TERKINI :

Sunday, January 3, 2016

Amanah: Ambo tidak terlibat, kata Nik Omar

KOTA BHARU - Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan penyertaan beliau dalam‎ Parti Amanah Negara (Amanah) seperti mana yang dilaporkan portal berita.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara  itu, namun  tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah dalam sistem politik tanah air.

Menurutnya, beliau lebih suka kepada gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya semalam,  Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin‎ mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Ditanya kenyataan itu bermaksud beliau menolak perlantikkan itu, Nik Omar yang juga Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎ berkata, beliau sama sekali tidak terlibat.

Dalam masa yang sama, Nik Omar turut enggan mengulas ketika ditanya dakwaan mengatakan beliau telah menyertai parti itu dengan menggunakan nama samaran.

Nik Omar sebelum ini seringkali dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali hadir dalam majlis anjuran parti serpihan Pas itu‎ beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...