TERKINI :

Sunday, December 13, 2015

Tambang ERL naik, PM Najib salahkan Mahathir

Datuk Seri Najib Razak menyalahkan perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad atas kenaikan tambang kereta api ERL dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.

Najib memberitahu perwakilan Umno bahawa perjanjian itu sebenarnya ditandatangani pada 1997 lagi ketika era Mahathir – yang kini menjadi pengkritik lantangnya.

“(Daripada) RM35 naik kepada RM55. Tinggi.

“Tapi tuan-tuan tak tau, perjanjian ini ditandatangani pada 1997 lagi. Bukan setahun dua ini,” katanya.

Berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Najib mendakwa perjanjian konsesi jangka panjang ERL itu berat sebelah dan beliau menyekat kenaikannya sejak 14 tahun lalu.

"Dalam perjanjian dikuasai syarikat YTL itu - perjanjian yang saya

sifatkan berat sebelah - harga berdasarkan projectual traffic (trafik jangkaan). Harga bergantung kepada projectual traffic, lima tahun naik, lima tahun naik.

"Dah kerajaan tak benarkan. Saya jadi perdana menteri, saya kata jangan naik... 14 tahun tak naik, tapi pampasannya berapa? RM2.9 bilion," katanya.

Najib berkata lagi, Putrajaya telah berunding semula dengan syarikat konsesi berkenaan dan terpaksa menyambungnya selama 30 tahun lagi disebabkan terikat dengan perjanjian terdahulu.

"Sebab itu saya nak terangkan, saya terima legasi sebelum ini, tapi saya betulkan perkara ini sebab saya tahu rakyat marah. Dan untuk ERL ini, ada beberapa langkah yang kita akan ambil," katanya yang juga berkhidmat sebagai menteri kewangan.

Justeru, ujar Najib, bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat beliau turut mengumumkan diskaun sebanyak 30 peratus diberikan kepada pelajar yang menggunakan kad Siswa 1Malaysia.

Tambah Najib, pihaknya juga akan meminta KTMB mengumumkan perkara tersebut.

Ulasan Tan Cheng Hoe berkenaan kekalahan Kedah

Keadaan padang faktor kekalahan

SHAH ALAM: Keadaan padang lembut dan basah antara faktor kepada kekalahan Kedah di tangan Selangor pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketua jurulatih Kedah, Tan Che Hoe berkata, pemain sudah melakukan yang terbaik, tetapi keadaan padang membataskan pergerakan mereka untuk mempamerkan permainan sebenar.

Apapun, katanya layak ke final sudah menjadi satu bonus buat skuad Helang Merah ketika sasaran utama adalah layak ke Liga Super, musim depan.

Dari apa yang dijelmakan malam tadi, menunjukkan pemain Kedah terutama di posisi tengah cukup sukar untuk melakukan hantaran menarik kepada Chidi Edeh di bahagian serangan.

"Pemain sudah melakukan yang terbaik sepanjang musim untuk mencapai sasaran layak ke Liga Super. Nyata gol pertama pasukan lawan membunuh kami.

"Kita tetap ada peluang tetapi gagal sudahkan dengan baik. Keadaan padang juga membataskan pemain untuk mempamerkan permainan sebenar," katanya pada sidang media malam tadi.

Alor Setar - Sebuah pasaraya didapati Arak dijual bersama minuman halal

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) menyelar tindakan sebuah pasar raya di pusat bandar yang menjual dan mempamerkan arak dalam satu rak yang sama dengan minuman halal.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, tindakan itu jelas menyentuh sensitiviti umat Islam selain mengelirukan pengguna, khususnya kanak-kanak.

“Kita terima aduan daripada orang ramai, pasar raya ini menjual arak dengan meletakkannya bersama minuman halal yang lain.

“Apabila kita buat pemantauan, didapati aduan itu adalah benar dan terdapat minuman tidak halal dijual sebaris dengan minuman halal,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di sebuah pasaraya dekat pusat bandar, di sini, semalam.

Turut hadir pada tinjauan itu ialah Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff.

Menurutnya, tindakan yang tidak menghormati sensitiviti itu dipercayai sejak pasar raya itu memulakan operasinya kira-kira lebih tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, kita menerima banyak aduan daripada pengunjung mengatakan anak mereka telah tersilap ambil arak dengan memasukkannya ke dalam troli berikutan ia diletakkan sebaris dengan minuman halal.

“Walaupun mereka meletakkan label tidak halal di situ, tetapi ia masih diletakkan bersama minuman halal yang lain dan sudah tentu mengelirukan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan pasar raya berkenaan harus memastikan masalah sama tidak berulang dengan memindahkan minuman tidak halal itu ke satu sudut berasingan.

“Kita akan panjangkan perkara ini kepada jabatan berkaitan untuk menasihati pihak pengurusan pasar raya tersebut.

“Tetapi sekiranya nasihat itu tidak dipatuhi, mungkin perlu diambil tindakan tegas terhadap pasar raya berkenaan,” katanya.

Yusoff turut memberi contoh bahawa kedai minuman halal juga tidak boleh menjualnya dalam satu masa dengan minuman tidak halal, sebaliknya perlu dijual secara berasingan atau di tempat lain.

“Kita tahu majoriti pengunjung di pasar raya itu adalah orang Islam dan mereka seharusnya menjaga sensitiviti itu, "katanya.

Buang sifat malu tak pandai mengaji

ALOR SETAR - Faktor usia didakwa menjadi halangan bagi masyarakat terutamanya golongan warga emas untuk mengakui tidak pandai membaca al-Quran.

Guru agama, Muhammad Shukri Mat Desa berkata, faktor usia emas sebenarnya tidak perlu dijadikan sekatan untuk menambah ilmu.

“Untuk itu, walaupun usia sudah lanjut orang dewasa tidak perlulah malu untuk mengakui dirinya tidak pandai membaca al-Quran, asalkan ada niat di dalam diri  untuk berubah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur memandangkan kini makin ramai sudah sedar, sekali gus tidak keberatan memasuki kelas mengaji meskipun sudah lewat usia,” katanya.

Malah, Pengurus Pusat Pengajian Al-Quran Titian Ilmu, Mohd Saidi Amin Shah berkata,  masyarakat kini dilihat kian celik mengenai kepentingan ilmu, terutamanya al-Quran.

Disebabkan itu, menurutnya, pusat pengajian berkenaan dibuka demi memberi tunjuk ajar dalam al-Quran, hafazan, asas fardu ain dan Bahasa Arab.

"Untuk itu, penubuhan kelas bagi dewasa dan kanak-kanak di pusat pengajian berkenaan dilakukan demi membolehkan masyarakat mahir membaca al-Quran," katanya.

Saidi berkata, pusat pengajian yang dibuka pada awal Januari lalu itu dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat, termasuklah pelajar dewasa.

Malah, katanya, mereka kini memiliki pelajar berusia semuda enam tahun sehinggalah berusia 64 tahun di pusat pengajian beroperasi di Jalan Kuala Kedah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...