TERKINI :

Monday, December 14, 2015

Kutipan GST lebihi sasaran, raih lebih RM30b

MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion setakat hari ini sejak pelaksanaannya pada April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, ia merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar dengan sistem tersebut.

Beliau berkata nilai kutipan itu melebihi angka yang disasarkan, bagaimanapun enggan mengatakan sasaran berkenaan, dan menjangkakan ia bertambah pada tahun depan.

"Setakat ini kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan)," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru di sini hari ini.

Seramai 250 orang penguasa kastam menerima sijil masing-masing selepas menjalani latihan selama lapan minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee dipilih sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata JKDM telah mengisi lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

"Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara mengikut cabang dan kekosongan," katanya. - Bernama

'Halalkan' RM2.6b bukti amal politik wang?

PETALING JAYA - Sikap perwakilan Umno didakwa 'menghalalkan' perbuatan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima derma RM2.6 bilion membuktikan parti Melayu itu mengamalkan politik wang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Umno sanggup menggadaikan prinsip parti dan meminggirkan kebajikan rakyat berbanding 'poket' setiap pimpinan bahagian parti itu.

"Sepatutnya pemimpin (Umno) perlu mempunyai kewibawaan dari segi moral, akhlak, (lebih-lebih lagi) bila bercakap tentang Islam dan sebagainya.

"Kalau mereka (perwakilan) terima wang, mereka diam, tanpa mengendahkan prinsip dan isu rakyat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas perbahasan ucapan dasar Presiden Umno oleh perwakilan Umno Pulau Pinang minggu lalu yang 'tidak kisah' presidennya mendapat dana dari mana sekalipun.

Perwakilan Umno Pulau Pinang itu berkata lagi, janji presidennya tidak lupa untuk mengagihkan peruntukan kepada semua bahagian Umno untuk tujuan parti.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata lagi, Umno kini sudah 'rosak' apabila majoriti ahli dan pimpinannya boleh menerima amalan songsang itu.

"Ini membuktikan parti Umno boleh dibeli dengan politik wang, ia sudah rosak hingga ke asasnya," katanya lagi.

MP Baling - Anak Pas juga boleh minta bantuan

BALING - Ahli Parlimen Baling merangkap Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada anak pemimpin dan anggota Pas di parlimen itu mendapatkan bantuan persekolahan.

Menurut Abdul Azeez, pihaknya tidak pernah memilih bulu dalam memberikan bantuan walaupun berbeza fahaman politik.

"Saya bersikap terbuka dan mempelawa mereka ke pejabat Pusat Khidmat Parlimen Baling bagi membantu pelajar anak ahli Pas daripada keluarga kurang berkemampuan, bagi memastikan mereka dapat meneruskan persekolahan sama seperti pelajar lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas menyerahkan bantuan 'Jom Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2015' kepada 600 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di parlimen Baling hari ini.

Abdul Azeez berharap kepimpinan Pas di Baling tidak akan menolak tawaran beliau kerana menurutnya agak sukar mendapatkan maklumat anak ahli Pas yang masih bersekolah untuk diberikan bantuan.  - Bernama

Adun Kubang Rotan - Projek misteri jejas tanaman padi

ALOR SETAR – Kemunculan sebuah projek misteri di Kampung Batu Enam dekat Kuala Kedah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan kemusnahan tanaman padi di kawasan itu.

Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, projek tanpa sebarang papan tanda itu dipercayai dilakukan secara tiba-tiba tanpa memaklumkan kepada penduduk sekitar terlebih dahulu.

“Siasatan awal mendapati, wujud satu projek untuk dibangunkan di kawasan tepi laut tersebut. Soalnya, mengapa ia dibuat sebegitu rahsia sehingga tiada langsung sebarang pemberitahuan mengenainya?

“Pemaju projek tersebut telah melakukan kerja membuat jalan lintasan di saliran air Mada sehingga menyebabkan aliran air dari sawah terhalang,” katanya kelmarin.

Katanya, kejadian itu menyebabkan benih yang ditabur petani menjadi rosak apabila sawah yang digenangi air tidak dapat dikeringkan selepas terhalang oleh projek tersebut.

“Kebanyakan petani telah berusaha untuk menabur benih sekurangnya tiga kali, tapi semuanya gagal. Mereka terpaksa tanggung kerugian yang banyak untuk benih dan tenaga kerja.

“Mada sendiri ada jadual penanaman yang mesti dipatuhi petani untuk mengelak pelbagai masalah timbul. Tetapi kali ini petani tidak boleh lagi teruskan aktiviti penanaman dan terpaksa tunggu musim berikutnya,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pihak Mada biasanya sangat tegas dan teliti bagi setiap pembangunan tanah yang melibatkan kawasannya dan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

“Aneh pula bagi projek ini apabila Mada seolah-olah tidak tahu menahu dan tidak berusaha untuk ambil peduli sekalipun mangsa adalah para petani di kawasan Mada.

“Sekarang yang jadi mangsa kerakusan projek ialah para petani yang tidak akan mendapat manfaat apa-apa dari projek tersebut,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah itu turut mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung projek berkenaan.

“Kawasan terbabit terletak di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), namun saya difahamkan tiada kebenaran merancang yang dikeluarkan oleh MBAS, malah projek itu juga belum mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Berikutan itu, beberapa laporan polis telah dibuat petani yang terlibat untuk memudahkan mereka membuat tuntutan ganti rugi kepada pihak berkenaan.

Tiada tanah runtuh di Terowong Menora: PLUS

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kejadian tanah runtuh berlaku di Lebuh Raya PLUS berhampiran Terowong Menora di Ipoh seperti yang tersebar melalui media sosial sejak semalam.

PLUS Malaysia Berhad (PMB) mengesahkan perkara itu melalui laman Twitternya, Plusline1800880000, tengah malam tadi.

"Viral tanah runtuh di Lebuhraya PLUS tersebar melalui media sosial adalah palsu. Sila abaikan," katanya.

Mesej yang viral melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook mengenai kejadian tanah runtuh berserta beberapa gambar berlaku di lebuh raya itu dikesan mula tersebar semalam.

Ia sekali gus mengundang tanda tanya dan keresahan dalam kalangan orang ramai terutama pengguna lebuh raya berkenaan.

Difahamkan, gambar yang tersebar itu sebenarnya adalah kejadian tanah runtuh yang berlaku di Lebuh Raya Karak, baru-baru ini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...