TERKINI :

Friday, January 15, 2016

Dalam berbalah, demonstrasi TPPA temukan PAS-Amanah


Disebalik kemarahan PAS terhadap Amanah sehingga mengisytiharkannya sebagai 'musuh baru' parti Islam itu, kedua-duanya bakal 'disatukan' dalam demontrasi bantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Amanah melalui Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub semalam, mengeluarkan arahan agar ahli parti itu di semua peringkat dikerahkan ke demonstrasi yang akan diadakan 23 Januari ini di Dataran Merdeka di ibu negara.

"Amanah akan mengerahkan ahlinya untuk menyertai demonstrasi TPPA pada 23 Januari ini. Kita menyokong penuh usaha ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas mahkamah memutuskan menolak permohonan semakan kehakiman terhadap TPPA.

Sementara itu PAS juga telah mengeluarkan arahan rasmi kepada negeri dan kawasan masing-masing agar mengerahkan ahli mereka turun ke himpunan itu nanti.

Amanah dan PAS sejak awal berkongsi pendirian sama menolak TPPA yang didakwa bakal memudaratkan ekonomi negara dan memberi kesan langsung kepada rakyat negara ini.

Malah kedua-dua mereka telah beberapa kali menyertai perbincangan bersama NGO Bantah TPPA dengan kerjasama beberapa lagi NGO lain bagi menjayakan Demontrasi Rakyat Bantah TPPA itu.

'Pertemuan' dalam isu TPPA ini bagaimanapun dilihat terkeluar daripada kerangka 'perbalahan' kedua-dua parti yang semakin keras ketika ini.

Buktinya kelmarin, PAS melalui satu pekeliling mengarahkan semua ahlinya agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti anjuran Amanah dan DAP yang dianggap sebagai musuh utama mereka.

Pekeliling tersebut yang ditandatangani Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan dikeluarkan berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, 8 Januari lalu.

Memberi reaksi kepada perkara itu, Anggota Jawatankuasa Nasional Amanah, Hanipa Maidin berkata mereka tidak menganggap PAS sebagai musuh, tetapi kawan yang ada kalanya bersifat 'nakal'.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...