TERKINI :

Thursday, January 28, 2016

Alor Setar - Petani risau masalah padi rebah


Petani risau masalah padi rebah

ALOR SETAR - Petani di Kampung Padang Lalang, di sini bimbang berputih mata akibat masalah padi rebah yang dialami mereka sejak beberapa hari lalu.

Rata-rata mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian kerana padi berkemungkinan tidak dapat dituai sepenuhnya dan merayu agar dapat diberikan bantuan.

Salah seorang daripada mereka, Jamaludin Shafie, 58, berkata, masalah padi rebah dipercayai berlaku sewaktu hujan lebat dan angin kencang minggu lalu.

Menurutnya, pada mulanya mereka berdepan masalah tanah merekah akibat musim kering, bagaimanapun beberapa hari lalu tiba-tiba angin kencang disertai hujan.

"Habis padi kami rebah dan tangkal padi pula jadi lembut sebab terendam lama dalam air.

"Masalah padi rebah dan sawah tenggelam dalam air ini akan susahkan mesin nak menuai padi," katanya.

Abdullah Abdul Rahman, 63, pula berkata, dianggarkan kira-kira 10 petani di kawasan berkenaan berdepan masalah sama.

Menurutnya, petani bimbang terpaksa menanggung kerugian dan berputih mata sedangkan sudah banyak mereka keluarkan demi mengusahakan sawah padi masing-masing.

"Bayangkan dah banyak duit terpaksa kami keluarkan untuk kos jentera, racun dan upah bagi memastikan padi dapat ditanam dengan sempurna," katanya.

Abdullah berkata, kebanyakan petani mungkin hanya mampu memperoleh pulangan 50 peratus dari kuantiti asal, namun mungkin ada juga bakal pulang dengan tangan kosong.

"Kami harap pihak terlibat dapat bantu ringankan beban kami dengan bantuan sewajarnya," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...