, seperti yang disiarkan satu portal berita: “Disebabkan perkara ini, keberkesanan Lembaga Tabung Haji dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji mungkin terjejas.”

Tentu sekali orang ramai, khasnya kira-kira sembilan juta penyimpan di TH, tersentak dengan berita seperti itu. Pihak pengurusan TH, menerusi Facebook, segera mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa yang tersebar di media sosial.

Spekulasi? Bagi sebahagian besar pendeposit mereka tidak tahu untuk membuat apa-apa spekulasi. Almaklumlah, orang kampung – penoreh getah, pemetik kelapa sawit, pekebun kecil, nelayan, dan lain-lain penyimpan kecil– tidak tahu berspekulasi.

Tetapi mereka boleh faham apabila dikatakan TH mungkin tidak dapat membayar dividen dan bonus seperti tahun-tahun sebelumnya. Tambahan pula sudah penghujung Januari tidak ada berita bila mereka akan mendapat habuan daripada simpanan.

Biasanya setiap awal tahun mereka membawa buku simpanan ke mana-mana pejabat TH atau cawangan pejabat pos untuk mengemas kini angka-angka terkini, termasuk dividen dan bonus. Surat yang terbocor itu memang membimbangkan mereka.

Di tengah-tengah kebimbangan itu, Azeez memberitahu wartawan, pihaknya tidak mengalami krisis kewangan. “Tidak. Itu tidak benar,” katanya mengenai berita yang tersebar di media sosial.

Tetapi, seperti kes-kes TH sebelum ini, pendeposit tidak berapa yakin pada Pengerusi TH itu. Mereka masih ingat kes tahun lalu, TH mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 hektar di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1Malaysia Development (1MDB) untuk membangunkan sebuah menara kediaman.

TH dilaporkan membayar 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli oleh syarikat pelaburan strategik negara itu daripada Putrajaya 5 tahun lalu. Disebabkan tekanan oleh pelbagai pihak TH mengambil keputusan untuk menjual tanah tersebut.

Azeez ketika itu berkata, sekiranya tanah itu hendak dijual semula berebut-rebut ada pihak lain hendak membeli. Namun hingga kini tidak diketahui sama ada tanah 0.64 hektar itu telah berjaya dijual. Azeez tidak pernah menyebut lagi mengenai tanah kontroversi itu.

TH sebagai institusi tabungan Melayu @ Islam memang berjaya mengumpulkan dana dan menjadi salah satu agensi pelaburan Islam yang disegani. Duit pelabur, termasuk orang kampung yang menyimpan RM10 atau RM20 sebulan, telah diuruskan secara profesional dan memberi laba lumayan kepada TH.

Namun, dari semasa ke semasa ada sahaja kedengaran – dan diberitakan – duit pendeposit digunakan dengan cara tidak bijak. Kalau tidak didedahkan oleh pihak tertentu, pembelian tanah RM188 juta itu pun mungkin hangus begitu sahaja.

Apa pun kebimbangan pendeposit mengenai surat BNM mula lega kelmarin apabila TH memberi penjelasan. Orang mungkin tidak berapa yakin pada pengerusinya, tetapi kenyataan dari Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail lebih menyenangkan.

Seperti yang dijelaskan Ismail kedudukan kewangan TH masih kukuh dengan aset tunainya sahaja setakat 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion. Beliau juga memberitahu tidak timbul kelewatan membayar bonus kepada pendeposit sebab kebiasaannya bayaran tahunan itu memang dibuat pada suku pertama setiap tahun (Jan – Mac).

Kata beliau: “TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses audit dilalui dan kelulusan dalaman diperoleh sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik.”

Kenyataan rasmi pengurusan tertinggi TH itu melegakan. Pendeposit kini menunggu dengan penuh harapan untuk melihat angka-angka yang memberangsangkan dalam buku akaun mereka sebelum Mac. Jangan permainkan harapan mereka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...