TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

Apa khabar Tan Sri Muhyiddin?

  
 
Ke hadapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihormati.

Apa khabar Tan Sri sekarang? Lama benar kami tidak mendengar sebarang khabar daripada Tan Sri - atau lebih tepat - sejak berakhirnya Perhimpunan Agung Umno lalu dan Tan Sri diumpat secara berdepan-depan.

Walaupun begitu kemelut yang sering Tan Sri perkatakan dulu tetaplah berterusan.

Misteri 1MDB belum terungkai. Misalnya ke mana (atau di mana) wang yang diuruskan syarikat tajaan kerajaan itu. Pegawai atasan firma berkenaan tetap juga orang sama seperti ketika Tan Sri menegur mereka secara tertutup dan terbuka.

Begitu juga tanda tanya tentang derma RM2.6 bilion daripada luar negara itu. Siapakah penderma yang sangat pemurah dan ke mana wang berkenaan dibelanjakan sebenarnya tetap menjadi persoalan. Ia kira-kira sama macam teka silang kata yang mengasyikkan.

Ketika isu berkenaan masih jadi tanda tanya, kesunyian daripada Tan Sri amat terasa. Lebih malang, kesepian itu bukan datang daripada tubuh Tan Sri semata-mata, malah beberapa pemimpin lain yang sebelum ini lantang bersuara. Tun Dr Mahathir Mohamad, misalnya.

Kemudian yang bersuara adalah Datuk Ahmad Maslan.

Dalam kesunyian suara Tan Sri kami disibukkan dengan isu kenaikan tambang sistem pengangkutan awam, tol lebuh raya, pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam dan telefon genggam di Plaza Low Yat, Kompleks Kota Raya dan Digital Mall Mara.

Oh ya, tidak ketinggalan ialah tentang masalah tanah merah. Bukan Tanah Merah, tetapi tanah merah - yang ditulis dengan huruf "t" dan "m" tanpa huruf besar - di Kuantan, Pahang.

Tidak ketinggalan, kesibukan kita mahu membuktikan kecintaan kita kepada Islam dengan berpolemik tentang reka bentuk atap rumah di Langkawi, Kedah.

Tidak dilupakan, betapa mesra dan ikhlasnya persahabatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di majlis Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang dimuliakan Tan Sri,

Sebagai anak seorang ulama tentu Tan Sri faham benar akan kepentingan perpaduan umat Melayu - Islam di negara ini. Mungkin Tan Sri sendiri bangga dengan persefahaman ditunjukkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Memanglah pakaian yang sedondon itu tidak begitu penting untuk diperhatikan tetapi meletakkan Tan Sri seolah-olah diketepikan dalam isu sepenting itu tentulah tidak wajar.

Selepas dilayan dengan agak dingin di Perhimpunan Agung Umno antara 8 hingga 12 Disember lalu, tindakan perdana menteri bermesra dengan pemimpin parti pembangkang boleh ditafsir sebagai suatu sindiran untuk pihak tertentu dalam parti Tan Sri.

Alangkah manisnya jika Tan Sri juga diletakkan bersebelahan perdana menteri dan Presiden PAS di atas pentas. Bayangkan Najib berada di kerusi paling tengah dan Tan Sri serta Abdul Hadi menjadi pengapitnya.

Tan Sri yang dihormati,

Kami masih ingat bahawa Tan Sri dan pemimpin lain yang kritikal terhadap pimpinan kerajaan bersuara "demi rakyat" yang terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup hari ini.

Benar, kami mungkin perlu melakukan dua tiga kerja untuk mengisi perut anak dan isteri. Namun - mungkin Tan Sri sendiri sedar - dua tiga kerja yang terpaksa kami lakukan setiap bulan itu tidak akan sama dengan satu dua kerja menteri dan timbalan menteri sebulan.

Justeru kami tetaplah rakyat yang berada di bawah dan mengharapkan nasib kami dibela. Tan Sri mungkin orang yang betul untuk terus bersuara demi kami, demi rakyat.

Tan Sri mungkin terlepas peluang terbaik bersuara "demi rakyat" ketika Umno bersidang di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, tetapi belum terlambat untuk Tan Sri terus bersuara sekarang.

Barangkali akan ada kesan daripada suara Tan Sri nanti, namun demi rakyat, rasanya ia tentu berbaloi untuk dilakukan.

Kecuali - seperti sesetengah pihak - Tan Sri menganggap kami sebagai rakyat ini sekadar tunggul yang tidak perlu diendahkan.

Kepada Tan Sri kami berharap.

AL-ABROR MOHD YUSUF anggota sidang redaksi Malaysiakini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...