TERKINI :

Thursday, January 7, 2016

Dulu dengan DAP dikatakan "Bertahaluf Siyasi", kini dengan UMNO pula dinamakan "Berta'awun"

Berta'awun: Kenapa Pas mahu jadi penolak kereta mogok sahaja?

ULAS ISU

Parti agama, Pas telah membuat penegasan dan pendekatan baharu dengan Umno di mana pendekatan ini adalah pendirian politik terkini mereka untuk tahun 2016. Pendekatan dimaksudkan itu ialah Pas akan berta'awun dengan Umno. Ta'awun bermaksud membantu dan bergotong royong dengan Umno, untuk kebaikan bersama, dalam aspek agama dan maslahat ummah. Bukan politik?

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Nik Zawawi Nik Salleh. Serentak itu beliau menegaskan Pas tidak sama sekali bertahaluf syiasi, yakni bekerjasama politik dengan Umno. Ertinya arahan dan kebenaran MSU sebelum ini sudah termansuh?

Mungkin ramai yang tidak berapa faham perbezaan antara ta'awun dengan tahaluf syiasi? Dalam pemahaman dan definasi diberikan Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah, ta'awun itu seperti membantu menolak kereta mogok dijalanan bagi meringan dan menyelesaikan masalah dihadapi tuan kereta itu. Bantuan itu bukan bermaksud yang menolak itu bersetuju dengan tuan kereta. Mudah.

Analogi simplistik ini (mungkin) boleh dimaksudkan begini, Pas boleh "tolak kereta" Umno yang mogok tetapi tidak semestinya bersetuju  dengan Umno, apa lagi akan ikut sertai menaiki kereta berkenaan bersama Umno walaupun kebetulan perjalanan orang Umno itu ke masjid? Ertinya Pas setakat membantu Umno dari konteks kemanusiaan sahaja dan tidak mengharap keuntungan spiritual.

Kenapa sikap sebegitu diambil. Apakah Pas tetap juga tidak akan menaiki kereta Umno yang ditolak itu hidup sedangkan ia menuju ke destinasi sama untuk ke masjid? Pegangan Nik Amar ini atau falsafah ta'awun Pas ini boleh diperbetulkan.

Ta'awun demikian adalah berdasarkan kepada maksud untuk membantu demi kebaikan bersama. Ianya diambil setelah mengkaji pelbagai sudut dan keadaan terdesak. Kesedaran dan langkah ini sesuatu yang patut dipuji kerana telah lama ummah di negara ini berkecamukan dan mengalami pelbagai kerugian kerana ketiadaan ta'awun seperti ini.

Bahkan ta'awun seperti ini sudah lama dipraktikan oleh kaum-kaum minoriti lain di negara ini khasnya Cina. Mereka bukan sahaja berta'awun tetapi melakukan lebih daripada itu termasuk tahaluf syiasi yang boleh diistilahkan mereka sangat understanding dalam berpolitik. Dengan understanding demikianlah menjadikan kaum itu kukuh dan megah di negara ini sehingga pula kita kadang-kadang mencemburui mereka.

Nah makanya apabila Pas membuka gapura baharu politik ini ia perlu diberi perhatian. Boleh jadi pendekatan baharu ini ia merupakan aspirasi pimpinan Pas yang baharu yang telah insaf dan kasyaf mengenai masa depan ummah di mana kesannya terabai selama ini?

Secara peribadi saya tidak setuju dengan langkah Pas menggunapakai istilah ta'awun bagi menggantikan tahaluf syiasi yang skopnya lebih luas. Jika Pas ikhlas untuk membangun ummah, Pas tidak hanya perlu setakat membantu, dalam konteks tertentu sahaja tetapi harus sama bekerjasama, berada dalam kerangka yang lebih besar dan global.

Dalam hal ini Pas harus jelaskan sikap dan pendirian mereka. Pas harus meletakkan matlamatnya dan bukan berhelah dengan istilah disebabkan takut kepada ahlinya. Kalau Pas yakin dengan bekerjasama dengan Umno itu baik untuk kepentingan semua, Pas harus berusaha ke arah itu dengan sesungguhnya.

Apa yang penting, apa yang ada dalam jiwa Pas kini, khasnya pimpinan tertingginya. Mereka tidak perlu berjibuh dengan istilah-istilah itu. Seorang yang dikatakan pemimpin, ialah orang yang berani membuat keputusan dan berani pula menanggung segala risikonya. Keberetian sebagai seorang pemimpin ialah melakukan perubahan, reform.

Bagi saya Pas bukan perlu membaiki dan menukar istilah, tetapi yang lebih penting memberi kefahaman kepada ahli tentang kepentingan berkerjasama dengan Umno. Pas kena jelaskan asas-asas yang konkrit. Pas perlu berterus terang dengan apa yang hendak dilakukan. Hari ini orang semua celik dan sudah ada minda sendiri. Apa yang disukai ialah berterus terang, jujur, tegas dan berprinsip.

Penipuan dan kezaliman Umno terhadap Pas selama ini perlu dijustifikasikan oleh pemimpin Pas kini. Ahli dan penyokong mahukan jaminan bahawa Umno tidak jahat seperti dahulu lagi. Untuk memastikan ini mungkin Pas perlu mengadakan perjanjian ala Hudaibiyah dengan Umno. Mengenakan syarat-syarat yang dapat ditanggung kedua belah pihak. Dengan perjanjian itu juga baharu Pas dapat menguji sejauh mana Umno ikhlas seperti mana diucapkan oleh pemimpinnya.

Iya, dalam politik tidak ada perjanjian dan perjanjian dalam politik bukan untuk ditaati, tetapi setidak-tidaknya bila ada perjanjian Pas ada tali untuk pegang dan buat menambat Umno.

Kesimpulan daripada Pas mengambil masa untuk menjelaskan definasi ta'awun kepada ahli diseluruh negara dan dalam masa sama menafikan yang Pas ingin berkerjsama dengan Umno, elok Pas memberi penerangan dan tarbiyah kepada ahli kenapa dan sebab apa Pas perlu berkerjasama dengan parti itu kini. Perlu  rajin memberi kefahaman ini. Usaha Pas untuk menafikan ia tidak akan berkerjsama dengan Umno ia umpama kerja menjirus air ke daun keladi sahaja.

Suka atau tidak suka, Pas berhelah atau tidak, suatu hari nanti Pas tetap perlu menerima hakikat yang parti itu perlu bekerjasama dengan Umno demi masa depan ummah. Dan jika ia dirancang dan disusun dengan teliti dan berhemah ummah akan dapat menerimanya. [wm.kl.1:41 pm 07/01/16]
 
http://msomelayu.blogspot.my/2016/01/bertawun-pas-mahu-jadi-penolak-kereta.html

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...