TERKINI :

Tuesday, December 22, 2015

Pergolakan parti politik Malaysia warnai 2015

KUALA LUMPUR - Sungguhpun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hampir tiga tahun berlalu, suhu politik di Malaysia pada tahun ini tetap panas berikutan pergolakan parti politik di kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Landskap politik mula menampakkan perubahan ketara selepas pakatan pembangkang kehilangan dua tokoh besar iaitu apabila ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjalani hukuman penjara lima tahun bermula Februari kerana didapati bersalah dalam kes liwat manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula meninggal dunia pada bulan sama.

Kehilangan dua pemimpin pembangkang itu mengakibatkan perpecahan yang ketara dalam gabungan Pakatan Rakyat, apabila DAP dan Pas tanpa bersembunyi lagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar dan polisi masing-masing.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, parti pemerintah itu turut berdepan cabaran untuk memastikan isu yang melingkari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berlarutan, di samping memastikan rakyat tidak terbeban dengan kejatuhan nilai ringgit serta kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 10 Februari lepas, Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang ditetapkan Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Walaupun Anwar cuba merayu di peringkat Lembaga Pengampunan Diraja, petisyen beliau ditolak Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Mac, dan Anwar hilang kelayakansebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekali gus memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu.

Selain itu, negara turut dikejutkan dengan pemergian bekas Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, yang juga anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Perkembangan itu menyebabkan SPR mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil Rompin pada 5 Mei, dan Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei yang keputusannya menyaksikan Datuk Hasan Arifin daripada BN berjaya mempertahankan kerusi Rompin, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Permatang Pauh, yang sebelum itu disandang suaminya Anwar.

Bagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pilihan raya kecil itu, adalah yang terakhir beliau menjadi pengarah pilihan raya BN. 

Muhyiddin, yang mengkritik Najib berhubung isu 1MDB dan isu dana politik RM2.6 bilion, digugurkan daripada Kabinet dan sekali gus kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Julai.

Turut digugurkan daripada Kabinet ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang turut mengkritik Najib dalam isu sama. 

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Najib selaku presiden menegaskan akan kekal memimpin parti itu selain mengambil pendirian untuk 'berjiwa besar' dengan mengajak kumpulan penentangnya dalam parti berdamai dan kembali bersatu.

Dalam rombakan Kabinet yang sama, Najib turut menggugurkan Datuk Seri G. Palanivel selepas Pendaftar Pertubuhan pada 25 Jun mengesahkan keanggotaan Ahli Parlimen Cameron Highlands itu terbatal dan jawatan presiden dipangku Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi MIC pada 6 November kemudiannya mengesahkan jawatan presiden milik Dr Subramaniam secara rasmi, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dipilih sebagai timbalan presiden. 

Sementara itu, ramalan pemerhati politik bahawa Pakatan Rakyat mungkin bermasalah besar dengan ketiadaan Anwar dan Nik Abdul Aziz, menjadi kenyataan apabila gabungan politik itu terbubar secara rasmi ekoran pertelagahan DAP dan PKR dalam beberapa isu nasional, termasuk rampasan kitab Injil berbahasa Melayu di Semenanjung serta keputusan Pas untuk meneruskan agenda undang-undang Hudud di Kelantan.

Keputusan pemilihan parti Pas pada 4 Jun lepas, yang menyaksikan kejayaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu bagi penggal 2015-2017, menewaskan pencabarnya Ahmad Awang, turut memberi kesan  kepada senario politik Pas.

Pada pemilihan itu Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, terlepas jawatan timbalan presiden yang dipegangnya semenjak 2011 kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Keputusan pemilihan itu turut melihat penolakan 'kumpulan profesional' dalam Pas - antaranya bekas naib presiden Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Kota Rajan Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Kumpulan yang diketuai Mat Sabu, kemudian bertindak drastik memisahkan diri daripada Pas dan bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978 kepada Parti Amanah Negara pada 16 September.

Berikutan tindakan itu, keanggotaan mereka dalam Pas terbatal selari dengan Perlembagaan parti itu.

Dalam perkembangan lain, pembubaran Pakatan Rakyat yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU ke-12 (2008) menyaksikan penubuhan gabungan baharu dikenali Pakatan Harapan pada 22 Sept, dan pada masa kini, bekas anggota Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai ketua sekretariatnya.

Kekuatan gabungan baharu itu bagaimanapun belum dapat dilihat. Dewan Rakyat pada persidangannya baru-baru ini, meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.  - Bernama

‘Tahaluf siyasi Pas-Umno boleh..tiada masalah'

KOTA BHARU - Tidak ada sebarang masalah untuk Pas menjalin kerjasama politik atau bertahaluf siyasi dengan Umno walaupun kedua-duanya berbeza fahaman.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, ini kerana, walaupun Umno dilihat berfahaman kebangsaan, namun di dalam Perkara 3 (3) perlembagaan parti itu jelas menyatakan bahawa asas penubuhannya untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Peruntukan ini sebenarnya sudah lebih dari mencukupi bagi menggambarkan komitmen Umno untuk melaksanakan syiar Islam, malah ia ditegaskan lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan Agung Umno baru- baru ini.

“Di mana beliau berikrar dan berjanji akan memberikan sepenuh komitmen untuk mengembang dan mempertinggi syiar Islam di Malaysia, barulah sebuah negara Islam yang digelar baldatun tayyibatun warabbun ghafur akan terbangun di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kamarul Zaman yang Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan Umno dan Pas untuk membentuk ideologi baharu sekiranya kerjasama politik terjalin antara keduanya.

Menurutnya, apabila disebut mengenai baldatun tayyibatun warabbun ghafur, menggambarkan satu anjakan besar dalam perjuangan Umno selari dengan Pas ia kerana merupakan inti pati perjuangan parti itu sejak penubuhannya pada 1951 lagi.

“Sekalipun mungkin terdapat keraguan di atas fahaman kebangsaan Melayu Umno, keraguan ini telah tertolak apabila Majlis Syura Ulama dalam kertas kerja bertajuk ‘Tahaluf Siyasi: Garis Panduan Dari Perspektif Islam’ yang menjadi rujukan Pas dalam kerjasamanya dengan parti lain sejak 2010 lagi telah menerima fahaman kebangsaan Melayu ini,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, jika Pas dan Umno saling menerima fahaman yang diperjuangkan, tidak ada lagi halangan untuk keduanya menjalin kerjasama politik, apatah lagi mereka pernah bekerjasama sebelum ini (1973 hingga 1977).

Menurutnya, bukan ideologi menjadi isu di sebalik cadangan kerjasama ini, tetapi berkait dengan personaliti Perdana Menteri yang didakwa menghadapi masalah sokongan dan tanggapan bahawa tindakan itu dilakukan untuk menyelamatkan beliau dari masalah tersebut.

“Namun terpulang kepada  pemimpin Pas untuk membuat ijtihad mereka sendiri mengenainya. Pada hemat saya, sebagai parti yang telah berusia 64 tahun mereka sudah cukup matang untuk membuat keputusan sendiri, dengan melihat kepada sejarah dan realiti semasa,” katanya.

Dalam pada itu, dari segi sokongan kepada Pas dan Umno pada PRU14 nanti sekiranya mereka bekerjasama, Kamarul Zaman berkata, akan ada sesetengah pemimpin dan ahli kedua parti tidak berpuas hati dengan kerjasama itu, namun bilangan mereka tidak akan menjejaskan prestasi keduanya.

PAS tanding sekurang-kurangnya 11 DUN S'wak

PAS Sarawak hari ini mengumumkan akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri itu akan datang.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, parti Islam itu akan turut bertanding di beberapa kerusi bandar yang ditandingi DAP, bekas sekutu politik mereka sebelum ini.

"Perbincangan kerusi ini tidak tertakluk kepada perbincangan dengan Pakatan Harapan kerana PAS bukan sebahagian gabungan tersebut.

"Apapun, PAS Sarawak sedia berunding dengan PKR sebagaimana keputusan PAS Pusat yang masih mengekalkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR," katanya pada kenyataan media hari ini.

Jofri berkata, PAS Sarawak memandang serius kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa parti itu tidak mendapat sambutan dan tiada memiliki kerusi di Sarawak.

"Kenyataan tidak demokratik dan tidak cermat ini sewajarnya tidak dikeluarkan, malah tidak menggambarkan realiti sambutan PAS Sarawak yang semakin kukuh di Sarawak," ujarnya.

Sebaliknya beliau menasihatkan PKR supaya lebih berwaspada dengan 'tindakan licik' DAP yang didakwanya baru-baru ini 'mencuri' beberapa bekas calon PKR dalam pilihan raya lalu.

Dakwanya, DAP turut 'bercita-cita' tinggi untuk merampas banyak kerusi ditandingi PKR, dengan bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi berbanding 15 kerusi sebelum ini.

PAS sebelum ini bertanding di 5 kerusi DUN di negeri itu, kata Jofri.

Antara kerusi yang disasarkan kali ini adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai,Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.

Parti itu, katanya kini aktif di 11 kawasan dan mempunyai sekitar 3,000 aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya negeri.

Pada 2011, PAS tidak memenangi sebarang kerusi DUN di Sarawak dalam Pilihan Raya negeri yang diadakan.

'Hanya Agong layak isytihar kawasan Keselamatan'

Yang paling layak untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 adalah Yang di-Pertuan Agong, kerana kedudukan baginda yang melampaui politik, kata seorang senator BN dari Sabah.

Kuasa yang diberikan kepada perdana menteri berhubung perkara itu sepatutnya diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Senator Lucas Umbul dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) hari ini.

Memetik Seksyen 18 RUU MKN, yang membolehkan perdana menteri mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan untuk tempoh maksimum enam bulan, Lucas berkata, kuasa itu sepatutnya diberikan kepada baginda.

Katanya, kuasa yang luas seperti itu perlu diberikan kepada orang yang berkelayakan yang kedudukannya yang melampaui politik, iaitu Yang di-Pertuan Agong.

Lucas menegaskan demikian ketika membahaskan RUU MKN di peringkat dasar di Dewan Negara.

Menurutnya, RUU itu telah memberi gambaran yang salah bahawa pihak eksekutif akan mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang secara tradisinya memegang kuasa untuk mengisytiharkan darurat.

Lucas adalah senator BN kedua yang tidak bersetuju dengan peruntukan dalam RUU MKN yang memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan dibuang. Semalam, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Senator Datuk Sim Kui Hian membuat gesaan yang sama.

Lucas juga secara tidak langsung bersetuju dengan rakannya yang juga presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman bahawa RUU berkenaan tidak mengikut perlembagaan.

'Perlembagaan undang-undang tertinggi'

Tegasnya, perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan semua undang-undang yang digubal mestilah dalam lingkungan perlembagaan.

Kegagalan berbuat demikian, tambah Lucas, akan mengundang kritikan bahawa (kerajaan telah) melanggar perlembagaan, dan akan ada percubaan untuk memalu dan mensabotaj imej politik dan undang-undang.

Menurutnya, beberapa aspek kontroversi perlu dipinda dan diperbaiki tanpa mengabaikan objektif rang undang-undang itu.

Ini, katanya, termasuk hak-hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Seramai 19 senator sedang membahaskan Rang Undang-Undang MKN pada bacaan kedua hari ini. Dewan akan berusaha untuk meluluskan RUU itu di peringkat jawatankuasa hari ini - iaitu hari terakhir persidangan Dewan Negara.

Menyuarakan sebaliknya terhadap hujah Lucas ialah Senator MCA Senator Chia Soong Cheng, yang berkata RUU MKN tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu perlu disokong sepenuhnya oleh dewan memandangkan Dewan Rakyat telah meluluskannya.

Ketika perbahasannya, Chia berkata RUU itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu juga, hujahnya, tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong atau kerajaan-kerajaan negeri.

YAKIN Ahli PAS akan tolak HADI sepertimana ahli Umno tolak NAJIB

TAMRIN TUN GHAFAR YAKIN AHLI PAS AKAN TOLAK HADI SEPERTI AHLI UMNO TOLAK NAJIB

Nampaknya sudah ada suara-suara dlm PAS seperti juga dalam UMNO yang tidak senang dengan tindak tanduk pemimpin no 1 mereka. ALLAH SWT dah beri amaran jangan sesekali bersekongkol dengan mereka yang cuba menutup kejahatan mereka dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quraan dan Hadith.

Mereka ini termasuk dlm kalangan munafik. Masanya akan tiba ahli-ahli akar umbi PAS akan tolak Hadi seperti juga ahli-ahli UMNO akan tolak Najib.

Najib bercakap tentang loyalty (setia pada pemimpin), Hadi bercakap tentang wala' (setia pada pemimpin). Bezanya satu guna bahasa Melayu, satu lagi guna bahasa Arab. Satu penyamun dan satu lagi bersungguh-sungguh nak berkawan dgn penyamun.

Besar kemungkinan mereka ini menganggap ahli-ahli mereka (UMNO dan PAS) tak faham isi kandungan Al-Quraan dan Hadith seolah-olah mereka akan terus "membabi buta" dan seperti "lembu cucuk hidung" akur apa sahaja pemimpin mereka kata.

Secara perbadi saya simpati dgn beberapa pemimpin PAS. Semoga ALLAH SWT berikan mereka kekuatan. Kita semua tidak akan terlepas menghadapi Dia Yang Maha Pencipta. Salam.

Tamrin Tun Ghafar
22 Disember 2015

K'jaan belanja RM400k untuk kos lawatan Ng Yen Yen

Lawatan sehari bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen ke Singapura pada bulan Jun tahun ini membabitkan kos RM12,978.50 manakala kos bagi satu lagi lawatan yang sama pada bulan Februari ialah RM9,263.

Dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi Tourism Malaysia, Ng telah mengadakan 14 lawatan rasmi yang membabitkan kos berjumlah RM396,465.37.

Ini didedahkan dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kepada Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke, yang ingin tahu senarai lawatan rasmi Ng dan kosnya dari 17 Jun 2013 hingga 16 Jun tahun ini.

Menurut jawapan bertulis Nazri semasa sidang Parlimen baru-baru ini, Ng ke Singapura pada bulan Jun untuk menyampaikan taklimat kepada peserta industri di MyFest2015.

Bagaimanapun, kunjungan sehari pada bulan Februari hanya disenaraikan sebagai 'lawatan kerja'.

Kos lain termasuk RM67,266 yang dibelanjakan untuk lawatan lima hari ke Durban dan Johannesburg di Afrika Selatan, di mana Ng menghadiri pameran pasaran pelancongan dunia Afrika.

Pada bulan Mac, lawatan selama seminggu ke Bali dan Jakarta, Indonesia, membabitkan kos RM34,813.

Loke pertama kalinya membangkitkan isu lawatan Ng atas perbelanjaan wang rakyat dalam satu perbahasan di Parlimen pada tahun 2013.

Nazri, dalam jawapannya ketika itu, berkata Ng dipilih menjadi pengerusi Toursim Malaysia atas keupayaannya bertutur dalam Mandarin kerana Malaysia ingin menarik lebih ramai pelancong dari China.

Loke menyangkal, dengan mengatakan bahawa lawatan rasmi pertama Ng adalah ke Mumbai, India, dan bukan ke China, di mana Nazri dilaporkan secara berseloroh berkata beliau akan meminta Ng memberi lebih tumpuan kepada negara China.

Bagaimanapun, dalam jawapan terbarunya kepada Loke, Nazri berkata lawatan rasmi pertama Ng yang disenaraikan ialah ke Guangzhou, Zhangjiajie, Xian, Beijing dan Huangzhou di China, yang membabitkan kos sejumlah RM27,380.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, Ng juga telah mengadakan empat lagi lawatan rasmi ke pelbagai daerah di China, katanya.

Juga tidak disebut sebarang lawatan rasmi ke Mumbai.

Ng telah digantikan sebagai pengerusi Tourism Malaysia oleh bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada 17 Jun tahun ini.

Kalau teringin nak gabung, tinggalkan Pas

SHAH ALAM - Pas menegaskan mana-mana individu dalam parti itu yang teringin bergabung dengan Umno supaya meninggalkan Pas.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, Pas pernah kehilangan ramai tokoh besar yang lari bersama Umno.

“Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi.

“Pas pernah kehilangan Pengasas Pas, Ahmad Fuad Hassan, Datuk Asri Muda, Naib Presiden, Datuk Nakhaei Ahmad, Hasan Adli, Setiausaha Agung, Osman Abdullah dan banyak lagi tokoh. Persoalannya adakah Pas lemah? 

"Pas tetap hebat, kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, Insya-ALLAH Pas berdiri gagah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Pas mempunyai organisasi daripada peringkat majlis syura, AJK Pas Pusat, dan muktamar.

“Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, Pas hendak bergabung dengan Umno. Ingin saya tegaskan pandangan peribadi tidak boleh dipakai,” katanya.

Beliau berkata, ahli Pas juga perlu mendapatkan maklumat secara terus daripada pimpinan yang bercakap atas kapasiti keputusan parti, bukan pandangan peribadi.

“Ahli Pas perlu hadir ke program dan dialog bersama pemimpin Pas.

“Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif,  mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan Pas,” katanya.

Akmal Nasir hero baru bangsa

 SOKONG
 
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/11/NOW-director-Akmal-Nasir.jpg
Tanggal 28 Disember ini Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukan terhadapnya oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir.

Jamil menyaman Akmal berhubung dakwaan kononnya Jamil menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi membiayai perjalanan ke luar negara. Maklumat ini dipetik yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum mendedahkan hal itu NOW telah membongkar berlaku bayaran dianggap luar biasa oleh yayasan itu kepada bebeapa orang eksekutifnya. Ekoran pendedahan itu yayasan berkenaan menjadi perhatian umum sekaligus mendedahkan satu urusan yang meragukan berlaku dalam yayasan tersebut. Kebenaran tentang hal ini sungguh mengejutkan.

Apa yang dilakukan oleh Akmal menerusi NOW itu adalah satu amanah dan tanggungjawab sosial yang cukup berani dalam membela hak dan kepentingan awam apa lagi bersabit hal ehawal Islam. Mungkin tanpa ada pendedahan itu menyebabkan orang tidak tahu "salah laku" dalam yayasan itu selama ini. Ini membolehkan individu dalam yayasan itu terus menjadi seperti tikus jatuh ke genak beras.

Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan vape haram

vape

SHAH ALAM - Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan rokok elektronik, termasuk vape adalah haram, lapor Berita Harian.

Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dalam satu sidang media khas di Hotel Sama-Sama, di Sepang, sebentar tadi.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...