TERKINI :

Tuesday, January 19, 2016

Bohong AES untuk kurangkan kemalangan jalan raya, kata Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, cuma ia perlu diperkemas dan diperbaiki. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Januari, 2016.

Datuk Mahfuz Omar hari ini membidas keputusan Putrajaya yang bakal melaksanakan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) atas alasan mengurangkan kadar kemalangan, menegaskan ia satu lagi pembohongan bertujuan mengaut keuntungan daripada rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan persoalan di mana sistem AES itu tidak terpakai ke atas beberapa golongan seperti Yang di-Pertuan Agong, Raja, Permaisuri termasuk mana-mana kenderaan bermotor mengiringi perdana menteri, timbalan perdana menteri atau tetamu negara.

Bekas ketua penerangan PAS itu mempersoalkan, adakah dengan meneruskan sistem itu, pengecualian akan diberikan kepada pihak tertentu, Putrajaya mahu pembesar negara atau pegawai pengiring mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Saya katakan kerajaan berbohong menggunakan alasan mengurangkan kadar kemalangan, khusus pada kes kemalangan maut. Ini adalah pembohongan dari awal.

"Kalau kita lihat Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan Yang Dirakam Melalui Kamera) di bawah Seksyen 53 A, Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan kereta membawa pembesar seperti Agong, Sultan, perdana menteri dikecualikan daripada AES.

"Sedangkan kita tahu kenderaan-kenderaan inilah yang sememangnya akan dipandu dengan laju," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

"Sebab itu saya kata, ia hanya alasan, kononnya mahu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Ia adalah satu pembohongan. Sebaliknya, mereka mahu mengutip seberapa banyak hasil atas nama kesalahan jalan raya," katanya.

Berita Harian hari ini memetik Liow sebagai berkata, Putrajaya akan melaksanakan semula AES selewat-lewatnya Mac ini dan menguatkuasa semula sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Mahfuz berkata, dakwaan pembohongan beliau disokong kenyataan syarikat baharu yang mengendalikan AES, iaitu Boustead Holdings Bhd (BHB), yang pernah menyatakan pihaknya berorientasikan keuntungan.

"Pengarah urusan Kumpulan Boustead Holdings Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika membeli 50% ekuiti daripada pengendali AES terdahulu pada 3 Mac 2015 menyatakan, syarikat itu berorientasikan keuntungan.

"Di mana, menjadi faktor perkiraan syarikat itu dalam mengambil alih perniagaan yang ia mesti berasaskan keuntungan.

"Beliau sendiri akui, perniagaan AES ini sesuatu yang menguntungkan dan pengambilalihan daripada syarikat terdahulu, bukan kerana mahu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebaliknya lebih kepada keuntungan," katanya.

Mahfuz yang juga pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tidak menolak akan berlakunya pertambahan kamera AES di seluruh negara berbanding 14 sedia ada.

Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku, ia akan membebankan rakyat terutamanya ketika tambang pengangkutan awam juga meningkat naik.

Pada masa sama beliau turut mendesak kerajaan mendedahkan bentuk model kewangan diputuskan, iaitu pengagihan saman yang diperolehi syarikat pengendali.

"Kerajaan mesti dedahkan bentuk model kewangan, iaitu berapa yang diputuskan dalam pengagihan saman.

"Berapa diperolehi Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), juga kerajaan.

"Kalau dengan syarikat terdahulu, model kewangannya melibatkan 3 langkah. Adakah kaedah tersebut masih terpakai?" soalnya.

Mahfuz berpendapat undang-undang sedia ada sebenarnya mencukupi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, cuma ia perlu diperkemas dan diperbaiki.

Projek swasta bernilai RM700 juta itu bermula pada September 2012 dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar melancarkan 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pada 16 November tahun lalu, memetik jawapan lisan Parlimen, Liow menyatakan Putrajaya membayar fi perkhidmatan sebanyak RM60,122,080 kepada 2 syarikat penyedia AES sejak beroperasi pada 2012.

Pada awal penguatkuasaan, projek AES menerima kritikan daripada ramai pihak dan dijadikan modal pembangkang semasa kempen pilihan raya umum pada 2013 lalu.

Selepas kontroversi tercetus, Pejabat Peguam Negara bertindak membekukan semua saman dikeluarkan susulan pelbagai masalah teknikal yang timbul dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan. – 19 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bohong-aes-untuk-kurangkan-kemalangan-jalan-raya-kata-mahfuz#sthash.HuG0rcmz.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...