TERKINI :

Friday, January 1, 2016

IGP: Hak pertahan diri bukan maksud boleh bunuh orang

Hak dan had orang awam mempertahankan diri ketika berdepan dengan kes jenayah bukan sesuatu yang mutlak sehingga ke tahap membunuh penjenayah sewenang-wenangnya, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata orang ramai perlu memahami hak dan had itu seperti termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

"Seksyen berkenaan menjelaskan hak dan had mempertahankan diri yang termaktub, bukan sahaja untuk orang awam malah juga anggota polis sendiri.

"Saya lihat ramai orang tidak tahu had dan hak mempertahankan diri itu, maka Seksyen 99 Kanun Keseksaan menjelaskan dengan jelas setakat mana tahap mempertahankan diri yang boleh digunakan oleh mereka (orang ramai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, di Putrajaya hari ini.

"Kami polis pun ada hadnya. Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak. Jika ada orang nak curi atau samun, kita tidak boleh bunuh mereka sewenang-wenangnya," katanya.

Khalid mengulas isu Zulkifli Ismail, 50, dari Terengganu, yang ditahan reman berhubung dakwaan membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya.

Isu itu diviralkan menerusi laman sosial Facebook Parti Sosialis Malaysia dengan menggunakan tajuk "Selamatkan Zulkifli" dan satu gerakan atas talian untuk menyelamatkan lelaki itu yang berdepan hukuman mati makin mendapat perhatian ramai.

Dalam satu kenyataan mengulas lanjut perkara itu, Khalid berkata Seksyen 99 (4) akta sama pula menjelaskan yang hak pertahanan persendirian tidak sekali-kali termasuk menggunakan kerosakan yang lebih daripada yang perlu dikenakan bagi maksud pertahanan.

Khalid berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dengan penuh profesional berhubung kes Zulkifli dan dua lagi kes yang hampir sama, iaitu mempertahankan diri, yang diviralkan di laman sosial.

"Tiga tertuduh dalam kes berkenaan telah dihadapkan ke muka pengadilan sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya.

Oleh itu, beliau berkata orang ramai dinasihat berhenti menyebarkan dakwaan berhubung kes tersebut tanpa meneliti dan memahami fakta kes sebenar lebih-lebih lagi tanpa mengetahui implikasi perundangan.

-Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...