TERKINI :

Saturday, January 23, 2016

Budaya guling-guling MB untungkan siapa?


Oleh Ronasina

politik-malaysia
Tidak sukar untuk memikirkan aksi dan lontaran dialog watak-watak patung wayang kulit dari satu babak ke satu babak adalah kerana ia telah diaturkan oleh Tok Dalang di sebalik layar. Penonton yang asyik menikmati sesebuah persembahan itu pun tahu tanpa Tok Dalang watak-watak ini hanyalah patung yang kaku dan tidak ada upaya apa pun.

Begitulah dapat kita buat tanggapan apabila munculnya watak-watak wakil dari United Malays National Organisation (Umno) Kedah yang membuat kenyataan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mukhriz Mahathir. Pastilah ada Tok Dalangnya.

Tetapi kita bukan mahu membincangkan isu ‘uji pasaran’ Najib itu untuk melihat berapa kuatnya pengaruh Mukhriz, atau cubaan watak wayang kulit ingin mengerat legasi Dr Mahathir yang sering mengganggu pentadbiran pusat. Mungkin juga itu suatu cubaan untuk mengajak Mahathir ‘berbincang’ agar tercapainya sebuah keputusan sama-sama menang. Sama ada usaha ini berjaya atau sebaliknya bukan persoalan kita di sini. Yang mahu kita fokuskan apakah maknanya budaya (atau gejala?) menggulingkan Menteri Besar, untuk siapa usaha penggulingan ini dan siapakah pula yang meraih untung?

Tolak sejarah penggulingan Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin pada 2009. Itu projek kudeta oleh kerajaan Najib untuk menyiksa pencabarnya Anwar Ibrahim sehingga kerajaan Pakatan Rakyat di Perak runtuh. Di Terengganu, jangan lupa peristiwa “Kami nak Idris, natang!” apabila Idris Jusoh ditolak istana yang mahukan Ahmad Said. Ia bukan tentang pilihan rakyat. Ia berkenaan calon Menteri Besar ini datang dari kem mana atau adakah calon itu beroleh restu dari ‘pihak atasan’. Kemudiannya dari Ahmad Said, kerusi Menteri Besar Terengganu berubah lagi bertukar kepada Ahmad Razif Abdul Rahman.

Meninjau ke Kedah sebelum Pilihanraya Umum ke 13. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) negeri Kedah telah melancarkan gerakan untuk menumbangkan Ustaz Azizan Abdul Razak yang menyandang kerusi Menteri Besar waktu itu. Memang benar pentadbiran Ustaz Azizan ketara lemah apabila ekonomi Kedah lembab, hutang negeri banyak, kurang masuknya pelabur dan punca pendapatan negeri ketika itu cuma bergantung kepada aktiviti pembalakan yang berleluasa tetapi serangan PAS Kedah untuk menyingkirkan Ustaz Azizan lebih difokuskan kepada peribadi Menteri Besar itu yang dilihat ‘mesra Umno’ dan kaum keluarga kelilingnya ramai orang Umno. Isu rakyat tidak diangkat menjadi faktor utama tetapi lebih kepada isu kem.

Selepas Pilihanraya Umum 13, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tumbang. Kemudiannya beberapa sosok penggerak kempen gulingkan Azizan ini menyertai pemimpin PAS Pusat yang tewas di dalam Muktamar 2015 keluar menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera SeMalaysia (PasMa), sebelum menyertai sebuah parti politik Parti Amanah Negara (Amanah).

Kita beralih ke Selangor pada tahun 2014 apabila Langkah Kajang (Kajang Move) dilancarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dengan diketuai sendiri oleh Ketua Umum Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim dari kerusi Menteri Besar. Anwar cuba meredakan krisis perebutan jawatan kerusi tersebut di antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim tetapi akhirnya tersangkut dengan kes sendiri sehingga Anwar disegerakan hukuman penjara.

Tempat Anwar digantikan oleh isterinya Wan Azizah, Presiden Keadilan dan menang di Pilihanraya Kecil Kajang. Malangnya Wan Azizah ditolak oleh pihak istana untuk menjadi Menteri Besar dan akhirnya Azmin Ali dipilih.

Cara untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim juga hampir sama iaitu mengaitkan hubungan rapat Khalid dengan Umno, penyelesaian hutang peribadinya konon untuk melunakkan pendirian Khalid dalam proses perjanjian Projek Langat 2. Jelajah seluruh negara oleh Keadilan mendedah salah laku Khalid berakhir dengan permohonan maaf Setiausaha Agung parti itu kepada Khalid di mahkamah. Tetapi kerusi Menteri Besar sudah diambil dan Khalid berjaya disingkirkan dari tampuk kekuasaan.

Persoalannya apakah budaya penggulingan Menteri Besar ini menjaminkan perubahan pentadbiran kerajaan negeri menjadi semakin baik dan cekap seperti yang dilaung-laungkan sebelumnya oleh kem yang hendak mengguling? Apakah masalah lama seperti kewujudan kilang haram, pencemaran sungai dengan sampah dan sisa buangan, penggondolan hutan akibat projek pembalakan dan pembangunan yang menjadi modal jajaan kem pengguling ini berkurangan dan berjaya dibanteras selepas mengambilalih kerusi pentadbiran? Jangan buat jenaka khayal.

Jangan fikir kemajuan ekonomi, seni budaya dan lain-lain dapat berubah apabila Menteri Besar diguling. Yang kerap diulang adalah menyalahkan kesilapan pentadbiran lalu yang diwarisi dan betapa susahnya hendak membaikpulih semula. Itulah alasan walhal sebenarnya kepimpinan yang baharu itu sama juga perangainya.

Politik ialah pertarungan merebut kuasa, memegang pen sebagai kuasa penentu untuk mengagihkan punca ekonomi dan meluaskan pengaruh. Kem yang selalunya menuntut pertukaran Menteri Besar ini bukannya tidak mendapat kedudukan sebelum ini. Tetapi mendapat kedudukan sahaja tidak cukup. Yang dicita-citakan adalah untuk merebut kuasa sebagai penentu siapa yang layak mendapat habuan.

Sejarah adalah mata pelajaran penting yang perlu dipelajari dan difahami kerana ia sentiasa berulang-ulang. Dalam sejarah Malaysia pasca Merdeka pernah ada usaha Menteri Besar digulingkan melalui proses undi tidak percaya. Menteri Besar Selangor, Harun Idris pada tahun 1975 digulingkan oleh Perdana Menteri Hussein Onn yang baru menaiki takhta kerana tidak sehaluan dengan Harun Idris. Dengan menggunakan kuasa sebagai Presiden Parti juga Perdana Menteri, Hussein Onn memaksa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor mengusulkan undi tidak percaya walaupun ada Adun yang tidak setuju. Lihatlah, ia bukan soal rakyat sebaliknya tentang ‘status quo’.

Juga di Kelantan antara 1977-1978, PAS yang waktu itu berada di dalam Barisan Nasional mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan Muhamed bin Nasir yang bagi mereka walaupun Muhamed dari PAS tetapi itu calon pilihan UMNO. Rentetan dari pergelutan ini menyebabkan pengisytiharan darurat berlaku di Kelantan, PAS kemudiannya ditendang dari Barisan Nasional dan Muhamed Nasir yang dipecat dari PAS pula menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA). Bukankah sejarah tidak berbohong tentang teori kuasa, pengaruh dan survival politik sosok tertinggi?

Namun penting juga untuk kita maklumi bahawa budaya menggulingkan menteri dari kerusinya ini bukanlah mutlak haram jika kita bercakap tentang sistem demokrasi yang diamalkan di dalam negara kita. Kaedah menurunkan pemimpin melalui proses undi tidak percaya ini adalah kaedah penuh tertib, cuma garisnya telah diherotkan kepada tujuan yang berbentuk kepentingan sendiri.

Jika benar terbukti seorang Menteri Besar itu melakukan rasuah, berlakunya penyelewengan kuasa sehingga menggugat hak rakyat, kaedah penggulingan melalui proses undi tidak percaya ini wajib disokong. Adun-Adun yang telah mengangkat sumpah berkhidmat untuk rakyat harus berupaya mengenepikan fahaman kepartian apabila bersabit dengan hal-hal rakyat dan seharusnya boleh bersatu mengusulkan undi tidak percaya untuk menurunkan Menteri Besar yang korup.

Persoalannya, dalam amalan budaya politik ‘Abang Besar’ atau menjadi kem Kelab Peminat (fan club) pemimpin pujaan mereka apakah mereka punya keberanian untuk melakukan ini semua?

@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...