TERKINI :

Thursday, January 28, 2016

Disebalik NAJIB yang sudah tiada kes, rakyat semakin ada kes untuk menolak UMNO BN

Shahbudin Husin,


Nampaknya keputusan Peguam Negara membersihkan nama Perdana Menteri, Najib Razak berhubung siasatan derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadinya, tetap tidak diterima baik dengan baik oleh rakyat pelbagai lapisan.

Di mana-mana boleh didengar rakyat membicarakan isu tersebut dan rata-ratanya mereka tidak setuju dan memperlekeh tindakan Peguam Negara, Apandi Ali membebaskan Najib begitu saja.

Di pejabat, kedai kopi, lobi hotel, pasar dan di mana-mana saja jelas dapat dikesan rasa tidak puas hati itu.  Ada juga budak-budak sekolah yang berbual dengan rakan-rakannya turut kehairanan mengapa Najib bertindak memulangkan derma yang sudah diterimanya.

Jika budak-budak sekolah itu tahu keseluruhan kenyataan Peguam Negara, tentu mereka lebih hairan bagaimana Najib juga boleh tidak tahu sama sekali adanya dana RM42 juta berada dalam akaun bank peribadinya.
Hakikatnya, kalau dihitung perbualan komunikasi alam maya seperti dalam Facebook, Twitter, Whatsapp , Telegram dan sebagainya, keadaan tidak setuju dengan tindakan Peguam Negara itu jauh lebih mengerikan lagi. Macam-macam ulasan dan komen yang boleh didapati.

Dalam masa yang sama, hampir tidak ada yang berani mempertahankan atau membela keputusan Peguam Negara itu. Pejuang maya pro Najib dalam sehari dua ini dilihat lebih banyak berdiam atau cuba beralih kepada topik lain berbanding mempertahankan keputusan Peguam Negara yang paling dipertikaikan itu.

Lebih menghangatkan keadaan ialah bilamana SPRM sendiri dilaporkan akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara itu serta cuba membentangkannya kepada Panel Penilaian Operasi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memantau perjalanan agensi tersebut.

Ia dengan jelas menggambarkan SPRM secara mutlaknya tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara itu memandangkan mereka dilaporkan telah mencadangkan agar tiga pertuduhan diambil terhadap Najib.

Tetapi dengan Peguam Negara menolak cadangan SPRM itu, ia bukan saja menimbulkan kekecewaan dan patah hati mereka berikutan sudah bekerja keras lebih enam bulan sebelum ini untuk melengkapkan siasatan, malah ia seperti SPRM turut menghampakan harapan rakyat yang cintakan kebenaran.

Penantian rakyat dalam isu siasatan terhadap Najib berkaitan derma RM2,600 juta dan kemasukan dana RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya ialah umpama penonton bolasepak yang begitu mengharapkan jaringan gol ketika melihat seorang penyerang diberikan bola yang hanya memerlukan tolakan mudah saja, tetapi akhirnya pemain  terbabit enggan melakukan tendangan.

Begitulah kecewanya majoriti rakyat terhadap keputusan Peguam Negara itu. Tetapi, seperti penonton bolasepak, apalah daya mereka.

Ini pula merupakan kali kedua kertas siasatan ditolak oleh Peguam Negara di mana sebelum ini nasib yang sama telah pun menimpa Bank Negara Malaysia.

Apandi pula dengan bangga mempertahankan keputusannya, malah meminta sesiapa yang tidak puas hati agar menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan tafsiran mahkamah berhubung tindakannya itu.

Dalam hal ini, Apandi haruslah sedar bahawa bukan semua rakyat suka pergi ke mahkamah untuk menuntut kebenaran. Jawapan bernada angkuh dengan mengatakan adalah haknya sebagai peguam negara sama ada mahu memulakan, meneruskan atau menghentikan mana-mana prosiding jenayah kepada mana-mana individu, bukan saja menghampakan, malah langsung tidak memberi gambaran yang baik mengenai perjalanan sesebuah kerajaan yang mendukung aspirasi rakyat.

Tambahan lagi, bukanlah rahsia juga, beliau duduk di kerusi tersebut hanya mengambil alih tempat Gani Patail yang disingkirkan secara mengejut dan penuh tanda tanya. Oleh itu, Apandi seharusnya lebih berhemah, cermat dan mesra dalam memberikan respon balasnya.

Memanglah semua orang tahu hak dan kedudukannya sebagai peguam negara, tetapi jika sesuatu yang jelas berwarna merah dan sesiapa pun akan mengatakannya merah, janganlah hanya kerana kuasa dan kedudukan sebagai pemegang kata putus,  beliau dengan bangga  dan tanpa perasaan mengatakannya berwarna hijau.

Mungkin orang yang tidak bersetuju hanya sekadar mampu memprotes dan tidak berupaya mengubah keputusan yang sudah dibuatnya itu, tetapi tentu ada ketikanya ruang untuk berbuat sesuatu akan menjelma juga.

Di sebalik Najib dibersihkan dan didapati tiada kes oleh Peguam Negara, sedarkah beliau bahawa ia dalam masa yang sama menjadikan rakyat semakin ada kes untuk menjauhi dan menjatuhkan UMNO dalam PRU 14 nanti?

Dengan berbekalkan 52 peratus undi popular sudah menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya 2013 lalu, tidakkah mustahil sebenarnya angka penolakan itu tambah membesar bersama keyakinan bahawa hanya perubahan kerajaan saja satu-satunya jalan penyelesaian kepada segala kemelut dan kebejatan yang ada sekarang? (SH 27/01/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...