TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Takan MB & EXCO terbabit boleh terima pembaziran sampai RM9.7 juta hanya untuk pintu gerbang Kota Darul Ehsan...!!

Azmin Perlu Jawab Pembaziran Wang RM9.7 Juta - Chegubard

 
KUALA LUMPUR 20 Nov - Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mengkritik kerajaan Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan memperuntukkan RM9.7 juta untuk ‘mencantikan’ pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

Beliau yang mengisytiharkan ahli PKR seumur hidup berkata, kerajaan Selangor melakukan pembaziran kerana memperuntukan sejumlah besar wang hanya untuk menaik taraf pintu gerbang.

Katanya, selama ini pembangkang mendedahkan pembaziran dan ketirisan wang rakyat oleh kerajaan Barisan Nasional namun pendedahan RM9.7 juta diperuntuk untuk pintu gerbang itu amat mengejutkan.

“Saya tidak mahu bercakap berkenaan proses penganugerahan tender kepada syarikat yang mengguna istilah arab tersebut atau bagaimana sumber bajet , tetapi saya hanya memfokuskan kenapa jumlah sebegitu hanya untuk cantikkan pintu gerbang?, katanya menerusi kenyataan media.

Chegubard yang diketahui tidak sehaluan dengan Azmin berkata, Menteri Besar dan Exco dari Pas, Zaidi Abdul Talib yang bertanggungjawab perlu tampil memberi penjelasan berhubung laporan itu.

“Saya berdoa agar berita RM9.7 juta tersebut tidak benar dan rekaan semata – mata sebab bukan sahaja penyokong biasa kecewa, malah saya ahli seumur hidup PKR juga kecewa,” katanya.

Cerita Arul Kanda Untuk Yang Percaya

 A Kadir Jasin

http://www.roketkini.com/wp-content/uploads/2015/05/arul-kandasamy-650x400.jpg
RAMAI warga Internet anggap bahas seorang diri Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, (Encik) Arul Kanda Kandasamy (AKK), pada 11 November lalu sebagai auta.

Cerita ini panjang dan saya cuba kisahkan dalam bahasa dan cara paling mudah dengan harapan pembaca yang kurang faham hal perniagaan boleh faham.

Mula-mula sekali, saya tak akan ikut tuduh AKK auta pasal apa yang auta kepada sesetengah warga Internet mungkin kebenaran mutakhir kepada ramai ahli dan penyokong Umno.

Tapi saya percaya ramai juga ahli dan penyokong Umno yang tak percaya. Agaknya kerana itulah makin ramai yang gesa Presiden merangkap Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, letak jawatan.

Ahli dan pemimpin Umno khusuk dengar AKK

Isu YAPEIM - Cerdik, Tak Berapa Cerdik atau Terlebih Cerdik..?

Shahbudin Husin, 

Susulan beberapa pendedahan oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW berkaitan perbelanjaan YaPEIM di luar negara, termasuk menganjurkan kursus perkahwinan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya berkata, program yang diadakan di Paris  itu ialah bagi  menjimatkan kos. 

Katanya, dari segi ekonomi memang menjimatkan kos pelajar luar negara kerana mereka tidak perlu pulang ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri kursus tersebut.

"Apabila kita buat di luar negara dan kita kumpulkan 150 untuk menghadirinya, belanjanya memang sedikit. Itulah keuntungannya," jelas beliau.

Cerdik, tak berapa cerdik atau terlebih cerdik kenyataan seperti itu?

Sebagaimana yang didedahkan oleh NOW sebelum, kos untuk kursus perkahwinan di Paris itu yang katanya termasuk untuk memastikan pelajar tidak terpengaruh dengan budaya LGBT telah menelan belanja sebanyak RM290 ribu sedangkan bayaran untuk menghadiri kursus perkahwinan di Malaysia adalah di bawah RM200 seorang.

Dengan kos sebanyak RM290 ribu bagi 150 peserta, berapa belanjanya untuk tiap seorang peserta?

Adakah ia lebih murah daripada RM200 tadi?

Perlu dan terdesak sangatkah kursus perkahwinan diadakan untuk pelajar-pelajar di luar negara? Sudah berapa ramai pula yang terlibat dengan LGBT?

Tunggu YB PAS kemuka rang undang-undang hudud di Dun Kedah

oleh AnakKedah007

 

Bukan apa sebelum ini bukan main lantang PAS kata nak laksanakan hudud walaupun tak ada kuasa. Ini kerana seperti apa yang dibisingkan sampai bercerai berai dimana PAS nak bawa juga hudud ke parlimen walaupun ada sahabat dari PKR & DAP ajak berbincang dan bermesyuarat dahulu apa yang nak dibawa supaya semua boleh faham.

Tapi PAS tak peduli dan tak bermesyuarat pun terus mereka bawa juga ke parlimen..kerana hujah mereka hudud ini hukum ALLAH tak boleh ditangguh....

Jadi sekarang KITA JUGA menunggu Bilalah agaknya wakil rakyat PAS dinegeri yang bukan PAS memerintah pun ingin melihat PAS kemuka bil persendirian rang undang-undang hudud di Dun Negeri Kedah.

Baru boleh kita tahu DAP, Keadilan ,atau Amanah (baca Ir Phahrolrozi ) yang nak tolak atau sokong hukum hudud di Kedah.

Setakat ini tiada usul rang undang persendirian berkaitan hudud dikemukakan dalam sidang DUN Kedah sehingga saat ini.

SUMBER

Dengan penubuhan AMANAH, lagi bertambah mereka yang sakit jiwa rupa-rupanya..!

ULASAN GreenBoc
 
Nasih Ulwan, pemuda yang didakwa menyerang keluarga Ust Miqdad
 
Gejala samseng memang sudah berakar umbi dalam PAS sejak muktamar PAS yang lalu. Sebelum ini GB sudah ulas:
Gejala budaya samseng semakin menjadi-jadi di dalam PAS dan lebih memalukan ia dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka pro-ulama dan bergelar "ustaz". Semasa di Muktamar PAS yang lalu sudah ada unsur samseng di dalam PAS, sekumpulan "50 gagak hitam" yang meninggalkan dewan semasa Timbalan presiden berucap dan ada kumpulan yang memboo semasa AJK PAS Pusat Hanipa Maidin berucap. Apakah ini akhlak Islam yang ditonjolkan oleh kumpulan yang mendabik dada menyatakan kononnya mereka pro-ulama, pro-MSU, pro Presiden?

Selepas daripada tindakan keluar muktamar dan mengeboo ucapan penangguhan seorang AJK PAS Pusat, mereka sekali lagi membuat kacau dengan sekumpulan pemuda kononnya pro-ulamak berbadan besar yang telah mengepung Safwan Anang, Pengarah Eksekutif LENSA berhampiran bangunan pejabat PAS. Safwan bukan saja dikepung malah beliau diugut akan dipukul.

Gambar dengan Jacel Kiram : Nurul Izzah 'kesal'

Selepas dikritik hebat, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Tampil menjelaskan perkara itu, Nurul Izzah menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel H Kiram dan tidak pernah berkenalan wanita tersebut.

"Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Malis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

"Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta," kata Naib Presiden PKR itu.

Pemimpin Amanah Terengganu dakwa diserang anak pemimpin PAS

Bapa kepada Ketua Amanah Marang Miqdad Zakaria, Zakaria Abdul Rahman memberitahu seorang pemuda yang juga anak seorang pimpinan PAS Terengganu datang ke rumahnya di perkarangan Masjid Rusila dan menjerit dengan sekuat hati dengan mengatakan perkataan 'munafik'. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 November, 2015.
Ketika Parti Amanah Negara (Amanah) meningkat popular, pemimpin akar umbinya di kubu kuat PAS di Terengganu mendakwa diserang anak pemimpin parti Islam itu.

Ketua Amanah Marang Miqdad Zakaria memberitahu The Malaysian Insider, bapanya membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya selepas seorang pemuda, anak kepada seorang pemimpin PAS melakukan ugutan di perkarangan rumahnya.

Miqdad, anak saudara kepada isteri presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya, pemuda berkenaan datang untuk menyerangnya.

"Ketika itu saya tiada di rumah," kata Miqdad yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah Terengganu kepada The Malaysian Insider.

Bapa kepada Miqdad, Zakaria Abdul Rahman menulis dalam laporan polisnya menceritakan seorang pemuda yang juga anak seorang pimpinan PAS Terengganu datang ke rumahnya di perkarangan Masjid Rusila.

"Saya memberitahu beliau anak saya tiada di rumah. Kemudian lelaki itu menjerit dengan sekuat hati dengan mengatakan perkataan 'munafik' dan menyebabkan beberapa jiran saya lain turut terdengar jeritan itu," kata Zakaria dalam laporannya di Balai Polis Marang.

Beli Ahli Parlimen - Kalau kami tawar pun, BN bagi 10 kali ganda

KUALA LUMPUR - PKR menyifatkan cubaan melawan BN dengan duit hanyalah kerja bodoh kerana jelas ianya tidak akan berjaya. Naib Presidennya, Rafizi Ramli menegaskan soal duit tidak menjadi pertimbangan parti itu dalam berpolitik.

"Saya tak tahu. Ini kali pertama saya dengar dakwaan ini.

"Kami belajar daripada awal lagi dalam politik ini, kalau cuba nak melawan Umno dengan duit, itu kerja bodoh. Tak akan menang punya.

"Mana kami nak korek? Soal beli (ahli Parlimen BN) soal duit ini memang tak pernah menjadi sebahagian pertimbangan dalam PKR langsung," katanya kepada Sinar Online dalam satu wawancara semalam.

Semalam, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali cuba membawa masuk RM8 bilion menerusi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dipercayai akan digunakan untuk menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak, sekali gus memancing Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Setiausah Agung PKR itu berkata, sekiranya Pakatan Harapan menawarkan sejumlah wang, BN boleh menawarkan 10 kali ganda daripada jumlah itu.

"Cuba bayangkan jika kami mempunyai duit sekalipun nak pergi beli (ahli Parlimen BN), satunya kami nak pergi beli itu, kami akan kena tangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kemudian, jika kami tawarkan pun, BN boleh tawarkan 10 kali ganda lebih tinggi. Jadi, kita memang tak akan menanglah," katanya.

Penasihat Khas PMSP, Ramesh Rao dalam dakwaannya selepas menyerahkan memorandum kepad wakil Azmin berkata, dana berkenaan diperoleh melalui empat buah projek yang direka khas melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, maklumat yang diperoleh mendapati RM3 bilion dibawa melalui yayasan manakala, RM5 bilion pula dibawa melalui PKNS.

Mahfuz akui masih lagi ahli Pas

ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa beliau masih ahli Pas dan tidak menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) seperti yang hangat diperkatakan pada masa kini.

Beliau berkata, penyertaannya dalam banyak program anjuran Pakatan Harapan di Kedah adalah atas dasar rakan seperjuangan.

“Saya hadir (program Pakatan Harapan) adalah sebagai ahli parlimen kepada anjuran program yang diadakan dalam kawasan Pokok Sena.

“Ini bukan gimik untuk saya masuk Amanah, saya masih ahli Pas. Sejak sebelum PRU sampai hari ini, nak menang pun kami bersama menggerakkan usaha atas nama Pas dan DAP,” katanya selepas menghadiri program Kayuhan Gerek Anak Malaysia anjuran Pusat Komuniti Derga, di sini, semalam.

Menurutnya, kehadiran beliau dalam program anjuran DAP adalah dalam konteks pelbagai kaum dan agama, khususnya dalam kalangan generasi anak muda di Parlimen Pokok Sena.

“Saya tidak fikir kerana perbezaan ideologi politik kita harus bercanggah antara satu sama lain. Yang penting kita kena melihat soal kepentingan rakyat yang ada dalam kawasan kita,” katanya.

Pas ibarat bubur Asyura, ada kekuatan tersendiri

KOTA BHARU – Pas mempunyai kekuatan tersendiri, walaupun ia tidak nampak dengan jelas,kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, dengan kekuatan tersebutlah menjadikan Pas sebagai sebuah parti yang matang dan sehingga kini boleh berdiri atas kaki sendiri walaupun dihimpit pelbagai kemelut dan cabaran.

“Pas ini boleh diibaratkan seperti buat bubur As-Syura. Banyak bahan-bahan yang diperlukan seperti jagung, gula, garam, daging. Tapi apabila masak, bahan-bahan tersebut langsung tidak kelihatan.

“Bila kita makan, semua bahan-bahan tersebut tadi kita dapat rasa,  walaupun secara kasarnya hanya nampak bubur syura sahaja dari luaran. Tapi kesedapan yang dirasai bukan disebabkan gula sahaja, bukan hanya kerana daging sahaja, tetapi disebabkan semua bahan yang digunakan,” katanya semasa menyampaikan ceramah pembukaan di Majlis Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan.

Menurutnya, Pas bukan parti yang mengamalkan politik kebudak-budakan, kerana kekuatan dalaman Pas ini diisi dengan tiga perkara iaitu dasar yang  diperjuangkan, keikhlasan dan jemaah kuat.

Beliau berkata, tidak ada siapa pun yang boleh mengatakan Pas kuat disebabkan individu ataupun kredibiliti seseorang.

“Tidak ada orang boleh kata, kerana aku lah Pas ini bagus, kerana aku lah Pas ini sohor, kalau tidak disebabkan ada aku, tidak bermakna lah Pas ini dan sebagainya. Itu tidak betul, sebab kita mempunyai peranan dan sumbangan kita masing-masing.

“Sebab itu saya ingatkan kita semua, kita letak jemaah di depan, dan dalam Pas, paling penting kita bergerak atas Majlis Syura. Kekuatan kita adalah jemaah, jangan kita rasa kita lebih. Sebab bila kita rasa kita lebih, punahlah kita, maka punahlah jemaah. InsyaALLAH kalau kita duduk dengan jemaah maka Allah akan bagi  pertolongan kepada kita,” katanya.

Pas lancar gerakan jadi ahli umur 13 tahun

KOTA BHARU - Pas melancarkan gerakan menjadi ahli di usia muda dengan membuka keahlian seawal 13 tahun dalam misi memantapkan lagi perjuangan Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas sentiasa berusaha menambah keahlian kerana ia menggambarkan betapa kuat dan mantapkan perjuangan mereka dalam memartabatkan agama Islam di negara ini.

“Sejak ditubuhkan pada 1951 sehingga hari ini, keahlian Pas sudah mencecah 1.6 juta, dan kita sentiasa berusaha menambah keahlian kerana ramainya ahli menzahirkan sejauh mana kekuatan kita.

“Ia juga akan menggambarkan betapa hebatnya perjuangan Islam di negara ini,” katanya dalam ucapan aluan sempena pelancaran gerakan menjadi ahli di awal usia di sini, kelmarin.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, gerakan menjadi ahli di usia muda dilancarkan buat pertama kalinya di negeri ini sempena Sambutan 60 Tahun Kerajaan Pas Kelantan di sini, malam tadi.

“Berdasarkan perlembagaan, lima syarat melayakkan seseorang menjadi ahli Pas, iaitu, Islam, warganegara, cukup umur mengikut hukum syarat (Pas menetapkan umur minimum menjadi ahli ialah 13 tahun) selain mengaku menerima serta taat kepada perlembagaan parti, peraturan, arahan dan keputusan parti dari masa ke semasa.

“Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti terlebih dahulu,” katanya.

Sambut Obama bermakna sokong Israel

Mohammad Fazril Mohd Saleh
21 Nov 2015, tengahari 11:56

ULASAN Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia.

Bantahan ini adalah berdasarkan dua pendirian songsang oleh pentadbiran Obama yang kami kecam iaitu sokongan AS terhadap Israel dan dominasi AS dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

PKPIM melihat sikap berat sebelah Obama dalam isu pergolakan di Palestin sebagai suatu kegagalan besar beliau sebagai seorang pemimpin dunia yang kononnya mengangkat prinsip keadilan sejagat.

Pada Ogos 2014, Obama meluluskan undang-undang yang bertujuan memberikan peruntukan tambahan sebanyak AS$225 juta dana awam untuk sistem pertahanan Iron Dome Missile Israel ketika konflik Gaza-Israel.

Bantuan dana awam AS sebanyak ini kepada Israel jelas suatu kezaliman terancang yang tidak harus didiamkan.

Konflik terbaru di Palestin khususnya di Tebing Barat yang masuk hari ke-50 hari ini pula tercetus akibat kebiadaban Israel menceroboh rumah ibadat kaum Muslimin di Baitul Maqdis.

Sehingga kini, angka korban di pihak Palestin meningkat sehingga mencecah 91 orang dengan 10,432 yang lain cedera dan 2,000 orang ditahan termasuk 800 orang kanak-kanak.

Jelas untungkan AS

Walaupun masyarakat dunia terang-terangan membantah kebiadaban Israel ini, Obama masih lagi mempertahankan kezaliman Israel terhadap Palestin.

Baru-baru ini, Palestin telahpun diterima sebagai negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dan ini menunjukkan secara jelas Israel kini memang sedang menjajah Palestin.

Berhubung isu TPPA pula, kami melihat kehadiran kali kedua Obama ini sebagai usaha menekan pentadbiran Malaysia untuk menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian ini memang jelas memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat. Malah, mekanisme yang masih belum jelas dalam peruntukan "Investor-to-State Dispute Settlement (ISDS)" menggusarkan rakyat.

Begitu juga peruntukan tentang hak cipta dan hak milik intelektual yang bakal menjejaskan aspek kesihatan dan pendidikan rakyat.

Kehadiran Obama tanpa bantahan rakyat menggambarkan seolah-olah rakyat merestui tindakan dan polisi zalim beliau.

PKPIM menyeru pelajar dan mahasiswa agar secara tegas membantah kehadiran beliau dengan menyertai himpunan aman Bantah TPPA yang akan diadakan esok jam 2:00 petang di sekitar KLCC.

MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Pemimpin tersasar landasan, makin ramai tinggalkan PAS

ANALISIS OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Semakin hari semakin ramai aktivis, anak didik dan petugas PAS yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) kerana mengangap haluan dan pendekatan parti itu sudah lari daripada yang mereka kehendaki dan perjuangkan selama ini.

Kebanyakan yang meninggalkan PAS ini adalah mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dengan pihak luar, dan tidak berpuas hati dengan pendekatan baharu parti itu yang dilihat lebih senang bersendirian.

Sikap tidak jelas hala tuju semasa dan dilihat mesra Umno, parti yang didoktrinkan sebagai musuh utama PAS selama ini, juga menjadi antara punca besar mereka tidak senang dengan parti sekarang.

Perasaan tidak puas hati itu kini turut melibatkan Harakah, lidah rasmi parti Islam itu.

Awal bulan ini, ketua pengarangnya Taufek Yahya menghantar notis dua bulan untuk meletak jawatan kerana tidak lagi boleh bekerja di sana, ekoran perubahan pendekatannya.

Beliau akan meninggalkan media rasmi PAS itu mulai 1 Januari nanti, selepas tempoh notisnya tamat, setelah berpuluh tahun bekerja di sana.

Sebelum itu, beberapa wartawan akhbar rasmi PAS juga berbuat demikian kerana tidak senang lagi dengan pendekatan parti Islam itu.

Fenomena ini membayangkan dilema yang melanda akar umbi parti ketika ini, ekoran perpecahan dalam PAS yang menyaksikan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) oleh bekas pemimpin progresifnya yang lari meninggalkan parti.

Timbalan presiden Amanah Salahudin Ayub memaklumkan, sehingga kini sudah kira-kira 50,000 mendaftarkan diri sebagai ahli Amanah.

Beliau yang juga bekas naib presiden PAS, yakin sasaran 100,000 ahli menjelang hujung tahun ini akan berjaya dicapai, sambil menambah, 150,000 borang keahlian sudah diedarkan ke seluruh negara.

"Pencapaian Amanah yang meyakinkan ini berteraskan dasar Islam yang berwajah rahmat untuk semua, di samping pendekatan yang progresif, inklusif dan peduli.

"Ramai yang meletakan harapan yang tinggi kepada Amanah untuk terus maju ke hadapan mewarnai aspirasi rakyat Malaysia bersama Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Fenomena di Harakah juga berlaku di ibu pejabat PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Ada yang sudah meletak jawatan untuk bersama Amanah dan tidak kurang juga yang masih kekal bekerja dengan PAS tetapi menjadi 'harum manis' iaitu hijau di luar, oren di dalam.

Ia juga melanda PAS di Taman Melewar, Kuala Lumpur, tempat terletaknya Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang kini menjadi Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM).

"Hanya tinggal saya dan dua orang lagi saja, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh dan suaminya, yang kekal dalam PAS," kata seorang tokoh veteran parti yang tinggal berhampiran Taman Melewar ketika menceritakan perihal yang berlaku di situ.

Beliau menamakan Zubir Ahmad (kakitangan pejabat agung PAS), Abu Bakar Rashid, Zain Hashim, Haji Uzir dan ramai lagi aktivis parti yang tinggal di lubuk parti itu sebelum ini yang sudah lari menyertai Amanah di bawah pimpinan Mohamad Sabu.

Kedudukan yang sama juga berlaku di cawangan-cawangan PAS di seluruh negara, semuanya dalam keadaan resah dan menimbulkan perpecahan di kalangan ahli.

Bagi Nik Mohd Ghazali, seorang ahli jawatankuasa (AJK) cawangan di Selayang, walaupun masih kekal dalam PAS, beliau terasa semakin jauh dengan parti Islam itu berikutan pendekatan barunya.

"Dulu bila ada mesyuarat, saya rajin pergi, namun sekarang terasa liat dan tidak mahu terlibat lagi.

"Kalau dulu ringan tangan menghulurkan duit untuk PAS bagi melaksanakan pelbagai program, tetapi sekarang sudah lain.

"Saya terasa, baik saya masuk tabung masjid," cerita Nik Ghazali kepada The Malaysian Insider.

Rakan-rakan beliau yang masih kukuh bersama PAS kini membuat persiapan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Selayang.

Ia berbanding bertanding hanya di DUN Taman Templer pada pilihan raya umum lalu, manakala kerusi selebihnya semuanya ditandingi PKR.

"Kita diarahkan untuk membuat persiapan bertanding di semua DUN di Selayang," kata seorang AJK PAS cawangan.

Fenomena ini membayangkan PAS lebih senang bersendiri, bahkan bersedia untuk berlawan dengan PKR dalam pilihan raya umum akan datang, jika perlu.

Sementara itu, DAP mula membuka pejabat khidmatnya di DUN Taman Templer yang ketika ini dipegang pemimpin PAS, Zaidy Talib, juga anggota exco kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, DAP mengumumkan akan membuat persiapan jika perlu bertanding di 8 kerusi DUN di Selangor yang dimenangi PAS pada pilihan raya 2013.

"Ada 2 segmen penting yang tidak lari meninggalkan PAS.

"Golongan yang patuh dan wala' kepada pimpinan dan parti dan golongan bawahan PAS yang tidak memahami apa yang berlaku dalam parti itu," kata Mohamad Hisomuddin Bakar, Pengerusi Eksekutif Ilham Centre ketika mengulas fenomena ini.

Ia berlaku terutamanya di negeri-negeri yang PAS sudah berakar umbi dan jauh dari akses kepada kegiatan di laman sosial seperti Terengganu dan Kedah.

Golongan ini akan menyerang mereka yang menyertai atau menghampiri majlis anjuran Amanah, apatah lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti baru itu, dengan pelbagai tuduhan dan label.

Mereka berpendapat, menjadi satu kesalahan besar kepada Amanah kerana berpecah dari parti Islam yang sedia ada dan menjadi satu kesalahan besar untuk umat Islam menghina ulama yang memimpin PAS sekarang.

Kebanyakan mereka tidak terdedah dengan maklumat semasa melalui media sosial dan hanya mendapat maklumat dari akhbar Harakah dan kuliah-kuliah yang diberikan pemimpin PAS, di samping usrah di kalangan mereka. – 21 November, 2015.

Obama : TPPA - Asyik bincang, sampai bila pun tak habis

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan perbincangan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan 12 buah negara itu akhirnya dimuktamadkan bagi membolehkan semua negara berbincang secara dalaman dari pelbagai aspek sebelum memutuskan penyertaan masing-masing.

Menurutnya, perbincangan yang berpanjangan pun tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.

“Setiap masa, semua orang komen terhadap setiap aspek, jadi, kita tidak akan berjaya (capai kata sepakat).

“Di AS pun, kami tidak mampu memuaskan hati semua komuniti. Apatah lagi ini melibatkan 12 buah negara...dan semua wakil negara sentuh setiap aspek, jadi, kita memang tak akan selesai sebab manusia memang akan sentiasa meminta lebih.

“Jadi, apa kami buat ialah, tutup perbincangan,” katanya ketika menjawab soalan penonton pada pertemuan dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) sempena kunjungannya ke Malaysia bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan wakil Malaysia yang terlibat dalam perbincangan perjanjian TPP yang dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu.

Menurut Obama, meskipun beliau menganggap perjanjian TPP itu baik dan boleh dipersetujui, namun beliau juga masih belum mendapat kelulusan Kongres AS.

“Saya percaya itu tapi tetap tiada jaminan. Setiap ahli Kongres akan teliti setiap ayat dalam perjanjian itu. Sesetengahnya akan menganggap ia perjanjian yang baik dan sesetengahnya pula akan fikir ia buruk.

“Sekarang ini, setiap negara perlu menyelesaikan segala persoalan berkaitan undang-undang, Parlimen atau apa sahaja bentuk kerajaan anda untuk memutuskan untuk menerima atau menolak perjanjian ini,” katanya.

Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan berhubung perbincangan yang disifatkan berjalan penuh dengan kerahsiaan itu, beliau menyarankan agar alumni tersebut merujuk dan membaca setiap bab yang ada dalam teks perjanjian yang telah dimuatnaik di laman web.

Bagi Malaysia, sebelum TPP diputuskan, teks rasmi TPP akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.

Perjanjian TPP juga dibantah oleh ramai pihak di negara ini termasuk NGO kerana disifatkan berisiko dan dijangka membebankan rakyat.

11 pihak lain yang terlibat ialah AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

'DAP jangan menyibuk hal Umno-Pas'

KOTA BHARU - DAP diingatkan agar tidak mencampuri urusan parti lain terutamanya usaha kerjasama antara Umno dan Pas.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, Pas atau mana-mana parti berhak bekerjasama dengan sesiapa sahaja kerana negara ini mengamalkan prinsip demokrasi.

“DAP sibuk kata Pas nak kerjasama dengan Umno, apa masalah DAP jika ia berlaku (kerjasama)? Dahulu DAP pun pernah kerjasama dengan Pas atau parti lain.

“Kita negara demokrasi, siapa nak buat kerjasama dengan siapa tidak menjadi masalah. BN terdiri daripada 14 parti komponen dan Umno adalah paling besar,” katanya.

Md Alwi memberitahu, kerjasama Pas dan Umno bukan untuk membentuk kerajaan tetapi sebagai parti yang bertanggungjawab, ia amat sesuai dengan prinsip Islam.

“Bekerjasama dalam hal buat kebaikan, itu prinsip Umno dan Pas serta semua orang Islam, apa yang patut buat bersama kita buat, namun ada juga yang tidak boleh buat bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Md Alwi yang juga bekas Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan selepas PRU12, beliau pernah diminta mengatur pertemuan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Abdullah tetapi tidak tahu tujuan pertemuan tersebut.

“Dia kini Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) (Salahuddin Ayub) pernah menelefon saya dan bertanya boleh atau tidak saya aturkan pertemuan Abdul Hadi dan Perdana Menteri.

“Jadi bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kena tanya Salahuddin apa yang Abdul Hadi suruh dia buat, setakat itu sahaja yang saya boleh cakap.

"Mengenai kerjasama Umno dan Pas di Selangor saya tidak tahu,” katanya.

Baru-baru ini, pada Majlis Demo Tanya, Ambo Jawab yang berlangsung di Kota Bharu, Husam mendakwa usaha untuk menyatukan Pas dengan Umno bermula selepas PRU12 apabila beberapa pimpinan Pas didakwa mengadakan pertemuan dengan Abdullah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pertuduhan terhadap Teresa ditarik balik

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara hari ini menarik balik pertuduhan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung klip video disiarkannya bersempena Tahun Baharu Cina.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah ketika kes disebut di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang di Mahkamah Sesyen di sini. Bagaimanapun, tiada alasan dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung perkara tersebut.

Ketika ditemui, peguam S. N. Nair yang mewakili Teresa berkata, pihaknya hadir di mahkamah hari ini untuk mendapatkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut. "Bagaimanapun, kami terkejut dengan perkembangan kes itu," katanya.

Pada 6 Mei tahun lepas, Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok ONEderful Malaysia CNY 2014' yang disiarkan bersempena Tahun Baharu Cina pada Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman web http://www.youtube.com/ di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini, kira-kira 9 pagi, 1 Februari 2014. Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. - Bernama

Alor Setar - Pelajar alami pendarahan usus dibelasah senior

ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan satu mengalami pendarahan pada usus dan buah pinggang selepas dibelasah sekumpulan pelajar senior sekolah agama rakyat di Pokok Sena awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu Mohd Irfan Azizan, 13, berasal dari Kampung Permatang Kaka, Megat Dewa, Kodiang dibelasah lima pelajar senior di luar bilik asrama sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa dipukul kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik rakan suspek selepas mangsa dikatakan orang paling awal masuk ke dalam bilik asrama.

"Hasil siasatan mendapati suspek berusia antara 14 dan 18 tahun itu memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki. Kita sudah kenal pasti suspek terlibat dan belum lakukan sebarang tangkapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang mengetahui kejadian itu telah menghubungi bapa mangsa, Azizan A Aziz kira-kira jam 6 pagi semalam sebelum membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) bagi mendapatkan rawatan. Adzaman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Azizan, 40, berkata dia telah menghubungi sekolah bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu sebelum pergi ke situ untuk melihat keadaan anaknya yang dikatakan demam oleh pihak sekolah. Katanya ketika tiba di sekolah dia mendapati anak kedua daripada lima beradik itu tidur di asrama dalam keadaan lemah selain terdapat kesan lebam pada anggota badan serta mengadu sakit pada pinggang.

Pemandu lori itu berkata pemeriksaan pakar perubatan di HSB mendapati anaknya mengalami pendarahan dalaman pada usus dan buah pinggang kesan daripada kejadian itu. Katanya, sebelum itu seorang suspek turut menghubunginya dan meminta ganti rugi sebanyak RM400 atas kehilangan telefon bimbit yang dikatakan dicuri anaknya. - Bernama

Kedah akan adakan persidangan sukan pertama

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) merancang untuk mengadakan satu persidangan pada awal tahun depan untuk menghasilkan satu ‘blueprint’ pembangunan sukan negeri 2020-2025. Exco Belia dan Sukan, Aminuddin Omar berkata, persidangan itu diharapkan dapat merangka strategi jangka panjang dan pendek dengan objektif utama Kedah menjadi kuasa besar sukan melalui penguasaan pingat emas terbaik di Sukma 2022 dan 2024.

“Kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan sukan di negeri ini. Pelbagai langkah diambil untuk meningkatkan pencapaian sukan bagi atlet-atlet dari Kedah bagi menjulang nama negeri ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Secara tradisinya, Kedah merupakan satu ‘powerhouse’ dalam sukan bola sepak dan sepak takraw di Malaysia. Kerjasama tiga hala antara persatuan-persatuan sukan negeri, MSN Kedah dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Kedah perlu digembleng bagi memacu kemajuan dalam kedua-dua sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Datuk Harun Abdul Aziz (BN- Kupang) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pembangunan acara sukan pada Sidang Dun Kedah, semalam. Menurutnya, beberapa sukan lagi dikenal pasti berpotensi dimajukan di Kedah seperti olahraga, angkat berat, berbasikal, pencak silat, squash dan sukan perahu layar.

“Daerah yang dikenal pasti sebagai pusat latihan negeri dan pusat latihan daerah melalui penempatan prasarana sukan serta jurulatih sepenuh masa dan separuh masa ialah Kubang pasu dan Jerlun bagi acara sukan angkat berat serta olah raga iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus dan Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Mesyuarat MT Umno di Parlimen bagi singkir Muhyiddin?

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bakal diadakan pada Selasa ini yang bertempat di bangunan parlimen dan bukan seperti lazimnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi ibu pejabat Umno.

Ini menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam blognya hari ini Akramsyah Sanusi - anak kepada bekas Setiauasaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa mesyuarat itu dipercepatkan dari 27 November kepada 24 November.

Beliau juga melaporkan mesyuarat majlis tertinggi itu bakal tidak diadakan di tempat biasa iaitu di PWTC tetapi beralih ke bangunan parlimen.

Menurut Akramsyah, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh, sedang dengan 'senyap-senyap' menjemput ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno supaya hadir ke mesyuarat yang bermula jam 6 petang pada tarikh berkenaan.

Katanya, kedua-dua Muhyiddin dan Shafie kini di luar negara.

Semakan Malaysiakini mengesahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu hanya akan kembali pada 25 November manakala Shafie dilaporkan sedang menunaikan umrah di tanah suci Makkah.

Ketika dihubungi, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan bahawa mesyuarat akan datang bakal diadakan di bangunan Parlimen.

'Budak ini mengarut'

Bagaimanapun, beliau menafikan mengetahui mengenai agenda mesyuarat ataupun mengenai tarikh mesyuarat dipercepatkan.

"Bagaimana budak ini (anak Sanusi) tahu agenda mesyuarat itu walaupun dia bukan anggota Majlis Tertinggi.

"Saya sendiri tidak tahu Majlis Tertinggi sepatutnya bermesyuarat pada 24 November dan bukannya 27 November," katanya kepada Malaysiakini.

Mengenai dakwaan Akramsyah bahawa mesyuarat itu sengaja diadakan pada Selasa ini untuk memastikan Muhyiddin dan Shafie tidak dapat hadir, Nazri berkata ia adalah karut.

Sebaliknya, beliau berkata soalan yang lebih penting ialah mengapa kedua-dua mereka berada di luar negara apabila Dewan Rakyat sepatutnya bersidang sehingga 2 Disember

"Mengapa mereka di luar negara sedangkan mereka sebagai ahli parlimen seharusnya berada dalam negara.

"Tidak ada sebab tidak mahu mereka (Muhyiddin dan Shafie untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi)," katanya.

Nurul: Ya, saya jumpa dengan ‘Puteri’ Sulu tetapi.....

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengaku berjumpa dengan Jacel Kiram, anak perempuan Allahyarham Jamalul Kiram III, tetapi berikrar menyokong mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Nurul Izzah berkata beliau berada di Filipina pada 9 November lalu bersama Ahli Parlimen Batu Tian Chua, sebagai sebahagian daripada delegasi PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan di sana.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media merujuk kepada tuntutan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Azizah Mohd Dun supaya beliau memohon maaf kerana memuat-naikkan posting di Facebook yang memaparkan gambarnya makan bersama Jacel.

Bapa Jacel mengisytiharkan diri sendiri sebagai Sultan Sulu yang mempunyai kedaulatan di tanah Sabah yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan ke atas negeri itu pada 2013.

Gambar itu dikatakan dimuat naik oleh Nurul dan Jacel pada 9 November.

Semakan terkini bagaimanapun mendapati status itu tidak lagi wujud.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata bahawa dia diraikan anjurkan oleh Majlis Hal Ehwal Filipina dan Asian Institute for Democracy, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

"Mereka (yang) menentukan senarai pemimpin yang kami temui," katanya.

Antara mereka, kata beliau, adalah calon yang bertanding jawatan Naib Presiden Jejomar Binay dan ramai lagi pemimpin masyarakat sivil.

Menurut Nurul Izzah, beliau juga menegaskan sokongan partinya berhubung inisiatif kerajaan Malaysia di selatan Filipina.

"Saya ingin tegaskan sokongan saya dalam mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

"Apa-apa cadangan sebaliknya adalah tuduhan liar semata-mata yang tidak berasas dan berniat jahat," katanya.

Selain Jacel, hadir pada pertemuan itu adalah bekas gabenor dan ahli kongres Batangas Hermilando Mandanas, ahli kongres Regina Reyes dan Silvestre Bello, Dekan Undang-undang, Amading Valdez, bekas ahli kabinet Romy Nery dan bekas Setiausaha Kehakiman Wencie Andanar serta ahli kakitangan naib presiden Filipina dan Datuk Bandar Manila.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...