TERKINI :

Wednesday, January 13, 2016

Duhai "ORANG ATAS".. Keluar dari bilik dingin, lihat sendiri siswa lapar


Baru-baru ini Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Hepa) telah melaporkan isu mahasiswa kelaparan dibuat tanpa pengesahan pihak berwajib universiti kononnya.

Sedangkan menjadi lebih baik jika isu ini sekretariat tersebut sendiri turun padang mencari mahasiswa yang memerlukan sebagai menunjukkan kebertanggungjawaban HEPA terhadap kebajikan mahasiswa.

Tidak cukup sekadar universiti awam mewujudkan mekanisme lapuk menangani masalah kewangan, ditambah kini keadaan ekonomi menekan.

Walaupun terdapat bantuan zakat, tabung kebajikan, dan pinjaman universiti tetapi pada hakikatnya bantuan ini perlu berhadapan dengan pelbagai birokrasi yang melelahkan dan sudah pastinya tidak menyelesaikan masalah yang bersifat segera ini.

Sebagai badan pentadbir universiti, TNC Hepa mempunyai autoriti untuk turun ke lapangan masyarakat mahasiswa bagi menyelidik dan mencari sendiri mahasiswa yang memerlukan makanan.

Usah hanya selesa bertali leher dalam bilik berhawa dingin dan menyalahkan mahasiswa dengan dakwaan kononnya tiada mahasiswa kelaparan.

Hadirkan diri dan tunjukkan keseriusan dalam menjaga kebajikan mahasiswa.

Sikap ego TNC Hepa ini merupakan satu aib besar buat sistem pendidikan dalam negara ini.

Hal ini kerana sepatutnya masalah yang pastinya berulang-kali berlaku ini sudah diselesaikan dengan alternatif yang baik.

Melutut tagih simpati

Rata-rata TNC Hepa di setiap universiti mahukan mahasiswa yang tidak berkemampuan ini tampil melutut meminta bantuan, menagih simpati daripada mereka sendiri.

Tambahan pula, kami mahasiswa cukup terkilan dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan baru-baru, Khairy Jamaluddin yang begitu semberono menafikan kewujudan mahasiswa yang kesempitan.

Beliau melihat kesusahan yang dihadapi mahasiswa dalam kaca mata seorang menteri yang bergaji besar daripada duit rakyat dan bukannya pada kaca mata seorang rakyat marhaen yang memahami benak kesusahan rakyat.

Saya lebih berpandangan PTPTN adalah punca mahasiswa menjadi kebuluran.

Setiap peminjam PTPTN akan memperoleh RM3,250 bagi setiap semester pengajian.

Kemudian, nilai RM1,000 perlu dibayar bagi yuran pengajian dan RM1,000 pula bagi yuran kolej kediaman dan jumlah yang berada dalam tangan bernilai RM1250.

Kehidupan mahasiswa khususnya yang berada di kampus lembah Klang, nilai RM350 kira-kira akan digunakan untuk membeli buku rujukan, alatan pengajian, penggunaan minyak motor dan lain-lain perkara yang diperlukan.

Akhirnya, lebih kurang nilai RM900 digunakan hanya untuk perbelanjaan makan di universiti.

Kita anggarkan satu semester pengajian di universiti bersamaan enam bulan dalam setahun.

Beralih fokus

Nilai RM900 itu dibahagi dengan enam bulan setahun bakal menunjukkan angka RM150 bajet makanan dalam sebulan.

Bayangkan keadaan ekonomi yang menekan ini sepinggan nasi berserta lauk dan sayur boleh jadi sehari kos makan mahasiswa bernilai RM10.

Nilai RM10 dalam masa sebulan tidak mencukupi bagi mahasiswa untuk meneruskan agenda keilmuan di universiti.

Justeru, segelintir mahasiswa mengambil jalan untuk bekerja sendiri yang mengalih fokus sebenar pengajian di universiti.

Ada dalam kalangan mahasiswa yang ingin mengurangkan bajet akan menggantikan mi segera sebagai penjimatan dan gantian kepada makanan asasi iaitu nasi.

Lebih parah lagi, ada yang menahan untuk makan sehingga memudaratkan diri seperti kes yang berlaku sehingga pengsan dan sebagainya.

Projek-projek amal seperti Coupon For The Needs, Suspended Meal, Food For Mahasiswa, Free Meals, dan Happy Meal Initiative wajar diberikan pujian yang telah berjalan sejak beberapa minggu semasa fasa peperiksaan berlangsung.

Bantuan amal ini digerakkan sendiri oleh sebahagian mahasiswa yang memandang serius isu seperti ini berlaku.

Mereka menggerakkan projek amal ini bertujuan membantu mahasiswa lain yang lebih memerlukan daripada menyalahkan mana-mana pihak yang langsung tidak memberikan penyelesaian kepada nasib mahasiswa.

MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI presiden, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap penyelaras Coupon For The Needs (CFTN).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...