TERKINI :

Tuesday, January 26, 2016

Dana RM2.6b: Khairuddin tuntut penjelasan terperinci

Bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan menuntut penjelasan terperinci peguam negara yang membersihkan perdana menteri daripada salah laku berkaitan kemasukan RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Katanya, 30 juta rakyat Malaysia mahukan jawapan konkrit dan menyeluruh berkaitan kewajaran langkah itu diambil.

“Walaupun ini sudah diduga oleh semua orang akan keputusan yang bakal di umumkan oleh peguam negara namun Tan Sri Apandi (Ali) jangan ambil mudah dalam isu polemik ini kerana satu jawapan yang telus amat dinanti-nantikan oleh keseluruhan rakyat Malaysia!” katanya.

Apandi hari ini berkata tiada jenayah dilakukan oleh Najib berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.

Beliau juga mengarahkan supaya kertas siasatan tersebut ditutup serta tiada pendakwaan akan dibuat terhadap perdana menteri.

Apandi juga berkata Najib mengembalikan semula RM2.03 bilion (AS$620) daripada RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

Dalam kenyataannya hari ini, Khairuddin menegaskan bahawa rakyat tidak bodoh dan tidak harus diperbodohkan dalam isu itu.

“Apa pun saya nak maklumkan kepada 30 juta rakyat Malaysia agar terimalah hakikat ini sepertimana yang kita semua dah duga.

“Insya-Allah dengan izin Allah SWT kebenaran pasti timbul juga satu masa nanti. Hanya masa ketika saja yang bakal menentukannya,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan apakah di mana depan seseorang yang menerima “rasuah” dan kemudian memulangkannya akan terlepas daripada hukuman.

“Maknanya beliau tidak boleh didakwa dan kes terus ditutup begitu saja. Boleh peguam negara beri jawapan kepada kemusykilan persoalan saya ini?” soalnya.

Khairuddin sebelum ini membuat laporan di pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat berhubung kemasukan dana ke akaun Najib.

Beliau kemudian ditangkap dan didakwa di mahkamah atas tuduhan mensabotaj sistem kewangan negara.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...