TERKINI :

Friday, January 8, 2016

Bauksit mungkin ‘rezeki terpijak’ tapi orang lain merana

bauksit

KUANTAN - Keputusan Kabinet menghentikan aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan mendapat reaksi positif penduduk yang terjejas.

Bagi penduduk di Felda Bukit Sagu, walaupun ladang mereka tidak terlibat dengan aktiviti perlombongan, namun kawasan mereka dijadikan tempat mencuci bauksit sebelum dihantar ke pelabuhan.

Syed Abu Bakar Syed Husin, 59, berkata, penduduk tidak menolak perlombongan bauksit, tetapi mahu pihak atasan memikirkan cara paling efektif agar mereka tidak terus terkesan dengan pencemaran dan isu keselamatan.

Menurutnya, dalam masa tiga bulan ini, kerajaan perlu membuat satu kajian terperinci serta penambahbaikan terhadap pengurusan bauksit bermula dari ladang sehinggalah ia dibawa ke pelabuhan.

“Perlombongan bauksit mungkin menjadi ‘rezeki terpijak’ peneroka yang dapat tingkatkan ekonomi Negeri Pahang. Tapi secara tidak langsung, membawa 1,001 masalah kepada penduduk, lebih-lebih lagi yang tiada kepentingan seperti kami ini.

“Apa yang kami dapat hanya kesan pencemaran dengan keselamatan terancam gara-gara lori yang berulang-alik di kawasan yang sama setiap hari,” katanya.

Suzana Mahadir, 48, pula bersyukur apabila aktiviti perlombongan dihentikan selama tiga bulan dan mengharapkan tempoh itu dapat dilanjut lagi.

Dia yang sebelum ini tidak kekok memandu ke bandar Kuantan, berasa tidak selesa setiap kali di jalan raya kerana dihimpit lori-lori bauksit.

“Dulu saya bebas keluar ke mana-mana memandu sendiri. Tapi isu ini timbul, saya rasa nyawa seolah-olah berada di hujung tanduk. Lori-lori besar monopoli jalan raya dari Bukit Sagu sampai ke Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman.

“Jika boleh, selepas tiga bulan nanti saya harapkan pembaharuan. Saya sebagai penduduk dan pengguna jalan raya tak mahu rasa terancam setiap kali berada di luar rumah,” katanya.

Razali Ahmad, 50, pula menggesa lori-lori bauksit tidak beroperasi pada waktu kemuncak iaitu pada awal lagi, tengah hari dan waktu petang kerana itulah waktu penting bagi penduduk keluar masuk di jalan berkenaan.

“Dalam seminggu, tiga kali saya akan menghantar adik saya menjalani rawatan hemodialisis di hospital.

“Jika lori ini beroperasi di luar waktu kemuncak, sedikit sebanyak kami sebagai penduduk rasa selamat dan tak perlu berdepan dengan debu lagi,” katanya dan berharap kerajaan akan tampil dengan peraturan baharu yang lebih efisien dan mesra alam demi kepentingan rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...