TERKINI :

Thursday, December 31, 2015

RON95 turun 10 sen kepada RM1.85 seliter

Bermula tengah malam ini, petrol RON 95 dijual dengan harga baru pada RM1.85 seliter, manakala RON97 pula turun 20 sen menjadi RM2.25

Harga diesel pula turun 30 sen kepada RM1.60 daripada RM1.90.

Pengurangan itu berikutan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus menjunam.

Skandal rasuah paling teruk dunia: Malaysia di tangga 3

Malaysia telah dinamakan sebagai antara enam negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk" di dunia bagi tahun 2015.

‘Anugerah’ itu diberikan oleh foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company - dalam laporannya dua hari lalu.

Laporan itu, antara lain menyatakan bagaimana pemimpin-pemimpin terpalit dalam skandal rasuah besar-besaran, hakim mahkamah tinggi dan juga mereka yang mengendalilakn industri bola sepak dunia.

Bagi skandal rasuah, Malaysia berada di tangga ketiga, di belakang Federation Internationale de Football Association (FIFA) dan Nigeria.

Honduras dan Guatemala mengambil tempat keempat, manakala hakim-hakim di Ghana dan Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu berada di tangga kelima dan keenam.

Rafizi dakwa aset negara dijual untuk kambus hutang 1MDB

Perjanjian jual beli antara 1MDB dan syarikat asing dalam pembangunan Bandar Malaysia mengesahkan lebih banyak aset dan projek negara akan jatuh ke syarikat asing, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas tindakan 1MDB menjual kepentingan 60 peratus miliknya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

"CREC akan mempunyai 40 peratus dari 60 peratus pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24 peratus di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik,"

"Perjanjian hari ini hanya mengesahkan amaran saya sebelum ini bahawa kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk mengambus hutang besar 1MDB," katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau percaya pegangan itu akan memberi kelebihan kepada CREC untuk membida dan memenangi projek lebih besar yang berkait rapat dengan Bandar Malaysia iaitu pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur–Singapura.

Projek itu dijangka menelan belanja USD11 bilion atau bersamaan RM47 bilion jika mengikut kadar tukaran semasa, kata Rafizi.

"Saya berani meneka bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China.

"Jika ini berlaku, Malaysia akan memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly," katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian antara 1MDB dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, kepentingan 60 peratus saham syarikat itu dijual kepada konsortium berkenaan pada nilai RM7.41 bilion manakala penilaian semasa Bandar Malaysia diletakkan pada RM12.35 bilion

DAP - 'Pangkalan tentera Israel di Malaysia tak masuk akal’

DAP hari ini menolak dakwaan bahawa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion pada pilihan raya umum lalu dan sebuah pangkalan tentera Israel akan dibina di negara ini jika mereka mengambil alih Putrajaya.

"Ini tidak masuk akal," kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berhubung dakwaan itu.

Loke berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang dibuat oleh Pengarah Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki mengenai perkara berkenaan.

Zuhdi dipetik oleh portal The Rakyat Post semalam bahawa DAP telah ditawarkan sejumlah wang dan sebagai balasan akan membina sebuah pangkalan tentera Israel di Port Dickson jika ia berjaya merampas Putrajaya.

Pemimpin PAS juga berkata DAP tidak pernah menafikan atau memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada DAP merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuhdi, Loke berkata pengumumannya akan dibuat kemudian.

"Kami akan umumkan kemudian," katanya.

Zuhdi mencuri tumpuan tahun lalu selepas paparan skrin perbualan di WhatsApp mendedahkan bahawa pemimpin jawatankuasa pusat PAS secara aktif membincangkan senario bagi meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Paparan skrin - yang diedarkan di Facebook - menunjukkan Zuhdi membincangkan bekerjasama dengan Umno.

Warga kota keluh, dua kerja pun tak cukup tampung pendapatan


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan yang mencetuskan kontroversi apabila menyarankan rakyat melakukan dua kerja demi survival mereka khususnya di kota terus dicemuh rakyat.

Bagi sebahagian warga kota, sekalipun dengan dua kerja, ia tidak cukup untuk menampung pendapatan isu rumah di sebuah kota besar seperti di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi Johari Basri, 36, setiap hari dia akan bangkit sekitar 6 pagi untuk keluar bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam.

Bapa kepada tiga anak ini berkata sekitar tahun 2000 gaji pokok sebanyak RM2,000 sebulan sudah cukup untuk menampung hidupnya sekeluarga.

Namun, ia berbeza dengan keadaan ekonomi sekarang di mana pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 belum mampu menampung tiga per empat keperluan hidup bekeluarga.

“Sebelum ini ekonomi tidaklah teruk sangat tapi sekarang ini semakin teruk. Bukan saya saja yang rasa begitu ramai lagi kawan-kawan yang sama meniaga dengan saya rasa macam itu.

Akhirnya bermula Jan 2016 tarif elektrik diturunkan tapi.....

Singapura umum turunkan tarif elektrik bermula Jan 2016


SINGAPURA: Singapura hari ini mengumumkan tarif elektrik di Republik itu akan diturunkan untuk tiga bulan pertama 2016 sejajar dengan penurunan harga gas asli yang digunakan untuk menjana tenaga.

Menurut laporan agensi berita tempatan, bermula 1 Jan sehingga 31 Mac, tarif elektrik akan diturunkan pada kadar purata 4.2 peratus, atau SGD 0.85 per kilowatt-jam (kWj), berbanding suku terakhir 2015.

Sementara penurunan kos gas asli untuk menghasilkan tenaga dianggarkan sekitar 8.9 peratus sepanjang tempoh tiga bulan terakhir 2015.

Tarif baharu ini dilihat bakal menyaksikan kadar lebih rendah berbanding sepanjang 2015 buat pengguna di negara itu.

Kadar tarif elektrik dikaji setiap tiga bulan oleh SP Services, syarikat utiliti tenaga utama Republik itu.

Siapa yang jual tanah Bandar Malaysia kepada konsortium negara komunis?

Sumber : UtusanDaily


Ini bukan saja isu jual asset.

Asal Tanah Bandar Malaysia adalah lapangan terbang untuk tentera udara Malaysia untuk menjamin keselamatan Ibu Negara, kini 1MDB jual kepada China.

Siapa yang jual tanah kepada konsortium negara komunis?

Asal Usul BANDAR MALAYSIA...

Projek Bandar Malaysia Ikut Jadual
17 Februari 2011
Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 17 Feb. - Pelaksanaan Projek Bandar Malaysia kini berjalan mengikut jadual dengan termeterainya perjanjian pembangunan di lapan tapak pemindahan yang akan menempatkan pangkalan tentera dan polis yang sedang beroperasi di Pangkalan Udara Sungai Besi, dekat sini.

1Malaysia Development Bhd. (IMDB) dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya akan membangunkan pangkalan baharu bagi Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Rejimen ke-31 Artileri DiRaja (31 RAD) dan Pangkalan Gerakan Udara Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

AMANAH Perak - Kesilapan Kami Adalah Kerana Terlalu Bersangka Baik


Pemuda Amanah Negeri Perak terpanggil untuk memberi penjelasan terhadap viral berkenaan seorang individu yang menyertai Amanah semalam. Semalam Pemuda Amanah Negeri Perak telah mengadakan program turun padang ke Dun Changkat Jering. Kami telah menyusun program sepanjang hari bermula malam kelmarin hingga petang semalam.

Kami telah didatangi oleh seorang individu yang dikenali sebgai Zack atau nama sebenarnya Mohd Zakaria. Tanpa diketahui beliau hadir ke Pejabat Amanah Kawasan Bukit Gantang iaitu lokasi kami berkumpul.

Kami 'bermanis mulut' menawarkan beliau menyertai Amanah walaupun kami mengetahui bahawa beliau adalah individu yang sangat aktif dengan PAS. Beliau bersetuju untuk menyertai Amanah dengan alasan-alasan yang beliau luahkan kepada kami pada masa itu. Beliau turut bersetuju untuk menyerahkan borang keahlian yang masih belum diisi kepada Adun Changkat Jering, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai gimik penyertaannya.

Kisah "Ubat Luput Tarikh"..!!!

Oleh Ridzwan Abu Bakar


Sekalipun 'ubat' tetap mengekalkan bentuk dan rupanya, tetapi apabila 'power' dan 'fungsi'nya telah melewati tarikh luputnya, ubat hanya akan tetap menjadi ubat dalam bentuk dan rupa.

'Ubat luput tarikh' adalah perumpamaan yang diberikan oleh Bekas Menteri Besar Terangganu kepada Mendiang Karpal Singh dan YB Lim Kit Siang dalam pilihanraya umum 2004, Bekas MB Terangganu itu 'berang' terhadap beberapa kenyataan dua orang tokoh politik DAP itu yang mengingatkan bahawa kerajaan pimpinan bekas MB itu akan tersungkur sekiranya bi'ah politik tidak berubah dan tidak diusahakan untuk diubah, namun yang dijawab balik hanya 'ubat luput tarikh'.

4 tahun selepas itu (2008), kedua dua parti yang dipimpin bekas MB dan Karpal+LKS telah bekerjasama, pelbagai aktiviti bersama, kenyataan bersama dan menifesto bersama pun dilancarkan, 'ubat' baru yang jangka hayat disambung semula bergerak seiring.

Ketika itu, UMNO menjadikan DAP sebagai 'sasaran' serangan dan 'hantu' untuk takutkan Melayu, 'kalau sokong Pakatan Pembangkang, Dap akan perintah Malaysia' hujah dungu Umno disebarkan, 'kita kena jaga ketuanan Melayu, tengok Penang dah diperintah oleh Cina' hujah 'longkang' pemimpin Umno disebarluaskan oleh Utusan Meloya.

Segera kesan ‘musang berbulu 
ayam’ dalam PDRM – PPIM

Nadzim Johan
KUALA LUMPUR 30 Dis. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sekiranya ada anggota yang bersubahat dalam kes penipuan terutamanya di Kompleks Kota Raya.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dilakukan segera bagi membendung gejala yang semakin me­runcing serta meninggalkan kesan buruk kepada imej negara.

“Banyak perkara pelik yang berlaku apabila pengusaha premis berani melakukan penipuan secara terang-terangan seperti ada yang melindungi mereka. Pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan terhadap mereka tetapi mengenakan tindakan kepada aktivis PPIM yang membantu.

“Mangsa kepada sindiket ini bukan hanya terdiri daripada rakyat tempatan tetapi turut melibatkan pekerja asing dan juga pelancong dengan menggunakan cara mengurung dan memeras ugut,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama semalam.

Yang turut hadir sebagai panel Pe­ngarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi dan Moderator Ruang Bicara, Datuk Dahlan Maamor.

Dok marah DAP...akhirnya Syarikat CHINA jugak yang dicarinya..!!


Konsortium syarikat China dapat 60% kepentingan Bandar Malaysia
31 Disember 2015 10:24 AM


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Konsortium yang dianggotai oleh syarikat China iaitu China Railway Engineering Corporation (M) Sdn. Bhd. (CREC) dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) berjaya memenangi kepentingan 60 peratus dalam Bandar Malaysia yang dimiliki 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Konsortium tersebut menganggarkan 100 peratus nilai Bandar Malaysia sebanyak RM12.35 bilion dan membeli 60 peratus tanah tersebut pada harga RM7.41 bilion.

Perjanjian Pembelian dan Jualan Saham antara 1MDB dan konsortium tersebut ditandatangani hari ini dan transaksi penuh pembelian itu dijangka dimuktamadkan pada akhir Jun 2016. - UTUSAN ONLINE

2015 tahun 'gelap' bagi Pas?

NIZAM ZAIN / SINAR HARIAN

TAHUN  2015 melakar sejarah hitam buat Pas apabila kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan DAP berakhir di tengah jalan susulan perbalahan antara dua parti pembangkang itu tidak dapat dibendung lagi.

Usul Dewan Ulama Pas itu diluluskan Muktamar Tahunan Pas ke-61 tanpa bahas pada Jun lalu mendapat sokongan sepenuhnya Majlis Syura Ulama (MSU) Pas selepas sebulan mempertimbangkan cadangan itu.

Tindakan DAP yang didakwa melakukan provokasi berterusan, membuat keputusan mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat termasuk campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat Pas antara alasan kukuh untuk menamatkan kerjasama itu.

Bukan setakat itu, kecaman DAP kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai pindaan kuasa Mahkamah Syariah di Kelantan turut memberi kesan kepada MSU dalam mempertimbangkan kerjasama itu sejak 2008 lagi.

Keadaan itu turut mengundang ketidakstabilan Pakatan Rakyat hingga terbubarnya gabungan pembangkang itu kerana pendirian Pas memutuskan hubungan dengan DAP sebaik sahaja Muktamar Tahunan Pas berakhir pada 6 Jun lalu.

Ia rentetan daripada tindakan DAP sendiri yang terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi pada 24 Mac lalu kerana didakwa 'tidak jujur' dalam kerjasama politik itu hingga menyebabkan Pakatan Rakyat terumbang-ambing.

Perjalanan politik Pas semakin rumit apabila golongan profesional yang mengimbangi kepimpinan parti Islam itu keluar beramai-ramai dan menubuhkan parti baharu.

Nama-nama seperti bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; bekas Naib Presiden, Salahuddin Ayub; bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat iaitu Khalid Abdul Samad, Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Mereka ini dikatakan pemimpin pro-Pakatan Rakyat atau lebih tepat lagi dikenali sebagai kumpulan Anwarinas meninggalkan parti Islam itu apabila gagal mempertahankan jawatan masing-masing dan menyertai NGO Gabungan Harapan Baru (GHB).

Belum pun 'luka' Pas sembuh, NGO itu menambahkan sengsara parti Islam itu apabila menyerang kepimpinan ulama yang kembali mendominasi hierarki teratas Pas selepas Muktamar Tahunan Ke-61, Jun lalu.

Kumpulan progresif itu yang pada awalnya dinamakan G18 itu hanya meninggalkan Pas selepas Parti Amanh Negara (Amanah) ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober lalu.

Sehingga kini Pas kehilangan 11 wakil rakyat apabila enam Ahli Parlimen dan lima lagi Adun mereka bertindak melompat parti.

Sepuluh daripada jumlah itu menganggotai Amanah manakala Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar memilih menyertai PKR sebagai platform politik baharunya.

Pas kembali bersendirian selepas 70-an ketika menyertai Parti Perikatan, Barisan Alternatif dan kini gagal pula bertahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat kerana mempertahankan agenda negara Islam dan hukum hudud mendahului kepentingan bersama pakatan pembangkang itu.

Liku Pas dalam arena politik Malaysia tidak terhenti di situ malah dituduh pula bersengkongkol dengan BN apabila berkecuali dengan parti pembangkang lain untuk tidak menyokong Bajet 2016 dan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pas dianggap musuh dalam selimut ketika bersama PR kerana didakwa cenderung untuk menubuhkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.

Khabar angin itu semakin nyata apabila bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula mendedahkan bahawa Abdul Hadi pernah mengaku menjadi dalang kepada penubuhan kerajaan perpaduan di Selangor pada 2008.

Pas kembali panas dengan isu kerajaan perpaduan dan kini menunggu untuk bersemuka dengan Dewan Harian Pas Pusat kerana pendedahannya begitu serius kepada masa depan parti Islam itu.

Pas tidak pernah lekang daripada isu dan laluan parti Islam itu menjelang PRU14 semakin sukar kerana 'keangkuhannya' melangkaui kepentingan parti pembangkang lain.

Bauksit : Kerajaan negeri sering beralasan bila sentuh bab nie...

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang sering memberi alasan dalam mengendalikan isu perlombongan bauksit di sana.

Beliau berkata, pihak pembangkang bersama-sama NGO sudah melakukan pelbagai cara untuk membantah perlombongan bauksit di sekitar Kuantan.

“Kita sudah bangkitkan isu ini di sidang DUN. Malah Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) sendiri akui masalah dalam penguatkuasaan. Kita juga bersama-sama NGO mengadakan demonstrasi dan laporan polis.

“Namun MB hanya beri alasan yang perlu ambil kesempatan dengan harga bauksit yang tinggi pada tahun ini dan keadaan akan berbeza pada tahun depan,” dakwanya ketika dihubungi FMT.

Menurut beliau, pihaknya juga sudah meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat sekatan terhadap lori bauksit yang melanggar peraturan.

“Tetapi ia dijalankan secara tidak menyeluruh dan konsisten. MB pernah kata akan mengarahkan lori menggunakan guni bagi mengelakkan debu bauksit tersebar dan jatuh ke jalan raya. Ini semua adalah gimik dan alasan sahaja,” dakwa Adun Mentakab itu lagi.

Kemarahan penduduk sekitar terhadap kegiatan ini dilihat telah memuncak apabila dikatakan sudah enam buah lori pengangkut bauksit yang dibakar.

Pada pagi Rabu, warga Kuantan dikejutkan apabila pesisir pantai dari Sungai Pengorak ke Pantai Batu Hitam ‘bertukar’ merah.

Jabatan Alam Sekitar dilaporkan sedang menyiasat kejadian itu, yang didakwa sesetengah pihak angkara aktiviti perlombongan bauksit.

“Keadaan betul-betul sudah teruk. Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibuat, kecuali tukar kerajaan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa pembangkang tidak menghalang sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan hasil kepada rakyat dan kerajaan negeri, tetapi ia perlu mematuhi peraturan.

“Selain menyusahkan penduduk, ia juga mengancam alam sekitar. Adakah kita mahu bencana alam berlaku, seperti apa yang terjadi di Cameron Highlands?” katanya lagi.

Beliau merujuk peringatan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung risiko berlakunya bencana alam di sana.

Menurut laporan Sinar Harian 11 Julai lalu, Tengku Abdullah meminta kerajaan negeri lebih tegas dalam menangani isu perlombongan bauksit secara haram kerana boleh mendatangkan musibah apabila tibanya musim tengkujuh.

5 perkara yang ‘NAIK’ pada 2015 yang paling rakyat "suka"

1. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Pada 1 April 2015, kerajaan telah menguatkuasakan GST dengan kadar cukai pengenalan sebanyak enam peratus.

Pelbagai bantahan dan demonstrasi telah dilakukan bagi menolak cukai yang dikatakan akan membebankan rakyat.

2. Pengangkutan Awam

Pada 2 Disember, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan kenaikan harga tambang iaitu sehingga RM7.20 sehala.

Manakala, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) juga mengumumkan untuk menaikkan tambang sebanyak RM20. Namun ia berkuatkuasa pada 1 Januari 2016 ini selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Manakala, tambang bagi perkhidmatan LRT dan Monorel di sekitar Kuala Lumpur juga naik bagi sesetengah kawasan, namun kadar tambang di beberapa stesen kekal dan ada yang turun. Rasionalisasi ini berikutan keputusan Prasarana Malaysia Bhd bertindak menyemak semula struktur tambangnya.

3. Kadar tol naik

Lapan lebuhraya bertindak menaikkan harga tol dengan kenaikan lebih 17 hingga 80 peratus iaitu di antara RM0.20 sen hingga RM3.00 pada 15 Oktober lalu.

Kementerian Kerja Raya berkata, penyelarasan kadar tol hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar sahaja.

4. Utiliti

Pada 1 Ogos lalu, kadar tarif air di Johor telah dinaikkan antara RM2.00 dan RM3.00 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan. Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Perkara yang sama turut dilakukan oleh negeri Pulau Pinang yang menaikkan kadar tarif air pada hari sama Kerajaan Persekutuan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 April.

5. Darah rakyat ‘NAIK’!

Kenaikan beberapa perkara secara mendadak telah menaikkan kemarahan rakyat di negara ini. Ramai berpendapat kenaikan itu tidak sepadan dengan kualiti dan perkhidmatan yang masih di takuk lama.

Hidup rakyat diramal lebih ‘teruk’ pada 2016

PETALING JAYA: Kehidupan rakyat di negara ini diramal akan lebih mencabar pada 2016 kerana kenaikan kos sara hidup yang berterusan terutamanya disebabkan kenaikan harga barangan dan pengangkutan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sekiranya tidak ada pemulihan harga minyak dan kejatuhan nilai Ringgit masih berterusan, kehidupan rakyat sebagai pengguna akan menjadi lebih teruk.

“Jika kedua-duanya masih berlaku, memang ia akan menyebabkan keadaan menjadi teruk. Macam mana pemulihan harga minyak itu boleh dinaikkan atau Ringgit itu dapat dipulihkan ia akan memberi kesan kepada pengguna.

“Kerajaan harus mencari langkah-langkah (menyelesaikan) keadaan ekonomi yang berlaku sekarang ini (agar) dapat dipulihkan,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Sehubungan itu, Abdul Rahman turut menggesa agar kerajaan dapat menghentikan sebarang kenaikan kos sara hidup melibatkan rakyat.

“Umpamanya jika tol PLUS meningkat akan beri kesan kepada pengguna, rasionalisasi barang-barang keperluan jika kerajaan laksanakan juga tahun depan sudah tentu memberikan kesan kepada pengguna,” tegasnya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut menjangkakan kehidupan pengguna akan lebih mencabar pada 2016 jika kos sara hidup tidak diperbetulkan.

Katanya, untuk mengatasi perkara itu, perlunya ada langkah-langkah tegas dan perancangan yang baik oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Pengguna perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi semua ini. Kerajaan perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dari aspek ketirisan, penjimatan, permudahkan kerja.

“Ia berkait rapat sebenarnya. Jadi kita kena lakukan semua itu bagi mengatasi cabaran yang begitu besar hari ini,” katanya.

Kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan berlaku selepas kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April lalu.

Ia ditambah dengan kenaikan kadar tol beberapa lebuh raya antara bandar pada Oktober lalu dan kenaikan tambang pengangkutan awam berkuatkuasa 2 Disember lalu.

Tahun hadapan, kadar tol lebuh raya PLUS dijangka naik sebanyak lima peratus seperti mengikut perjanjian konsesi. Namun setakat ini, kerajaan belum memberi kata putus.

Lapan lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Link Kedua, Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Selat Klang Utara (NKSB) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Tambang ERL pula naik sebanyak RM20 bagi perjalanan sehala kepada RM55 berkuatkuasa 1 Januari 2016.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...