TERKINI :

Sunday, January 24, 2016

Bila pulak nak panggil MUKHRIZ??

BILA NAJIB NAK PANGGIL MUKHRIZ? KENAPA JUMPA KUMPULAN PENENTANG LEBIH DULU?
Oleh : Shahbudin Husin


Sejak awal lagi sebaik saja timbul isu pemberontakan politik di Kedah yang mahukan kedudukan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah ditukar, ia segera dikaitkan dengan kehendak Najib Razak sendiri.

Ia bukan saja kerana Najib memang bermasalah dengan bapa Mukhriz, Tun Mahathir Mohamad tetapi juga kerana hampir semua "muka-muka" di belakang gerakan itu adalah penyokong setia Najib belaka.

Kata mereka yang arif dalam politik, tidak mungkin mereka itu begitu berani mengadakan gerakan mahu menolak Mukhriz dan mewujudkan kemelut baru dalam politik UMNO, jika tidak mendapat restu daripada Najib sendiri.

Setelah dua hari kemelut itu berlangsung, pada pukul 4 petang hari ini pula, Najib dilaporkan akan bertemu dengan 14 Ketua UMNO Bahagian Kedah yang menolak Mukhriz itu. Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

Dilaporkan turut hadir dalam pertemuan petang ini ialah Exco dan wakil-wakil rakyat Kedah.

Sekali lagi, timbul persoalan mengapa Najib begitu pantas berjumpa dengan 14 Ketua Bahagian itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan maklumat penuh daripada Mukhriz sendiri?

Bukankah Mukhriz masih lagi Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah?

Tidakkah mengikut amalan biasa apabila timbul sesuatu masalah di peringkat negeri, pihak yang patut dipanggil terlebih dahulu untuk diperolehi maklumat ialah Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO negerinya?

Dalam hal ini, mengapa Najib lebih dahulu ingin bertemu dengan pihak yang menentang dan bukan dengan Mukhriz sendiri?

Mengapa Najib tidak memanggil Mukhriz terlebih dahulu sebelum bertemu dengan 14 Ketua Bahagian itu?

Apakah Najib sudah lupa amalan serta adab dalam menguruskan parti dan kerajaan?

Sejak bila kumpulan penentang mendapat lebih kemuliaan berbanding pemegang jawatan dalam parti dan kerajaan?

Adakah semua ini "wayang" yang sedang ditayangkan untuk menunjukkan seolah-olah penyingkiran Mukhriz adalah kehendak 14 Ketua UMNO Bahagian dan bukan datang daripada naluri Najib?

Bila pula Najib mahu memanggil Mukhriz? Apakah mungkin Najib akan memanggil Mukhriz selepas mengadakan pertemuan dengan 14 Ketua Bahagian tersebut?

Bergunalah lagilah pertemuan dengan Mukhriz jika Najib sendiri sudah membenarkan dirinya mendapatkan maklumat daripada pihak yang mahu menyingkirkan anak Tun Mahathir itu terlebih dahulu?

Hakikatnya, pertemuan petang ini jelas menandakan Mukhriz semakin di hujung jalan. Tidak lain, pertemuan Najib dengan 14 Ketua Bahagian Kedah itu hanyalah bertujuan untuk mempercepatkan penyingkiran Mukhriz saja.

Malah, tidak mustahil jika Najib terus mengabaikan Mukhriz dan tidak memanggilnya langsung dalam kemelut ini. (SH 22/01/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...