TERKINI :

Saturday, December 26, 2015

Siapa penolak HUDUD yang sebenar...????

Nukilan Abe

Kita tak boleh kata, sesiapa yang tak sokong PAS bermakna dia tolak hudud, orang yang tolak hudud jadi kafir, orang kafir sembahyang tak sah, sembelih tak boleh dimakan, tak boleh jadi jurunikah..... Itu perkataan si jahil yang buta agama, atau ajaran si jahat yang sengaja mahu merosakkan manusia dengan memalsukan agama.....

Baik..... siapa penolak hudud yang sebenar....?
Orang yang tolak hudud, ada beberapa kategori :-

1) Tolak dengan makna ingkar, atau tidak percaya, atau sengaja tidak mahu mengakui hudud sebagai hukum Allah..... Golongan ini tidak syak lagi telah menjadi kafir, terbatal imannya, dan terkeluar dia dari Islam.

2) Tolak dengan makna tidak mahu melaksanakannya dalam pemerintahan.... Hukumnya berdosa bagi sebuah kerajaan, jika tidak ada alasan yang sesuai mengikut syarak..... Manakala bagi orang awam, tidak apa-apa atau tidak berdosa, kerana orang awam tidak dituntut untuk melaksanakan hudud, dan perintah melaksanakan hudud hanya diwajibkan ke atas pemerintah.

3) Tolak dengan makna persekitaran dan situasi yang masih tidak sesuai, misalnya belum ada kuasa, perlu selesaikan dulu hukum-hukum Allah yang lain yang lebih utama seperti pendidikan, sosial kemasyarakatan, pertahanan negera dan lain-lain..... Hukumnya Harus dan dibolehkan.

4) Tolak dengan ertikata memang mereka belum mendapat hidayah kerana belum Islam....tidak ada apa-apa hukum yang boleh dikenakan ke atas mereka kerana memang mereka tidak menerima Islam. Hanya orang-orang bodoh saja yang berfatwa kononnya Haram hukumnya menyokong parti sekian-sekian dengan alasan parti itu berkawan dengan DAP, parti kafir yang menolak hudud.

5) Tolak dengan makna 'balaghah' atau 'mafhum mukhalafah' -- bacaan sebaliknya..... iaitu mereka sebenarnya sangat tahu dan mengakui bahawa hudud tidak boleh atau tidak ada kemampuan untuk dilaksanakan, tetapi sengaja menggunakan isu hudud untuk kepentingan diri sendiri, atau menjadikan isu hudud sebagai alasan untuk mengkafirkan orang lain... Golongan ini amat bahaya kerana boleh menyebabkan masyarakat awam menolak hudud kerana mendapat gambaran yang salah akibat tindakan untuk melaksanakan hudud dibuat secara yang tidak betul.

Jangan sekali-kali kita termasuk dalam golongan (1) dan golongan (5)

AMANAH Mahu jadi alternatif, bukan pecah undi

KOTA BHARU - Kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan tidak boleh didakwa sekadar untuk memecah undi, namun hakikatnya Amanah tampil sebagai alternatif kepada rakyat Kelantan untuk menawarkan satu pemerintahan yang lebih adil.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Pas hendaklah menerima kehadiran Amanah sebagai sebuah parti yang sah dan berdaftar dalam persaingan politik demokrasi di Malaysia.

“Kerajaan Kelantan juga tidak akan tergugat walaupun Pas kalah di Kelantan, bahkan jika Amanah diberi peluang untuk memerintah Kelantan, insya-ALLAH akan diurus dengan lebih baik daripada apa yang telah dibuat oleh Pas sebelumnya.

“Mereka (rakyat) telah ada pengalaman  berada di bawah pemerintahan Umno dan juga Pas, jadi bukan mustahil mereka akan berubah sikap untuk berada di bawah pentadbiran parti Amanah dalam PRU 14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa keputusan Amanah bertanding di negeri ini akan memberi kesan termasuk boleh menyebabkan Kerajaan Pas Kelantan tergugat.

Che Ibrahim berkata,  Amanah telah berkali-kali mengajak Pas bersama mempertahankan Kerajaan Kelantan daripada dirampas BN pada pilihan raya akan datang, namun sehingga kini Pas masih dengan sikapnya untuk tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain terutama Amanah yang didakwa sebagai pengkhianat.

Beliau berkata, Amanah tidak ada pilihan lain kecuali tampil bersama Pakatan Harapan untuk memberi harapan baharu kepada rakyat Kelantan yang sudah lama menolak untuk berada di bawah pemerintahan BN.

“Amanah sering terbuka untuk mengadakan satu persefahaman politik dengan Pas demi untuk mempertahankan kerajaan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Pas mahu menjadi pembangkang yang menasihat bukan untuk merampas kuasa

Pembangkang: Pas mahu jadi penyelamat

SHAH ALAM - Tujuan Pas mahu menjadi pembangkang yang menasihat bukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan sebaliknya untuk menjadi penyelamat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu ahli politik Pas yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada al-Quran dan Sunnah.

“Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat.

“Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat. Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, apabila beliau menegaskan Pas mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai yang terlalu bersemangat sehingga terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi.

“Maka, yang lemah imannya menjadi tidak istiqamah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu kembali memahami konsep nasihat seperti yang dianjurkan dalam Islam.

“Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta al-Quran,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh pemimpin Islam terdahulu yang berdepan kuasa besar dunia seperti Parsi dan Rom tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang.

“Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliah dengan jahiliah,” katanya.

Katanya, perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya.

“Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu menyebut Islamnya, lebih-lebih lagi pengecut menyebut Islamnya.

"Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan. Atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi seronok bersama Kabinet bayangan,” katanya.

Sejak dua menjak nie.. Presiden PAS dapat layanan istimewa Utusan

Di tengah-tengah kehangatan isu kerjasama Umno-PAS, Utusan Malaysia tampil memberi layanan istimewa kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhbar milik Umno itu hari ini menyiarkan kenyataan penuh Hadi, yang antara lain mempertahankan peranan parti itu sebagai pembangkang yang menasihati kerajaan.

Malah, kenyataan anggota Parlimen Marang itu turut diketengah di muka depan akhbar itu.

Manakala kenyataan penuh Hadi dimuatkan di halaman ke-12 dengan tajuk "Fahami konsep Nasihat PAS"

Jarang Utusan memberi ruang sebegitu kepada pemimpin pembangkang selama ini.

Akhbar web PAS Haakahdaily turut memuatkan kenyataan penuh Hadi semalam.

Masih tidak jelas sama ada layanan istimewa Utusan itu akan menjadi isyarat bahawa Umno terus berusaha untuk 'melamar' PAS, yang kini bersendirian selepas perpecahan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Dalam artikel itu, Hadi antaranya berkata kesediaan PAS itu untuk menjadi penasihat kerajaan bukan kerana pangkat tetapi untuk menjadi penyelamat.

Malah, katanya, konsep nasihat sangat penting untuk umat Islam dan termaktub dalam al-Quran dan sunah yang menjadi dasar tertinggi PAS.

Beliau pada masa yang sama menyelar pihak yang “lemah iman” dan tidak istiqamah dengan “mahu menjadi pembangkang semata-mata atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi”.

Isu kerjasama kedua-dua parti terbesar di Malaysia itu kembali disemarakkan selepas perkongsian pentas Hadi dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah acara alumni Universiti al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

Kemesraan mereka, selain pakaian sedondon merah jambu, mereka juga menjadi perhatian lensa jurugambar, yang terus mencetuskan perbahasan awam.

Masjid Zahir Alor Setar cecah 100 tahun

Pada 15 Okt lalu, Masjid Zahir yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar mencecah usia 100 tahun dengan majlis sambutannya dijadual diadakan pada April 2016.

Sesungguhnya masjid ini yang juga merupakan Masjid Diraja mempunyai pelbagai keunikan.

Menceritkan sejarah masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Zahrah, Imam Satu Masjid Zahir, Ustaz Mohd Isa Abd Rahman berkata masjid ini dibina pada 11 Mac 1912 hasil cetusan idea Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang merupakan Presiden Majlis Negeri Kedah serta adinda kepada Sultan Kedah Ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dan ia dirasmikan pada 15 Oktober 1915 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Yang menariknya ialah sempena majlis perasmian tersebut, Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat manakala Sultan Abdul Hamid Halim Shah sendiri mengimamkan solat Jumaat.

Mohd Isa berkata satu lagi kaitan menarik mengenai Masjid Zahir ialah pada zaman dahulu nobat akan dimainkan daripada Balai Nobat yang terletak berhampiran, apabila masuk waktu solat sebelum azan dialunkan dari Masjid Zahir.

"Ini bagi memberitahu terutama kepada masyarakat Islam di sekitar Alor Setar mengenai waktu solat. Orang zaman dahulu tidak mempunyai kemudahan jam untuk mengetahui waktu solat. Selain bunyi nobat, bunyi jam besar yang terletak berdekatan masjid turut menjadi panduan masuk waktu solat bagi orang ramai," katanya.

Kedua-dua Bangunan Jam Besar dan Balai Nobat dibina seiring dengan pembinaan Masjid Zahir, jelas Mohd Isa.

Beliau berkata antara keunikan lain Masjid Zahir yang bercirikan seni bina timur tengah ini ialah ia mempunyai 261 batang tiang daripada empat jenis iaitu tiang sebatang, tiang kembar dua, tiang kembar tiga dan tiang kembang empat yang diperbuat darpada batu dan simen.

"Tiang berkembar empat digunakan untuk menahan berat kubah induk yang binaannya diambil daripada bentuk seni bina Greek 'corinthian' serta dihiasi dengan ukiran berkonsepkan flora," katanya.

Beliau berkata selaras dengan peredaran masa, Masjid Zahir diubah suai sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1960 dan 1975 dengan melakukan pembaharuan pada beberapa bahagian masjid.

- Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...