TERKINI :

Sunday, November 22, 2015

PAS P Pinang arah 1,083 anggota JKKK letak jawatan

Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang hari ini mengarahkan kesemua 1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata surat arahan meletakkan jawatan dan menamatkan perkhidmatan sebagai anggota JKKK itu akan diedarkan dalam tempoh terdekat dan semua anggota terlibat diminta untuk mematuhi arahan itu.

"Kami mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran. Semua kita akan berhentikan.

"Kita tak izinkan mereka (kerajaan negeri) mengambil ahli-ahli kita untuk dimasukkan dalam senarai JKKK. Kita tidak mahu ahli JKKK PAS di negeri ini terus dimanipulasikan termasuk bagi memenuhi kuota JKKK di kawasan PKR dan DAP," katanya pada sidang media di Markas PAS Pongsu Seribu, di kepala Batas hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan anggota pihak berkuasa tempatan dari PAS dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri ini.

"Keputusan ini dipersetujui oleh majoriti anggota JKKK PAS di negeri ini selepas mengadakan dua pertemuan dengan mereka. Kebanyakan mereka mahu dan bersedia untuk meletakkan jawatan. Jadi, dengan sidang media ini tidak jadi keberatan untuk mereka meneruskan niat itu," katanya.

Muhammad Fauzi turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memecat 300 anggota JKKK dari PAS di Kepala Batas dan mendakwa maklumat berkenaan adalah tidak tepat.

"Mengapa hanya pecat 300 orang sahaja. Adakah yang dipecat itu hanya dalam kuota PAS sahaja sedangkan ahli-ahli PAS yang berkhidmat dalam JKKK ini berada dalam kuota DAP, PKR dan kuota campuran. Jadi kenapa pecat 300 orang.

"Hasil daripada pemecatan tersebut kita dapati bahawa JKKK daripada kalangan ahli PAS itu ada yang tidak menerima notis pemecatan. Hanya beberapa orang sahaja yang menerima notis pemecatan. Jadi mana 300 orang yang didakwa dipecat.

"Kemudian ada yang mendapat notis pemecatan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertarikh 11 Nov 2015 dan kenyataan (Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon) kata notis pemecatan berkuatkuasa pada 15 Nov 2015. Tapi keputusan mesyuarat kerajaan negeri pula kata berkuatkuasa pada 4 Nov 2015, dari segi tarikh pun kerajaan negeri buat pembohongan," katanya.

Mengulas mengenai status wakil tunggal PAS Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini, Muhammad Fauzi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan berhubung status Salleh Man.

"Saya sudah menghubungi beliau dan meminta untuk menetapkan satu tarikh pertemuan. Kita akan menasihati beliau mengikut etika dan adab di dalam parti,"katanya.

Beliau berkata sebagai seorang anggota PAS Salleh Man seharusnya istiqamah dalam perjuangan PAS dan mengingati lafaz bai'ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota parti itu.

-Bernama

Ku Nan tolak spekulasi motif mesyuarat MT diawalkan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak spekulasi berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadual Selasa ini (24 Nov), sambil menyatakan ia didalangi pihak yang mahu mengeruhkan perpaduan parti.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa mesyuarat itu sengaja diawalkan daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 27 Nov memandangkan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dilaporkan kini berada di luar negara.

"Semua pihak telah dimaklumkan mengenai tarikh mesyuarat tersebut dan ia diawalkan untuk memberi masa bagi persiapan Perhimpunan Agung Umno pada 8 hingga 12 Dis nanti," katanya kepada media selepas Program Berkhatan Perdana Wilayah Persektuan di Putrajaya hari ini.

Mengenai kertas siasatan oleh Lembaga Disiplin berhubung beberapa pemimpin parti, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata siasatan masih berjalan dan apabila siap, laporannya akan diserah kepada MT untuk membuat keputusan.

"Terserah kepada MT untuk mengambil tindakan atau tidak... ia hanya khabar angin," katanya.

-Bernama

Kenapa Ustaz Zaharudin aka Menantu Hj. Hadi kena troll?

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Saya kenal ustaz Zaharuddin Mohammad dalam sebuah program anjuran sebuah NGO. Saya akui beliau hebat dan kemas berhujah.

2) Tetapi beliau masih muda dan perlu banyak untuk belajar mengenai cara berpolitik. Beliau perlu kurangkan persepsi yang mengaitkan beliau dengan TGHH dari segi corak mengatur politik.

3) Masih ramai pemimpin PAS lain yang turut berbapa-mertuakan TGHH, tetapi mereka tidak menonjol diri sehingga haters mendapat point untuk memburukkan TGHH.

4) Cabaran beliau terhadap Dato Husam dengan cara yang kurang adab sebagai orang muda dan sebagai menantu tok guru, membuatkan saya kurang gemar cara beliau.

5) Malah viral gambar beliau datang 'debat' sorang-sorang 'tanpa' Dato Husam, amat membuka ruang haters menembak dengan mesin-gun. Terlalu kebudak-budakan.

6) Jika serius beliau mahu berdebat dan mematahkan hujah Dato Husam, tentu majlis debat itu diadakan dengan lebih gemilang. Pasti dengan ada banner, backdrop, dewan yang meriah dan sebagainya selayak majlis penting.

7) Jika hanya mahu buat debat main-main, debat sekadar nak troll Dato Husam, debat sekadar nak timbulkan persepsi yang dato Husam penakut, saya rasa itu bukan level seorang yang pernah ada dalam Majlis Syura.

8 ) Tambahan sekarang zaman persepsi yang boleh disebar sekelip mata, dan dianjing serta diparodi secara memalukan, saya rasa beliau kena renung balik kesilapan yang beliau lakukan ini.

9) Jika serius berdebat, walaupun dah tahu Dato Husam mahu datang atau tak mahu datang, preparation kena kemas dan avoid untuk menjadi makanan kepada trollers secara mudah.

Sekian

p/s: jangan risau, saya juga sedang belajar untuk mencari cara menegur paling baik untuk setiap lapisan orang, walaupun kadang-kadang tersilap troll, tersalah reverse thinking, tersasar cara mencungkil fikrah orang.

Muhyiddin, Shafie Apdal ‘terselamat’ dari dipecat

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dikenakan tindakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti, pada Selasa ini.

Tengku Adnan berkata, siasatan terhadap kedua-dua pemimpin itu oleh Lembaga Disiplin parti masih berjalan dan Umno tidak akan mengenakan tindakan termasuk memecat atau menggantung ahlinya sesuka hati, lapor sebuah portal.

“Mesyuarat berkenaan yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini diawalkan kepada Selasa kerana masa yang semakin suntuk sebelum Perhimpunan Agung Umno 2015 bulan depan dan diadakan di Parlimen bagi memudahkan ahli MT yang kebanyakannya ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 di sini, pagi ini. Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan Muhyiddin dan Shafie akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti itu pada mesyuarat MT Umno Selasa ini.

Obama kata harga ubat naik, mana komen menteri?

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SERDANG - DAP membangkitkan soal 'kehilangan' Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas isu harga ubat didakwa bakal naik selepas perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dimetrai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selepas pengesahan kenaikan harga ubat dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin, tiada sebarang kenyataan balas dari mana-mana menteri. "Kita bimbang bahawa jika setuju TPP, harga ubat akan naik. Kita tanya kerajaan BN tak mahu jawab.

"Tapi sekarang kita dapat jawapan daripada Obama. Beliau mengakui bahawa harga ubat akan naik. "Setelah Obama cakap, saya tidak melihat sebarang respons daripada menteri-menteri. Tok Pa pun telah menghilangkan diri. Mana Tok Pa? Saya harap Tok Pa boleh jawablah," katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015, di sini, hari ini.

Kelmarin, Obama dilaporkan mengesahkan bahawa harga ubat di negara ini akan mengalami kenaikan selepas perjanjian TPP dilaksanakan ketika menjawab soalan penonton pada pertemuan dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI). Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan jaminan Mustafa sebelum ini di mana beliau berkata, TPP tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.

Susulan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menuntut penjelasan kerajaan berhubung perkara itu. "Sekiranya isu-isu ini tidak mendapat penjelasan, saya rasa kita harus memberikan tekanan kepada kerajaan. Tak perlu kita beri tekanan kepada AS. Dia sudah tentu nak pentingkan rakyatnya. Itu biasa.

"Kalau soalan seperti ini tidak dapat dijawab dengan teliti, Saya rasa DAP tidak ada pilihan melainkan menentang TPP apabila dibahaskan di Parlimen," katanya. Mengulas lanjut, beliau menyifatkan persoalan itu penting keran melibatkan kesihatan rakyat di negara ini. "Kalau harga ubat akan naik, apa lagi akan naik? Jangan ingat, orang tua sahaja yang kena.

Orang muda pun kena berjaga-jaga. GST pun dah cukup celaka. Mungkin saya cakap hari ini, esok saya kena dakwa tapi kalau GST itu memang celaka, celakalah.

Husam tak timbulkan pertemuan PAS-Umno 2008, Khalid beritahu Mustafa

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad meminta Datuk Mustafa Ali memberikan tumpuan kepada isu yang dibangkitkan Datuk Husam Musa, iaitu pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS mahu membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor.

Khalid yang kini berada di Arab Saudi, mengulas permintaan Mustafa agar beliau memberikan penerangan dalam isu pertemuan antara PAS dengan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

"Kes 2008 bukan yang ditimbulkan Husam. Tumpu pada isu Husam timbulkan dulu," kata Khalid kepada The Malaysian Insider.

Mustafa yang kini pengarah pilihan raya PAS, dalam kenyataannya semalam terkilan dengan tindakan parti Islam itu menyekat cadangan bersemuka dengan Husam tetapi akur dengan keputusan itu.

Disebabkan itu, Mustafa meminta Khalid yang turut serta menemui pimpinan Umno memberikan pencerahan.

Mustafa yang sebelum ini setiausaha agung PAS, meminta Khalid memberikan pencerahan mengenai siapa yang minta berjumpa Umno dan mengapa mereka sanggup untuk berjumpa.

Husam ketika memberikan ceramah di Kota Baru, Kelantan baru-baru ini mendakwa presiden PAS mengaku mahu membentuk kerajaan dengan Umno di Selangor di samping mempelawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR termasuk Mohamed Azmin Ali menyertai parti Islam itu.

Husam juga mendakwa Mustafa dan Nasharudin ada berjumpa secara sulit dengan pimpinan Umno.

Ekoran itu, Mustafa mengajak Husam bersemuka bagi mencari pencerahan di samping mengajak Khalid untuk turut serta sebagai saksi dalam pertemuan itu. – 22 November, 2015.

Amanah - Tak payah bercakap belakang, sekarang mai kita debat...!

Amanah syor Razman, Mujahid debat

PARIT BUNTAR - Amanah Parlimen Parit Buntar mengesyorkan satu program debat diadakan antara Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dengan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bagi menjelaskan kemelut isu pengkhianatan baiah dibangkitkan Pas.

Syor itu dikemukakan setelah Amanah Parlimen Parit Buntar membidas tindakan segelintir pemimpin Pas Perak menggunakan platform ceramah menyerang Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa secara terang-terangan di khalayak umum pada 10 November lalu.

Setiausahanya, Amran Abdullah berkata, maklumat itu mendedahkan satu program ceramah bertajuk ‘Baiah Yang Dikhianati’ dilangsungkan pada tarikh itu meliputi tiga lokasi iaitu di Pekan Batu Lima, Batu 13 Jalan Pantai Kuala Kurau dan Tebuk Haji Musa, Titi Serong.

Menurutnya, dalam program yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria itu, pihaknya terkejut dan kesal dengan sikap beberapa pimpinan Pas Perak yang mencemuh secara peribadi nama Dr Mujahid dalam ceramah dianjurkan. “Saya difahamkan nama Dr Mujahid sering kali diulang-ulang sebagai pemimpin yang mengkhianati baiah oleh salah seorang pimpinan Pas dalam ceramah itu. “Sebagai wakil rakyat Parlimen Parit Buntar, adalah tidak wajar nama Dr Mujahid diburuk-burukkan di hadapan rakyat, lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang wakil rakyat yang sudah melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Sewajarnya Pas lebih lunak membicarakan isu-isu semasa dan masalah negara terutama melibatkan keperitan hidup rakyat pada ketika ini, bukan menyerang wakil rakyat kawasan dilawati,” katanya pada sidang media, di sini. Turut hadir Pengerusi Amanah Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad dan Ketua Pemuda Amanah Parit Buntar, Hairulnizam Ishak.

Sementara itu, Hamdan mendesak perkara sebegini tidak berulang lagi memandangkan Pas sebagai parti memperjuangkan Islam tidak sewajarnya menggunakan platform ceramah untuk mencemuh pemimpin Amanah. Menurutnya, hubungan pemimpin Amanah dan Pas kawasan Parit Buntar juga masih baik dan tidak bermasalah ketika ini. “Berkaitan isu ini, Amanah merasakan perlu ada keseimbangan dalam menjelaskan isu sebenar berkaitan isu pengkhianatan disebutkan oleh pimpinan Pas kepada Dr Mujahid bagi mengelakkan kekeliruan rakyat Parit Buntar.

“Justeru, Amanah mengesyorkan penganjuran satu program debat antara kepimpinan utama Pas Perak seperti Razman dan Dr Mujahid bagi membolehkan rakyat Parit Buntar menilai sendiri kemelut pengkhianatan baiah yang diuar-uarkan Pas. “Kami bersedia menyediakan platform penganjuran debat itu di kawasan Parit Buntar dan sekiranya terdapat badan berkecuali seperti NGO ingin bekerjasama, kami amat mengalu-alukannya.

“Dr Mujahid sendiri sudah menyuarakan persetujuan dan Amanah berharap kepimpinan Pas Perak bersikap jantan untuk menyertainya demi mengelakkan rakyat terus terkeliru dengan penyebaran dakyah tidak benar,” katanya.

Ikatan umum bertanding tiga kerusi Parlimen pada PRU-14

 ikatan_spr_600
SERI KEMBANGAN : Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengumumkan akan bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Serdang, Cheras dan Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agungnya, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid berkata, Bendahari Agung parti itu Datuk Seri Steven Eng akan bertanding di Serdang, Ahli Dewan Tertinggi, Datuk Seri Phua Hean Sen di Cheras dan Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman di Gombak.

Tambahnya, Ikatan hanya memilih untuk bertanding di kawasan bandar pada PRU-14 kerana idologi parti itu pada dasarnya sesuai untuk pengundi kawasan bandar.

“(Ia juga disebabkan) masalah utama adalah di kawasan bandar,” katanya kepada Free Malaysia Today di Mines Resort City pada Jumaat.

Pas akui ubah pendekatan ketika berdepan dengan Umno

Idris Ahmad

KOTA BHARU – Pas akui parti itu menggunakan pendekatan berbeza ketika berdepan dengan Umno, berbeza dengan amalan yang dipraktikkan sebelum ini.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, walaupun terdapat pimpinan Pas mengadakan pertemuan dengan Umno, ia bukan bermaksud Pas akan menjalinkan hubungan politik dengan parti itu.

“Takkan lah kita jumpa orang Umno kita tidak boleh bercakap, nak macam itu ke, takkan kita nak balik kaedah lama balik, kalu jumpa orang Umno, nak tindih bayang pun tidak boleh,”

“Pas ini ada dasar, kita ada Majlis Syura, kita ada AJK Pas pusat, Lajnah politik, jangan tuan-tuan runsing, tengok kepimpinan Pas minum kopi dengan orang Umno, terus kata nak masuk Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah Sambutan 60 tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, di sini malam tadi.

34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan

34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan

PORT DICKSON - Seramai 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Kenyataan dibuat di hadapan media oleh ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah menghadiri sesi suai kenal serta mengadakan mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam bermula kira-kira 3 petang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Isa, mereka sebulat suara mendesak Presiden Umno meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu dalam memimpin parti nombor satu Melayu itu.

Menurutnya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan yang begitu tinggi.

“Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno.

Tak perlu belanja ratusan ribu ringgit ‘bodek’ menteri, kata penganalisis

OLEH NABIHAH HAMID

Dr Maszlee Malik mengatakan tiada keperluan bagi sesebuah jabatan kerajaan menjemput golongan menteri seperti dilakukan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Penganalisis Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, tindakan Yapeim melibatkan menteri merasmikan program yang diadakan dengan meriah dan membelanjakan ratusan ribu ringgit merupakan satu pembaziran.

"Isunya ialah mengapa perlu majlis-majlis anjuran Yapeim itu melibatkan perasmian menteri?

"Ini masalahnya bila program-program yang melibatkan agensi kerajaan dan juga badan badan rasmi kerajaan, ramai yang nak ‘score points’, terutamanya orang-orang yang ada jawatan yang ingin mendekati dan membodek orang politik,” kata Maszlee kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendedahkan Yapeim membelanjakan RM290,000 untuk penganjuran program kursus perkahwinan di Perancis.

Menurut Maszlee, orang-orang politik dan menteri sememangnya suka dengan program-program sedemikian apatah lagi di luar negara kerana mahu “makan angin” dan ini penyebab kepada ratusan ribu ringgit dihabiskan.

Katanya, sekiranya menteri mengadakan lawatan, maka akan ada aktiviti mengampu disediakan pembodek untuk menghiburkan golongan itu.

"Jika tidak golf, pergi shopping, jika tidak shopping, pergi kasino, jika tidak kasino, ke tempat-tempat liburan," kata Maszlee dengan sinis.

Beliau yang tidak membantah penganjuran sedemikian turut membandingkan majlis dan program sama yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa menghabiskan ratusan ribu ringgit.

"Bukan masalah nak anjurkan kursus kahwin ataupun nak buat program untuk pelajar pelajar Islam Malaysia di luar negara.

"Banyak pertubuhan Islam bukan kerajaan lain dah buat semenjak berpuluh tahun, tidak habis belanja sampai ratusan ribu, dan tidak perlu melibatkan dana awam.

"Jika tidak percaya cubalah tanyakan kepada Ikram, Abim dan PAS,” katanya merujuk kepada NGO Pertubuhan Ikram Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Katanya, selama lebih tiga puluh tahun wadah-wadah ini menganjurkan program untuk para pelajar Melayu Islam di luar negara.

Menurut Maszlee, program di anjurkan NGO berkenaan berjaya melibatkan ratusan pelajar dan memberikan manfaat besar kepada golongan muda.

"Ia memberikan manfaat kepada ramai pelajar Malaysia, hatta kepada bukan Islam pun. Tidak pula timbul isu perbelanjaan ratusan ribu."

Maszlee berkata, untuk mengelakkan perkara seperti ini berulang, perlu ada pentadbiran kerajaan yang telus.

"Ubatnya ialah pentadbiran kerajaan yang baik dan perlu ketelusan, akauntabiliti dan integriti. Buat pekeliling, tidak perlu para menteri rasmikan program-program pelajar di luar negara.

"Biarkan para pemimpin tempatan negara-negara tersebut sahaja dilibatkan dan tidak perlu membazir untuk menjemput para menteri.”

Menurut pensyarah UIAM itu, hubungan bersama komuniti lokal lebih penting kepada pelajar di luar negara untuk membuka minda dan menambahkan pengalaman.

"Para menteri boleh jumpa di Malaysia sahaja," katanya. – 21 November, 2015.

Takiyuddin Hassan: Pemimpin PAS, peminat motor besar

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Tidak pernah terlintas di dalam fikiran meskipun sibuk dengan tugasan sebagai ahli politik, rupa-rupanya tertanam hasrat jauh di lubuk hati Datuk Takiyuddin Hassan untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga ke kota suci umat Islam, di Mekah.

Bermula dengan motosikal berjenama Yamaha Virago 500cc, ahli Parlimen Kota Baru itu kini memiliki motosikal berjenama Honda Goldwing 1,800cc dan sering menyertai jelajah atau konvoi beramai-ramai sekiranya berkelapangan.

Takiyuddin yang mula menyertai PAS sejak tahun 1989, mengakui minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi dipupuk sahabat handai dan kenalan terdekat, dan setiausaha agung PAS itu turut percaya, dengan minat yang mendalam terhadap hobi menunggang beliau, akan dapat mengetepikan perbezaan politik.

Hakikatnya ternyata benar, apabila beliau turut berkongsi hobi dan minat yang sama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah pernah berkonvoi bersama-sama pemimpin Barisan Nasional (BN) itu.

Suami kepada Datin Hariza Yusoff, dan bapa kepada 5 cahaya mata itu juga berpegang kepada falsafah lama, mereka yang mampu menungang kuda akan mampu memimpin manusia.

“Minat saya ini mula-mula cuba-cuba motosikal kawan-kawan, kemudian saya bermula dengan motosikal biasa-biasa, ‘cc’ rendah, Yamaha Virago 500 cc, sekarang saya mempunyai motosikal dengan ‘cc’ yang paling besar, Honda Goldwing 1,800 cc,” kata Takiyuddin, dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider, di Parlimen baru-baru ini.

“Motosikal ini pun kita ibaratkan sebagai kuda sekarang, lagipun kuasanya pun kita ukur menggunakan kuasa kuda,” kata Takiyuddin, berjenaka.

Zuhdi dakwa Husam mahu 'kocak' solidariti Pas

Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR - Konflik yang membabitkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa didakwa hanya untuk mengocakkan semula solidariti yang ada dalam Pas, namun ia dilihat tidak mampu menjejaskan parti.

Menurut Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki, Pas adalah sebuah parti paling kukuh meskipun parti lain dalam negara bergolak kerana permasalahan yang dihadapi dalam parti.

"Pas masih kekal solid (kukuh). Walaupun Pas (dahulu) berpecah dengan beberapa ahlinya telah keluar dari Pas dan menubuhkan parti baharu, Pas kini kekal sebagai sebuah parti yang kuat," katanya ketika ditemui di Himpunan Bantah TPP di Stesen LRT Ampang Park, di sini, hari ini.

Lebih kurang 52 NGO berkumpul bersama pada hari ini untuk menyatakan tentangan terhadap rundingan perjanjian perdagangan antara 12 negara yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Peru, Singapura, Mexico, Chile, Brunei, Vietnam, Jepun, Kanada, Malaysia, New Zealand dan Australia.

Orang ramai gempar bank ada bom Central Square Sungai Petani

Orang ramai gempar bank ada bom

SUNGAI PETANI – Pekerja sebuah bank di Central Square Sungai Petani, di sini gempar apabila menerima panggilan daripada seorang wanita mengatakan premis itu mengandungi bom kira-kira jam 1 petang semalam.

Berikutan itu, kesemua pekerja yang sibuk berurusan dengan pelanggan mula beredar mengosongkan bangunan berkenaan.

Suasana panik itu kemudian menyebabkan orang ramai berkumpul di hadapan pasar raya terbabit setelah melihat kehadiran pasukan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.25 petang berhubung kejadian.

“Kita dimaklumkan bahawa kakitangan bank yang terletak di pusat membeli-belah Central Square itu menerima panggilan daripada seorang wanita mengatakan ada bom di situ,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...