TERKINI :

Saturday, January 23, 2016

Alor Setar - Rumah urut ‘kegemaran’ diserbu

Rumah urut 'kegemaran' diserbu

ALOR SETAR - Sebuah rumah urut sekitar Jalan Putra, di sini, yang didakwa menjadi kegemaran penduduk tempatan dan warga asing, diserbu, kelmarin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Yusri Hashim berkata, premis itu dilihat dikunjungi golongan terlibat sepanjang pemerhatian pihaknya selama enam jam bermula 4 petang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, 15 pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Tinggi, Wan Fatonatunnor Abdul Rahim melakukan Ops Ikrar.

"Hasil pemeriksaan, dua wanita warga asing masing-masing berusia 42 dan 44 tahun dari China dan Thailand, bersama seorang lelaki tempatan ditahan.

"Dua wanita berkenaan ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan dan disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Yusri berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana melindungi warga asing.

Sementara itu, katanya, beberapa warga tempatan lain yang berada di premis berkenaan turut diambil kenyataan mereka untuk membantu siasatan.

Mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...