TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

Hotel bajet bandar utama jadi sarang aktiviti maksiat di Kedah

Hotel bajet bandar utama jadi sarang aktiviti maksiat

ALOR SETAR - Kes jenayah syariah terutama yang membabitkan kesalahan khalwat didapati banyak berlaku dalam kawasan bandar utama di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik), Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, golongan belia khususnya kecundang untuk melawan nafsu dan terbabit dalam kegiatan itu.

Beliau berkata, majoriti yang didapati terlibat ialah remaja berusia sekitar 20-an termasuk pelajar sekolah berusia belasan tahun.

"Tetapi ada juga mereka yang berumur lingkungan 40-an dan ke atas.

"Kebanyakannya dilaporkan berlaku di rumah tumpangan dan hotel bajet yang terdapat di sekitar bandar utama," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Berdasarkan statistik dari Januari hingga Disember tahun lalu, 426 kes direkodkan membabitkan 71 kes di Alor Setar, Langkawi (36), Kubang Pasu (137), Kuala Muda (91) dan Kulim 47 kes.

Namun begitu, kawasan luar bandar juga tidak terkecuali dengan empat kes berlaku di Pendang, Padang Terap (3), Yan (6), Sik (11), Baling (14) dan Bandar Baharu sebanyak enam kes.

Menurutnya, jumlah tangkapan khalwat paling tinggi iaitu 50 kes direkodkan pada bulan Mac, diikuti Januari (42) dan Februari (40).

Bagaimanapun, jumlah kes jenayah syariah bagi kesalahan khalwat pada 2015 menurun 14 kes untuk tempoh sama berbanding 2014 dengan 440 kes.

"Statistik pada 2014 menunjukkan 151 kes berlaku di Alor Setar, Langkawi (28), Kubang Pasu (97), Kuala Muda (38) dan Kulim 66 kes.

"Kawasan luar bandar pula mencatatkan lapan kes di Pendang, Padang Terap (3), Yan (2), Sik (6), Baling (40) dan Bandar Baharu dengan satu kes," katanya.

Sehubungan itu, masyarakat, khususnya golongan remaja diingatkan menjaga akhlak dan kelakuan masing-masing agar tidak terjebak dengan kesalahan berkenaan.

Ahmad Faisol menjelaskan kesalahan khalwat membabitkan mana-mana lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya serta orang perempuan yang didapati berada dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak mereka melakukan perbuatan maksiat.

"Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...