TERKINI :

Saturday, January 9, 2016

BR1M tak mampu bantu semua orang

BR1M

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak membantu meringankan bebanan perbelanjaan rakyat kerana hanya segolongan rakyat sahaja menerima bantuan tersebut, manakala sesetengahnya lagi masih menanggung kesan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup di negara ini.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, meskipun kadar BR1M dipertingkat bagi tahun ini, ia masih tidak mampu menampung beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Pemberian BR1M sebanyak RM1000 setahun tidak setimpal dengan anggaran purata GST yang dikutip daripada setiap rakyat sebanyak RM7000 setahun.

“Tidakkah kerajaan sedar yang rakyat kini sedang bergelut dengan tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barang, petrol, tol, kos sara hidup dan caj pengangkutan awam.

Jika benar GST membantu rakyat, mengapa kadar tol perlu dinaikkan? Bukankah kutipan GST sebanyak RM27 bilion dalam tempoh 9 bulan pada tahun 2015 lebih dari cukup untuk menampung bayaran kepada syarikat konsesi lebuhraya bagi mengelak kenaikan tol?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab meringankan beban rakyat dan bukannya menambah masalah kos sara hidup untuk rakyat.

“Bukankah tanggungjawab kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat dan bukannya menambah beban kami? GST jelas membebankan rakyat walaupun ia menjadi sumber hasil baru kerajaan. Kenapa rakyat harus dihukum dengan GST bagi menampung kekurangan hasil kerajaan, sedangkan ianya disebabkan oleh kelemahan dan salah urus kewangan negara?

“Hakikatnya kenaikan harga barang adalah akibat kesan langsung GST yang mana para pengilang, pemborong dan pembekal bagi sesuatu produk telah dikenakan GST. Maka harga produk siap yang dibeli rakyat perlu dinaikkan rentetan GST telah dikenakan di peringkat awal,” jelasnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...