TERKINI :

Sunday, December 27, 2015

Bekas Mejar TUDM Zaidi Ahmad tinggalkan PAS sertai AMANAH

ZAIDI AHMAD TINGGALKAN PAS SERTAI AMANAH

Selepas beberapa bulan menyertai PAS, bekas mejar tentera udara Zaidi Ahmad yang kehilangan pencen kerana bersuara berkenaan isu dakwat kekal sewaktu dalam perkhidmatan, meninggalkan parti Islam tersebut dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Bekas juruterbang pesawat pejuang itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana "PAS cenderung terhadap Umno dan tidak bersama parti pembangkang lain".

Beliau pada asalnya menyertai Gerakan Harapan Baru – gerakan pra penubuhan Amanah yang dilancarkan pada September lalu.

Katanya, penyertaan dalam Amanah berlaku kerana PAS tidak melakukan perkara yang perlu dilakukan sebagai parti pembangkang sedangkan beliau sebelum ini menyertai PAS "kerana ia menegakkan Islam".

"Saya rasakan PAS cenderung kepada Umno. Ia bukan perkara yang sepatutnya dilakukan parti pembangkang.

"Semua parti dalam pembangkang sepatutnya bersatu menentang Umno. Itu peraturannya. Tapi PAS melakukan sebaliknya...dan ia juga meninggalkan Pakatan Rakyat," katanya.

Tmi

DAP Perak berpendirian tegas, menolak keganasan dan penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Kenyataan Media DAP Perak bertarikh 27hb Disember, 2015

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh saudara Chong Zhemin, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak bertajuk, “Will Malaysia boycott the Olympic Games if Israel were to be the host country of Olympic Games?” bertrikh 26 Disember 2015.

Kenyataan tersebut telah ditarik balik oleh saudara Chong dan tidak mewakili pendirian DAP Perak.

DAP Perak berpendirian tegas, menolak keganasan dan penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Tanpa menjejaskan pendirian jelas kami terhadap Israel, kami berpendapat bahawa Kementerian Belia & Sukan harus berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi para atlet yang merupakan johan menunggu tidak dinafikan hak bertanding hanya kerana kezaliman pemerintah politik negara mereka.

Dengan mengekalkan semangat kesukanan yang merentasi batas politik dan agama, namun pada masa yang sama turut mengekalkan bantahan dan pendirian tegas terhadap Israel, kami yakin bahawa pihak Kementerian boleh mencari jalan tengah untuk menyelesaikan permasalahan sedia ada.

DAP Perak yakin dan percaya, kompromi profesional untuk dua orang ahli sukan profesional tidak akan mengubah barang sedikit pun prinsip dan pendirian tegas kita semua dalam isu Palestin-Israel.

DAP Perak berdoa agar kezaliman yang berlaku ke atas rakyat Palestin akan dihentikan dengan segera.

Sekian, terima kasih.

Nga Kor Ming

Pengerusi DAP Perak/ Ahli Parlimen Taiping

Selepas berdekad bermusuhan, ahli PAS sedia kerjasama dengan Umno

Ahli PAS bersedia bekerjasama dengan Umno walaupun selepas berdekad wujud persengketaan antara mereka, ketika adanya usaha untuk memperbaiki hubungan antara 2 kuasa politik terbesar Malaysia itu.

Bagaimanapun, ada sesetengah masih curiga dengan tawaran perdamaian Umno dan bimbang PAS akan sekali lagi terjatuh ke dalam perangkap musuh lamanya yang kini semakin terdesak.

Walaupun ada penganalisis berpendapat kerjasama antara parti itu tidak lebih daripada sekadar memanjangkan jangka hayat kedua-duanya yang sedang tenat, ahli PAS melihatnya sebagai cara menyatukan hubungan masyarakat Melayu Islam negara ini.

Mohd Monier Mat Din, ahli PAS dari Baling, Kedah, mengalu-alukan idea memperbaiki hubungan dengan Umno.

Walaupun menyedari kebimbangan yang wujud di kalangan ramai rakan parti terhadap musuh lama mereka itu, bagi Monier, PAS bertanggungjawab menerima salam silaturahim Umno, walau apa pun risikonya.

“Kerja PAS ialah berdakwah walaupun kepada orang jahat. Tetapi sekiranya orang jahat itu mengkhianati kita lagi, apa kita boleh buat? Sejahat mana pun Umno, mereka masih orang Islam.”

Ramlan Samiran dari Batu Pahat, Johor, juga menyuarakan sentimen perpaduan Melayu-Islam, mengatakan PAS perlu memaafkan kesilapan silam Umno dan melupakan sejarah permusuhan panjang kedua-dua parti.

“PAS membenci Umno tetapi sekiranya Umno bertaubat dan kembali ke jalan yang benar,kita perlu menerima mereka,” kata Ramlan.

Enam dekad permusuhan

Dua parti itu bersaing untuk mendapatkan undi orang Melayu dan menjadi suara mewakili masyarakat Melayu Islam sejak PAS ditubuhkan pada 1951.

PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1974 atas undangan Umno. Hubungan antara mereka terputus pada 1977 apabila PAS meninggalkan BN. Ia juga hilang kawalan atas kerajaan Kelantan.

Pengalaman pahit itu menyebabkan beberapa pemimpin PAS seperti allahyarham mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan parti Islam itu tidak akan bekerjasama lagi dengan Umno.

Hubungan kedua-dua parti kembali baik apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai PAS.

Pada 18 Disember, Hadi berkongsi pentas dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan bekas pelajar Universiti Al Azhar di mana sekali lagi Najib menyuarakan tawaran perdamaian kepada PAS.

Penganalisis seperti Mohd Hisomuddin Bakar dari Ilham Center berkata, kehadiran Hadi ialah petanda jelas parti Islam itu mungkin akan berdamai dengan musuh lamanya.

Terutama sekali selepas PAS tidak termasuk dalam pakatan pembangkang baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Isu kepercayaan

Semua yang ditemuramah menyuarakan kepercayaan kepimpinan parti, terutama sekali presiden dan majlis syura ulama membuat keputusan terbaik dengan kembali bekerjasama dengan Umno.

Walaupun hakikatnya, sebilangan pemimpin ini menyaksikan sendiri bagaimana Umno mengkhianati mereka di penghujung 1970-an.

“Kami tahu pemimpin yang kami pilih serta para ulama lebih berpengetahuan dan berpengalaman berbanding kami dalam hal ini dan mereka akan melakukan keputusan yang tepat untuk parti,” kata Mohamad Shamsuri Mohamad Hussin dari Maran, Pahang.

Mereka juga mengulangi kenyataan Hadi sebelum ini, PAS bersedia bekerja dengan Umno dan menasihati mereka tentang bagaimana mentadbir negara berdasarkan prinsip Islam.

“PAS boleh menjadi ‘check and balance’ kepada Umno dan mengawalnya daripada korupsi dan salahguna kuasa,” kata Ramlan dari Batu Pahat.

“Kami di sini bukan untuk memerintah, kami di sini untuk menasihati Umno,” kata Monier dari Baling, mengulangi kata-kata presiden parti.

Ahli parti lain seperti Mohamad Zahar dari Kuala Lumpur, bagaimanapun, mempersoalkan sama ada Umno benar-benar ikhlas atau ia sekadar cubaan menyelamatkan parti Melayu itu.

“Umno dipenuhi skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dan rungutan rakyat tentang ekonomi,” kata Zahar yang tidak mahu mendedahkan nama penuhnya.

“Jadi kini, tiba-tiba kita seperti membantu mereka bangun selepas semua yang dilakukan kepada kita.”

Dia juga kritikal terhadap pemimpin PAS yang cepat memaafkan Umno tetapi tidak parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah), yang dibentuk bekas pemimpin dan ahli PAS.

Kepimpinan PAS melabelkan parti serpihan itu sebagai pengkhianat tetapi apa yang dilakukan Amanah tidak seteruk mana berbanding tindakan keras Umno atas aktiviti dan pemimpin PAS, kata Zahar.

“Mengapa hanya terbuka hati kepada Umno? Mengapa tidak Amanah malah DAP, kedua-duanya juga boleh memperkukuhkan PAS.

"Sekiranya kita boleh memaafkan kesalahan Umno kepada kita selama ini, jadi pastinya kita boleh juga memaafkan yang lain,” katanya. – 27 Disember, 2015.

Kami tak boleh dedah penyumbang RM2.6b Najib, kata SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa ia terikat dengan undang-undang untuk tidak mendedahkan nama penderma yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Operasi Khas, SPRM Datuk Bahri Mohd Zin berkata suruhanjaya anti-rasuah itu dihalang oleh Akta SPRM 2009 daripada mendedahkan butiran siasatannya, sehingga kes dibawa ke mahkamah.

“SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan andainya ia tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Bagaimanapun peruntukan yang sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian,” katanya.

Bahri berkata demikian ketika mengulas gesaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menuntut SPRM untuk mendedahkan identiti penderma berkenaan.

“Sebagai penggubal undang-undang, diharap Rafizi memahami kekangan ini dan

mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang disiasat secara terperinci kepada umum,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

Mengapa Jakim perlu bajet RM1 bilion? - sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mempersoalkan mengapa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memerlukan bajet sehingga RM1 bilion.

Justeru, titah, baginda perkara itu akan ditimbulkan pada mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan datang.

"Saya ingin tahu - jika ia adalah benar - mengapa mereka perlu bajet RM1 bilion?

"Adakah ini termasuk peruntukan kepada semua negeri-negeri? Semasa mesyuarat Majlis Raja-raja seterusnya saya mahu mereka tunjukkan saya butiran perbelanjaan.

"Saya ingin tahu jika mereka juga membiayai sekolah-sekolah agama di sini (di Johor)," katanya kepada akhbar The Star.

Sultan Ibrahim juga memberitahu bahawa sekolah-sekolah agama bermula di Johor sebelum diperkenalkan ke negeri-negeri lain.

Titah baginda, Johor, tidak pernah mempunyai sekolah pondok tetapi sebaliknya mempunyai sekolah agama yang teratur yang mana sukatan pelajarannya digunakan di negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata Jakim memerlukan lebih RM1 bilion bagi tahun kewangan 2016, dan bukan hanya RM724.6 juta yang diperuntukkan buat masa ini.

Beliau berkata jumlah wang yang besar itu diperlukan bagi memerangi ideologi pelampau seperti IS, liberalisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mengulas soalan bahawa beberapa agensi kerajaaan yang kelihatan lebih berpengaruh dan berkuasa berhubung soal agama, Sultan Ibrahim betitah, Raja-raja Melayu adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing.

“Jakim boleh memberi nasihat atau mencadangkan garis panduan tetapi ia terpulang kepada kita (Sultan) sama ada kita mahu menerimanya.

“Saya telah lantik panel bagi Majlis Agama Islam Johor. Mereka keluarkan fatwa tetapi

ini tidak boleh dikuatkuasakan tanpa kelulusan saya.

“Kadang-kadang saya mempersoalkan sesuatu fatwa dan saya mahu mereka menerangkannya, tetapi Jakim tidak mempunyai hak untuk campur tangan di negeri ini,” titah baginda.

Maaf Tok Guru Hj Hadi, saya ingin bertanya - Bahagian 1

1.Saya merujuk kepada berita di harakahdaily.net bertajuk "Mesti Islam Ketua Kerajaan"'yang memetik kenyataan Tok Guru Hj Hadi ( TGHH ).

2. Pertamanya, TGHH menyatakan " dalam Malaysia , majoriti rakyat adalah orang melayu Islam, mesti terima hakikat, melayu Islam memimpin negara. sama ada cara Umno atau cara Pas ,itu bab lain."

Soalan saya pada TGHH

a. Bukankah realiti di Malaysia, bila nak perintah Malaysia kena ikut Perlembagaan Persekutuan ( PP ). Maka dalam PP tidak disyaratkan yg memimpin negara mesti orang Islam. Yang disyaratkan adalah yang nak memimpin negara ini mestilah mendapat sokongan dan keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat ? Jadi mengapa hanya hadkan realiti tersebut tanpa mengira realiti lain yang juga tak kurang pentingnya?

b. Kenapakah TGHH , sebagai Presiden Parti Islam, bercakap tentang pemimpin melayu /Islam dan tidak hanya pemimpin Islam ? Bukankah Islam tidak pandang kepada bangsa. Adakah melayu Islam yang korup akan diutamakan daripada cina Islam atau India Islam atau kadazan Islam yang bertaqwa. Kalau ya, minta maaf, saya ada masalah nak terima Islam versi tersebut. Adakah ini asabiyyah baru iaitu assabiyyah Islam ?

c. Tok Guru kata "Pas mahu Malaysia diperintah oleh orang Islam". Ok, itu satu permintaan yang wajar dan munasabah. Tapi kenapa diletak syarat pula mesti melayu/Islam..Yang ini , bagi saya, tak wajar dan nampak asing dari ajaran Islam.?

2.TGHH juga kata "dalam fekah dan sejarah politik, hanya pemerintahan Islam sahaja yang terbukti mampu memberi keadilan kepada semua pihak termasuk pelbagai agama dan bangsa"

Saya pohon bertanya

a.  Nampaknya macam ada tak kena dengan kenyataan itu, seolah olah tak melihat keseluruhan sejarah Islam. Bukankah sejarah Islam menyaksikan juga pelbagai ragam pemerintahan..Yang adil seperti pemerintahan Syaidina Umar Abd Aziz'wujud. Yang zalim dan memberi wajah dan imej buruk kepada Islam juga seperti pemerinyahan Yazid ibnu al Muawiyyah dan seumpamanya juga wujud. Melainkan TGHH bersikap selektif dalam bercakap tentang sejarah Islam, saya rasa menggunakan elemen sejarah untuk justifikasi pemerintahan Islam ada masalah .

b. Adakah pemerintahan bukan Islam dengan sendirinya zalim dan tidak adil..Kalau itu pegangan TGHH, mohon bertanya mengapakah Rasulullah s.a.w mengarahkan para sahabat r.a utk berhijrah ke Habsyah ('Ethopia )'di bawah pemerintah seorang raja kristian. Kalau pemerintahan kristian itu tak adil, mengapa Rasulullah s.a.w benarkan para sahabat berhijrah ke sana?

c. Bukankah Imam Ibnu Al Qayyik.pernah menyatakan "'kerajaan.adil boleh wujud dalam pemerintahan yang tidak laksana syariat Allah dan pemerintahan zalim boleh wujud walaupun dalam pemerintahan yang laksana syariat Allah" atau kata kata seumpamanya. Wallahu 'alam.

c. Dalam sejarah modern pula, mengapa ramai ahli gerakan Islam yang berhijrah ke negara barat bagi mendapatkan keadilan dan suaka politik padahal.mereka sebelum itu tinggal di negara Islam dan berpemimpinkan orang Islam yang bercakap bahasa Al Quran ?

3.TGHH juga kata "Jangan selama lamanya beri undi ke Umno, berilah juga kepada Pas menjadi kerajaan sekali, tengok kita memerintah bagaimana?

Maaf TGHH, saya pohon bertanya

a. Benarakah rakyat tidak pernah beri peluang Pas memerintah ?'Bagaimana di Trengganu, Kelantan dan Kedah..bukankah sudah di beri peluang memerintah Kerajaan Negeri?  Di Trengganu dan Kedah , Pas dah diberi peluang memerintah satu term sahaja ,,kalau pemerintahan Pas "'superb"'sudah tentu rakyat tak akan tolak hanya satu term sahaja? Mungkin di Kelantan Pas dah perintah agak lama, mungkin ada banyak yang Kelantan dah buat , yang baik, namun adakah Pas berani kata Kerajaan Kelantan adalah model terbaik Kerajaan Islam? Mungkin Tok Guru Nik Aziz boleh dibanggakan dari banyak sudut, tapi bagaimanakah Kerajaan Kelantan secara keseluruhan.

b. Mungkin TGHH merujuk kepada Kerajaan Pusat iaitu beri peluang Pas perintah Kerajaan Pusat dulu dan rakyat akan lihat bagaimana ? Kalau itu hujahnya rakyat akan cakap, beri peluang perintah di negeri pun dah kelam kabut, macam mana kami nak percaya dan beri peluang perintah di pusat ?

Wallahu a'lam..saya hanya bertanya..

Alfaqir illallah ,

Mohamed Hanipa Maidin
Pengerusi Kanun
Parti Amanah Negara

AMANAH Sokong tindakan sekatan terhadap Atlet Israel

Kenyataan Media

SOKONG TINDAKAN SEKATAN TERHADAP ATLET ISRAEL

www.amanah.org.my

Pemuda AMANAH menyokong beberapa sekatan yang dikenakan terhadap terhadap peserta luncur angin dari Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi.

Tindakan ini disambut baik sebagai sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara yang amat tidak bertamadun.

Selain mengambil kira faktor hubungan diplomatik Malaysia-Israel, sekatan yang dilakukan ini perlu sebagai tanda protes terhadap Israel dan ia perlu diterjemah di setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.

Pemuda AMANAH juga mengharapkan agar kerajaan konsisten dalam memastikan tidak berlaku sebarang hubungan dengan Israel seperti yang berlaku sebelum ini termasuklah penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama, kami melahirkan rasa kecewa atas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Pada hemat kami, kenyataan tersebut sangat mengguriskan perasaan rakyat khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sehingga kini sangat peduli terhadap nasib rakyat di negara Palestin.

Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak untuk menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini.

Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama.

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional /
Ketua Pemuda AMANAH Perak

TPM : Semoga ada ikatan tahaluf siyasi antara Umno - Pas

Zahid Hamidi: Pemimpin Umno-PAS sudah ada keserasian

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan keyakinan bahawa sudah wujud keserasian dalam pemimpin Umno dan PAS, namun masih terlalu awal untuk menyatakan kerjasama kedua-dua parti itu secara formal.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata usahasama dan perpaduan kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan ikatan tahaluf siyasi boleh terjalin andainya ada persefahaman yang termeterai.

"Pada masa ini seperti mana yang saya pernah nyatakan dalam media massa yang lalu bahawa terlalu awal untuk saya mengatakan bahawa kerjasama ini dibuat secara formal melalui pendekatan ikatan politik secara berorganisasi.

"Saya melahirkan keyakinan bahawa ada keserasian sudah wujud dalam pemimpin Umno dan PAS walaupun ada kedengaran suara-suara yang menolak daripada PAS," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, malam semalam.

Katanya Umno mengamalkan sikap terbuka, namun parti itu perlu mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam BN dan menilai unsur kerjasama dari sudut penerimaan parti-parti komponen BN.

Ahmad Zahid turut menafikan beliau mengeluarkan kenyataan kononnya Majlis Syura Ulama PAS mahu supaya setiap anggota parti PAS akur dengan kerjasama Umno dan PAS.

"Seperti mana kenyataan awal saya menyatakan bahawa belum ada lagi sebarang kerjasama formal dibentuk antara Umno dan PAS termasuklah sebarang surat rasmi daripada Umno berhubung kerjasama dengan parti PAS.

"Moga sebarang kekhilafan dalam laporan berita Sinar Harian bertarikh 26 Dis 2015 (Sabtu) ditafsirkan semula secara berhemah dalam memperbetulkan persepsi pembaca mengenai kerjasama Umno-PAS, katanya.

Malah Ahmad Zahid berkata melalui temu bual dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 20 Dis lepas, beliau secara jelas juga menyatakan bahawa parti PAS mempunyai sistem syura yang kuat, maka suara-suara yang tidak setuju ini akan bersetuju pada akhirnya.

"Secara prinsipnya, marilah kita berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah Al-I’Imran ayat 103 yang jelas membawa maksud supaya kita berpegang kepada tali Allah supaya tidak berpecah-belah," katanya.

- Bernama

Umno perlu ‘overhaul’ segera!

SHAH ALAM - Umno kesuntukan masa dan perlu melakukan rombakan secara total di seluruh peringkat kepimpinan bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Umno bakal berdepan kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya tidak berbuat demikian.

“Semua pemimpin Umno perlu dirombak. Umno patut melakukan ‘overhaul’ secara total dan kita patut ‘revamp’ Umno... kita patut lakukan satu penstrukturan semula Umno di seluruh tanah air sekiranya kita nak pulihkan keyakinan rakyat dan pulihkan imej Umno kepada akar umbi.

“Sekiranya Umno tidak buat perubahan drastik dalam masa yang pendek, saya rasa Umno bakal hilang kuasa dalam PRU akan datang dan yakinilah sekali Umno hilang kuasa, Umno akan hilang kuasa buat selama-lamanya.

“Buktinya cukup jelas. Apa jadi kepada Pulau Pinang, Selangor, Kelantan? Apabila kita hilang kuasa, sukar untuk kita tawan semula negeri-negeri tersebut,” katanya kepada Sinar Online.

Malah beliau mendakwa bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan kian merosot terutama daripada kalangan generasi muda.

"Pada hari ini, kalau lihat imej Umno di luar, saya berani kata 70 hingga 80 peratus daripada rakyat sekarang ini sedang menolak kepimpinan Umno. Khususnya daripada gen Y. Undi yang kita terima dalam ketiga-tiga pilihan raya kecil yang lalu amat menakutkan.

“Pada PRU14, kita bakal menghadapi 6 juta pengundi-pengundi baharu. Sebab itu Umno-BN kena buat sesuatu yang drastik. Bagi saya, sudah sampai masanya Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) mengambil sikap sebagai gentleman kerana isyarat daripada akar umbi cukup jelas,” katanya.

Malah beliau memberitahu bahawa akar umbi yang bekerja keras untuk parti juga kian sukar untuk mendapatkan penyertaan generasi muda ke dalam Umno.

“Sokongan kepada Umno teruk. Apabila kita lancar kempen untuk mendapatkan ahli-ahli Umno baru dari kalangan gen Y, amat sukar. Apabila kita beri borang untuk mereka isi sebagai ahli Umno, mereka tidak berminat lagi dengan Umno.

“Saya rasa pada hari ini bukan sahaja dari kalangan gen Y, baik daripada golongan remaja, pertengahan ataupun veteran...ramai yang dah mula pertikaikan kredibiliti dan imej Umno. Banyak keputusan yang tidak popular diambil hingga menghiris hati rakyat,” katanya.

Tegasnya, sudah tiba masa semua pemimpin parti politik tanpa mengira ideologi untuk bersatu membangunkan kembali negara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...