TERKINI :

Tuesday, January 19, 2016

Bagi gaji minimum RM1,500 kalau betul-betul prihatin

Khalid Atan

SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC), Khalid Atan hari ini mencadangkan kerajaan meningkatkan kadar pendapatan minimum sehingga RM 1,500.

Beliau meminta kerajaan mengkaji semula kadar pendapatan minimum yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2016 pada Oktober tahun lepas.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) sekurang-kurangnya RM300 kepada pekerja sektor swasta dan awam.

"Itupun kalau kerajaan prihatin dengan 42 peratus rakyat yang bergaji RM3,000 ke bawah.

"Kita selalu dengar kerajaan sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyat, tetapi kita tak pernah ambik tahu berapa ramai yang terkorban demi pengorbanan itu," katanya dalam Wacana Siri 37: Derita Orang Bandar: Punca dan Penyelesaian di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini‎.

Menurutnya lagi, pemberian kadar Cola haruslah sesuai dengan kadar semasa bagi harga barangan dan kos di negara ini.

“Jangan hanya bagi Cola RM30 sahaja. Dulu kalau bagi Cola RM30 sudah dikira memadai, tetapi sekarang, kalau nak bagi RM30, baik tak payah (tidak perlu).

“Bagilah Cola RM 300, sesuai dengan peredaran masa sekarang,” katanya lagi.

Kemelut ekonomi yang melanda dunia awal tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Mereka yang paling teruk terjejas adalah golongan miskin tegar di kawasan luar bandar dan golongan miskin di banda‎r.

"Kalau boleh, naikkan gaji. Gaji RM 1,200 pun sudah tak cukup. Sekurang-kurangnya gaji minimum perlu RM 1,500.

"Dengan Cola RM 300, ditambah dengan gaji RM 1,500, kita boleh mula tengok keadaan dari situ," katanya lagi.

Dalam pada itu,beliau turut menyeru kerajaan dan majikan menghapuskan diskriminasi yang wujud antara pekerja swasta dan kakitangan awam.

Menyatakan tiada keperluan wajar bagi perkara tersebut, Khalid menjelaskan, ia turut bertentangan dalam proses pentadbiran dan pengurusan negara Islam.

"Kita ini negara Islam. Jadi kita ikutlah proses negara Islam. Kakitangan kerajaan dapat Cola, kenapa majikan swasta tak mahu beri Cola kepada pekerja?

"Bila saya keluarkan kenyataan dan persoal tentang perkara ini, esoknya kerajaan jawab, majikan tidak perlu sediakan Cola. Saya bukan minta kerajaan bayar Cola (kepada pekerja swasta) tapi yang saya minta adalah majikan sektor swasta,” ujarnya.

Khalid turut menyarankan kerajaan supaya menggubal dasar yang mewajibkan majikan membayar Cola kepada pekerjanya.

"Apa salahnya gubal dasar untuk majikan? Bukankah lebih baik jika semua sama. Semua dapat Cola?" katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...