TERKINI :

Wednesday, January 13, 2016

Dikala Pas-DAP Selangor berpecah, inilah masanya Umno boleh mengambil kesempatan

Pas-DAP Selangor berpecah, Umno kesempatan?

Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
SHAH ALAM - Susulan krisis runcing antara Pas dan DAP Selangor, penganalisis politik menjangkakan permuafakatan mereka dalam kerajaan negeri tidak akan bertahan hingga PRU14.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, pengisytiharan 'perang' antara Pas dan DAP serta persengketaan Pas-Parti Amanah Negara (Amanah) kian menyukarkan keadaan.

Menurut beliau, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kerjasama antara parti-pemerintah kerajaan negeri itu tidak akan bertahan lama.

“PKR sebagai orang tengah juga dilihat tidak lagi mampu meleraikan pertikaian di antara rakan politiknya itu.

"Ini berlaku kerana kepimpinan PKR tidak mempunyai kredibiliti untuk membuatkan Pas atau DAP akur dengan semangat kerjasama yang terbentuk sebelum ini.

“Dalam keadaan ini, Umno mungkin boleh mengambil kesempatan terhadap konflik ini terutama dengan menawarkan kerjasama dengan Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kemelut ini mendatangkan nilai tambah kepada Umno kerana parti itu berpeluang menumpukan usaha untuk memperkuatkan jentera parti di Selangor terutama dlm menghadapi PRU14.

Menurutnya, konflik berpanjangan dan berterusan antara parti pembangkang menyebabkan mereka hilang fokus dan banyak usaha dan tenaga terbuang untuk menangani kemelut ini.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perun-dangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ketika ini Selangor berdepan situasi tarik tali pastinya sukar untuk memastikan komitmen terhadap permuafakatan.

Katanya, demi kelangsungan kuasa di Selangor, tarik tali ini terpaksa 'diteruskan' dalam memancing keyakinan pengundi.

“Di sini BN berpeluang menyatukan kekuatan mereka di Selangor bagi memperkasakan parti berdepan PRU14.

“Saya rasa semua parti dalam situasi begini sehingga sampai ambang PRU14 di mana arah masing- masing akan ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, tadbir urus tidak terjejas kerana keutuhan pemerintahan menteri besar sekarang masih ada begitu juga dengan rakyat.

Pergeseran antara Pas-DAP di Selangor makin memuncak selepas Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad secara terus terang mengisytiharkan DAP sebagai musuh baharu parti itu selain Umno pada PRU14 itu.

Kenyataan berani itu dibuat susulan tindakan DAP yang didakwa mula 'kacau daun' dengan keinginan meletakkan calon bertanding di kerusi milik Pas pada PRU14.

Malahan, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim juga mengeluarkan kenyataan melaungkan amaran 'perang' ke atas Pas selepas partinya itu dilabelkan sebagai musuh kepada bekas rakan politik.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...