TERKINI :

Saturday, January 23, 2016

DAP sanggah Presiden PAS bahawa mereka menyokong TPPA

Kenyataan media Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pada hari Sabtu 23 Januari 2016:


Saya merujuk laporan The Malay Mail Online bertajuk: “Hadi: DAP backs TPP because Chinese control trade in Malaysia” (KLIK SINI) yang melaporkan dakwaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa DAP menyokong TPPA kerana menurutnya hal ehwal perdagangan di dalam negara dikawal oleh orang Cina.

Dakwaan Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja tidak berasas, malah mengarut dan dangkal, serta tidak mencerminkan ketokohan dan keilmuan beliau sebagai pemimpin sebuah parti yang telah bertahun lama menjalin kerjasama erat dengan DAP malah kerap kali membela DAP ketika diserang Umno.

Kita kesal bagaimana dengan sekelip mata Hadi Awang boleh terus berubah lenggok bahasanya sehingga sanggup meniru skrip Umno dengan berfikir di dalam konteks politik perkauman, berbeza dengan aspirasi partinya yang beberapa tahun lalu giat menghindar daripada politik perkauman sempit dan mengadu domba.

Saya pasti Ahli Parlimen Marang itu jauh lebih mengerti bahawa yang sebenarnya ghairah dan berahi mahu menandatangani TPPA itu ialah Umno sendiri, parti yang menurut Haji Hadi sedang dinasihatinya.

Beberapa persoalan timbul di sini. Adakah Umno yang berpendirian menyokong TPPA itu turut berbuat demikian kerana ia sebuah parti yang didokong pedagang dan peniaga Cina, seperti dakwaannya terhadap DAP?

Soalan seterusnya, bagaimana mungkin PAS masih tidak berjaya menasihati Umno untuk tidak meneruskan agenda TPPA ini, setelah begitu rapat dan mesra dengan parti tersebut sepanjang enam bulan berpisah dengan rakan-rakan lama?

Saya ingin menegaskan bahawa DAP, dengan kekuatan 37 Ahli Parlimen akan mengundi di Dewan Rakyat, menolak TPPA, berbanding dengan PAS, yang kini hanya mempunyai 14 undi di Parlimen.

Saya turut berharap supaya, jika tiada aral melintang Datuk Seri Haji Hadi Awang akan dapat ikut hadir pada sessi pengundian TPPA di Dewan Rakyat untuk kita bersama-sama menolak TPPA.

Terima kasih,
LIM LIP ENG

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...