TERKINI :

Sunday, January 17, 2016

Apabila Menteri berikan senarai kawasan sasaran militan terpaksa pula pihak POLIS menafikannya


KLIK SINI


Polis nafi keluar senarai kawasan sasaran militan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kawasan tertentu di Lembah Klang yang berisiko diserang pengganas, kata Bukit Aman hari ini, selepas posting di media sosial menyenaraikan beberapa tempat yang kononnya dikatakan sasaran kumpulan militan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Datin Asmawati Ahmad juga menggesa orang ramai untuk berhenti menyebarkan berita sebegitu di media sosial.

"Polis mengesan pelbagai kenyataan dibuat di rangkaian komunikasi sosial yang menyebut secara khusus beberapa tempat yang kononnya disahkan menjadi sasaran kumpulan pengganas untuk melakukan serangan di Malaysia.

"PDRM tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut secara spesifik tempat yang menjadi sasaran pengganas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat hanya berkata, Malaysia dalam keadaan berjaga-jaga dan mempertingkatkan pengawasan dan kawalan keselamatan di tempat tumpuan awam, demi menjamin keselamatan masyarakat.

Tindakan yang diambil PDRM di seluruh negara juga selaras dengan arahan KPN tersebut, kata Asmawati.

"Peningkatan dalam jumlah keanggotaan pegawai polis di tempat tumpuan awam bertujuan memberi keyakinan kepada masyarakat PDRM agar sentiasa dalam kesiapsiagaan.

"PDRM memandang berat sebaran berita sebegini kerana ia membangkitkan kegusaran dan ketakutan masyarakat secara keterlaluan.

"Masyarakat dinasihati agar tidak mudah percaya dan berhenti dari berkongsi berita yang boleh membangkitkan keresahan, khususnya yang bukan dikeluarkan agensi keselamatan negara," katanya.
Terdahulu hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan beberapa portal berita berkata, beberapa tempat di Lembah Klang merupakan antara kawasan panas atau "hotspot" baharu yang kini menjadi ancaman pengganas.

Ia termasuk kawasan Bukit Bintang, Bangsar dan Hartamas, serta pusat membeli-belah seperti Publika, Solaris dan The Curve, katanya di Kuala Lumpur pada sidang media Pelancaran Kempen Kibarkan Bendera Wilayah Persekutuan.

Pada Khamis, insiden tembak-menembak serta serangan bom berlaku dekat Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin, Jakarta, mengorbankan 7 orang – 5 pengganas dan 2 orang awam.

Isis mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang pertama seumpamanya di negara paling ramai penduduk Islam di dunia.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi bagi mengelak insiden sama di Malaysia. – 17 Januari, 2016.   

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-nafi-keluar-senarai-kawasan-sasaran-isis#sthash.7oo3c58i.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...