TERKINI :

Friday, January 8, 2016

Anak Bukit - Penduduk bantah kutipan cukai pintu pertama kali antara RM60 hingga lebih RM300 setahun

Penduduk bantah kutipan cukai pintu

ALOR SETAR - Lebih 200 penduduk Kampung Seberang Cegar, Anak Bukit kesal kerana dikenakan kutipan cukai pintu pertama kali antara RM60 hingga lebih RM300 setahun oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Kebanyakannya yang menetap di rumah pusaka berusia hampir 200 tahun itu turut meminta penjelasan dari pihak berkaitan.

Wakil penduduk, Fadzil Abu Bakar, 54, berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai kutipan itu beberapa hari lalu menerusi bil cukai pintu yang dihantar kepada setiap penduduk yang terlibat.

“Ini rumah pusaka tinggalan nenek moyang. Sejak lahir lagi memang kami menetap di sini dan tidak pernah dikenakan bayaran cukai pintu, cuma bayar cukai tanah RM20 setahun.

“Tiba-tiba kami dikenakan cukai pintu tanpa sebarang makluman awal atau perbincangan dari MBAS. Kutipan yang dibuat juga tidak setimpal dengan perkhidmatan,” katanya kepada media semalam.

Berikutan itu, hampir 20 wakil penduduk di Kampung Seberang Cegar berkumpul di pekarangan pejabat MBAS menyatakan bantahan selain mahu mendapatkan penjelasan.

“Kami terkejut dan tidak puas hati sebab tiba-tiba saja MBAS mengenakan kutipan cukai pintu kepada penduduk tanpa notis awal.

“Nilaian yang dibuat juga meragukan apabila saya perlu bayar cukai pintu RM112.50 setahun manakala rumah jiran yang lebih kecil pula dikenakan RM200,” kata Fadzil.

Aishah Darani, 48, turut kesal apabila dikenakan bayaran cukai pintu RM70 setahun.

“Saya terkejut juga sebab tiba-tiba saja perlu bayar cukai pintu kepada MBAS. Sedangkan sejak puluhan tahun menetap di sini tidak pun dikenakan bayaran cukai pintu.

“Kalau mereka nak kutip cukai sekalipun, biarlah kami menerima perkhidmatan sewajarnya seperti taman perumahan yang lain,” katanya.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu tiada halangan untuk membuat bayaran tetapi ia sepatutnya menerima perkhidmatan yang setimpal dengan bayaran.

“Kalau nak kutip cukai pintu, kami boleh bayar. Tapi janganlah hantar surat dulu, perkhidmatan pula tidak diberikan kepada kami.

“Kalau ada perkhidmatan seperti kutip sampah, potong rumput dan cuci longkang, kami pun boleh pakat-pakat setuju untuk bayar cukai itu,” katanya.

Akashah Ali, 43, pula berkata, pihak berkenaan sepatutnya memberi penjelasan dan bertemu penduduk terlebih dahulu sebelum mengenakan cukai.

“Saya terkejut sebab tiba-tiba saja perlu bayar cukai pintu, sedangkan sebelum ini tidak pula kena bayar cukai pintu sehingga RM68 setahun.

“Kita akui kampung ini sudah dinaik taraf sebagai kawasan dalam bandar raya. Tapi cara mengenakan cukai itu tidak boleh diterima,” katanya.

Majoriti penduduk yang merupakan petani padi di kawasan itu turut melahirkan rasa kesal apabila nilaian yang dibuat disifatkan meragukan dan membebankan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seberang Cegar, Tabarudin Ramli berkata, perjumpaan wakil penduduk dengan MBAS lebih 30 minit mendapat suatu persefahaman bersama.

“MBAS bersetuju untuk melihat semula nilaian yang dibuat membabitkan 70 rumah di Kampung Seberang Cegar dalam masa terdekat.

“Cuma kita minta mereka sedia perkhidmatan tong sampah dan kutip sampah seperti yang dilakukan di taman perumahan lain,” katanya.

Beliau berkata, penduduk terlibat juga diberi kelonggaran untuk menjelaskan bayaran cukai pintu secara ansuran.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...