
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mendedahkan terdapat banyak permohonan penjawat awam dari Putrajaya yang mahu berpindah bekerja di negeri terkaya itu.
Tanpa memberitahu berapa jumlah permohonan, timbalan presiden PKR itu berkata penjawat awam tidak perlu berbuat sedemikian, sebaliknya menunggu pembangkang menawan Putrajaya kelak.
"Kita amat bersimpati dengan penjawat awam yang terpaksa bekerja di bawah rejim Putrajaya yang korup. Rejim yang abaikan kepentingan rakyat.
"Hari ini Selangor terima banyak permohonan daripada penjawat awam di Putrajaya untuk pindah berkhidmat di Selangor.
"Seperti saya nyatakan sebelum ini, tidak perlu pindah ke Selangor, biar kami pindah ke Putrajaya," kata Azmin pada ucapan timbalan presiden di Kongres Nasional Pemuda PKR Tahunan ke-11 di Petaling Jaya, Selangor hari ini.