TERKINI :

Monday, November 30, 2015

Dr Mahathir senaraikan kepincangan pentadbiran Najib

Dalam surat terbuka kepada ahli dan pemimpin akar umbi Umno menjelang perhimpunan agung tahunan parti minggu depan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan apa yang didakwanya sebagai kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga mengulangi dakwaannya bahawa Umno kini milik Najib dan perjuangan parti terhad kepada mendokong presiden.

“Kesetiaan ahli terhad kepada presiden, tidak lagi kepada parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Mahathir yang mengetuai Umno dan negara selama 22 tahun juga menyenaraikan kepincangan pentadbiran Najib hari ini.

Berikut antaranya,

    Memperkenalkan slogan 1Malaysia, yang sama dengan Malaysian Malaysia (slogan DAP);
    Melantik penjajah sebagai penasihat;
    Penggunaan konsultan barat:
    Mewujudkan PEMANDU untuk menggantikan Unit Perancang Ekonomi;
    Bayaran gaji kepada badan bukan Kerajaan yang amat tinggi;
    Meletak negara di bawah kehendak Singapura;
    Pinjaman berbillion ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negara;
    Menubuh 1MDB dengan modal pinjaman yang besar;
    Tidak dapat membukti di mana modal yang dilabur berada;
    Gagal membayar faedah hutang;
    Beli tanah kerajaan dengan harga yang amat murah;
    Jual tanah kepada institusi kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi;
    Kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk

“Wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB,

“(Wang) RM2.6 billion tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh SPRM dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil.

"Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga membidas cara hidup mewah lebih dari kemampuan perdana menteri dan tindakan rakyat yang menegur disoal-siasat oleh polis dan dituduh sabotaj bank dan kewangan negara.

Dr Mahathir juga berkata cukai GST dikenakan sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat dan beban bagi rakyat bertambah.

“Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU-14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan Umno akan menjadi parti pembangkang.

“Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Umno untuk bangsa, negara dan agama,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung Umno dijadualkan pada 8 hingga 12 Disember ini.

Harga RON95 turun 10 sen kepada RM1.95 seliter Hari ini

Harga petrol RON95 akan turun 10 sen kepada RM1.95 seliter mulai tengah malam ini, manakala RON97 dan diesel tetap sama.

Harga diesel adalah pada RM1.90 seliter manakala RON97 adalah RM2.45 seliter.

Muhyiddin salahkan 1MDB, pemimpin Umno punca sokongan menurun

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalahkan kepimpinan parti yang menyebabkan sokongan masyarakat menurun semasa berucap pada perhimpunan anjuran Umno Bahagian Pagoh semalam.

Sokongan orang Melayu terhadap Umno jatuh kepada 30%, kerana skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menyalahkan kepimpinan parti.

Malaysiakini melaporkan timbalan presiden Umno itu sebagai berkata, menurut kajian Merdeka Centre sebelum ini 50% sokongan masyarakat terhadap parti Melayu itu.

"Namun sejak kebelakangan ini ia berkurangan kepada 30%.

"Begitu juga dengan (peratusan) orang berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang hanya pada 17% dan terdapat 78% yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini.

"Tahap sokongan kaum Cina terhadap kerajaan juga berkurangan daripada 13% pada pilihan raya umum lepas dengan hanya 5% pada masa ini.

"Ini adalah realiti yang dihadapi Umno akibat kepimpinan sekarang, kerana 1MDB. Dan jika tidak diperbetulkan, dalam tempoh 2 tahun, Umno boleh kalah, " kata Muhyiddin pada perhimpunan anjuran Umno Bahagian Pagoh semalam.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berharap pucuk pimpinan Umno tidak akan mengabaikan kajian itu, kerana ia mewakili sentimen orang ramai.

Menurut Malaysiakini Muhyiddin berkata, sokongan berkurangan tersebut membuatkan dirinya menyuarakan skandal 1MDB kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Tindakan saya untuk cuba membetulkan keadaan dan membetulkan parti.

"Anda (Najib) adalah orang yang bertanggungjawab yang mencipta masalah ini. Berapa lama saya harus berdiam diri mengenai perkara ini? "katanya seperti dilaporkan portal itu.

Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan dalam rombakan Kabinet Julai lalu kerana secara terbuka mempersoalkan cara Najib mengendalikan isu
1MDB dan mengkritik sumbangan RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Meskipun masih kekal sebagai timbalan presiden, namun Muhyiddin kehilangan platform untuk bercakap kepada ahli selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu lalu.

Tradisi perhimpunan sebelum ini, timbalan presiden Umno akan memberikan ucapan perasmian bagi perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bagaimanapun, peluang Muhyiddin untuk berucap sudah dilucutkan. – 30 November, 2015.

Muhyiddin: Sokongan orang Melayu pada Umno tinggal 30%

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa sokongan orang Melayu kepada parti itu kini tinggal 30 peratus, manakala 78 peratus lagi tidak berpuas hati dengan keadaan semasa ekonomi.

Memetik kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center, Muhyiddin berkata, sokongan orang Melayu kepada Umno selama ini melebihi 50 peratus.

Bagaimanapun, tegasnya, sokongan itu tinggal 30 peratus sekarang.

Umno, katanya, sentiasa berada di barisan hadapan dari segi mendapatkan sokongan orang Melayu, tetapi ini telah berkurangan.

Begitu juga, katanya, dengan peratusan yang berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang hanya 17 peratus manakala 78 peratus tidak berpuas hati.

Tahap sokongan kaum Cina kepada kerajaan, katanya, juga telah berkurangan daripada 13 peratus pada pilihan raya umum lepas, kepada hanya lima peratus pada masa ini dan ia mungkin lebih rendah dalam dua tahun.

Muhyiddin berkata, ini adalah realiti yang dihadapi Umno dan BN ekoran kepimpinan sekarang dan 1MDB.

Dan jika tidak diperbetulkan, tegasnya, dalam tempoh dua tahun (pada pilihan raya umum akan datang), Umno boleh kalah.

Bercakap lebih satu jam di perhimpunan Umno Bahagian Pagoh semalam sebagai tanda sokongan untuk beliau, Muhyiddin berharap kepimpinan sekarang, sama ada di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi, akan mengambil iktibar daripada kaji selidik itu, kerana ia mewakili sentimen rakyat.

Bagaimanapun, timbalan presiden Umno itu tidak menyatakan bilakah kajian Merdeka Center itu telah dijalankan.

Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh dan bekas timbalan perdana menteri berkata, itulah sebabnya beliau telah menyuarakan kebimbangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara berkaitan 1MDB.

Tindakannya itu, jelas Muhyiddin, adalah untuk cuba membetulkan keadaan dan parti.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...