TERKINI :

Friday, November 20, 2015

Ditolak UMNO cawangan, Najib perlu muhasabah – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa UMNO cawangan yang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan menjadi bukti, akar umbi parti Melayu itu menolak kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pengarah Strategi PKR, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sepatutnya Presiden UMNO mengambil pendekatan dengan bermuhasabah dan bukannya menghentam mereka.

“Jadi kalau ada cawangan-cawangan yang bercakap begitu maka adalah lebih baik untuk ambil sikap muhasabah dan menilai pandangan mereka daripada menghantam mereka atau mendisplinkan mereka,” katanya selepas menghadiri Forum Maqasid Syariah.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, hakikatnya keresahan peringkat bawahan semakin kuat apabila pucuk pimpinan tertinggi gagal menyelesaikan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Saya harap kepimpinan UMNO mengambil sikap berjiwa besar bahawa ini adalah suara akar umbi. Selama inipun pemimpin UMNO kata mereka menghormati suara akar umbi.

Terbaharu, sebanyak 20 cawangan UMNO Bahagian Sepang mendesak Najib meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak terkejut sekiranya desakan dari akar umbi umbi terus merebak keseluruh negara.

Katanya, pergolakkan dalam UMNO sebenarnya menguntungkan PH kerana ia menjadi peluang kepada pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Tapi matlamat Pakatan Harapan bukanlah semuanya berkenaan dengan pilihanraya.

“Sebenarnya bila pakatan kata Perdana Menteri patut berundur, tapi dari segi politiknya itu bukan startegi yang baik sebab akan beri peluang kepada Perdana Menteri baru untuk buat perubahan sebelum PRU yang ke-14.

“Pakatan bukan berfikir semua benda mesti politik, dalam masa dua tahun sebelum pilihanraya, apa nak jadi dengan negara. Itu yang lebih mustahak,” katanya.

FMT.

Tun M - Obama datang Malaysia untuk desak Najib sain TPPA

KUALA LUMPUR: Kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hanya mempunyai satu tujuan iaitu mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangami Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TTPA).

Perkara itu ditegaskan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak fikir dia (Obama) akan mengubah atau mahukan apa-apa dari dia (Najib Razak).

“Pada Barack Obama adalah mahu Najib menandatangani TPPA,” ujarnya dalam sidang media selepas melancarkan buku hasil tulisan Datuk Zaid Ibrahim pada Jumaat.

Obama berada di Malaysia selama tiga bermula 20 November hingga 22 November bagi menghadiri sidang kemuncak AS-Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Ketibaan Obama itu bagaimanapun disambut dengan demonstrasi yang dilakukan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang tidak setuju mengenai perjanjian yang dianggap merugikan negara.

TPPA telah dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat. Malaysia perlu membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian itu selewat-lewatnya pada dua minggu pertama 2016.

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

FMT.

Kenapa Pulau Pinang, tidak di Selangor juga..?

KUALA LUMPUR - Pas telah memutuskan menjadi pembangkang di Pulau Pinang, namun ramai penganalisis melihat Pas juga perlu berbuat demikian di Selangor.

Penganalisis politik berpendapat pendirian Pas itu perlu konsisten dan terpakai di semua negeri.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, Pas perlu menetapkan pendirian mereka untuk menjadi pembangkang di Selangor, atau menyertai sahaja pakatan baharu pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

"Hakikatnya Pas adalah parti yang banyak membantu kedua-dua kerajaan Selangor dan Pulau Pinang dan saya yakin jika Pas tidak lagi bersama mereka, Pakatan Harapan tidak mampu mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Semalam, Pas mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan DAP negeri itu yang memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan anggota Pas.    

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata ekoran tindakan itu Pas tiada pilihan lain dan perlu bertindak sebagai pembangkang kepada bekas rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang itu adalah berdasarkan tindakan Pas yang tidak lagi mahu bekerjasama dengan mereka di peringkat Pakatan Harapan.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan Pas Pulau Pinang untuk menjadi pembangkang juga tepat selepas tindakan DAP itu.

"Anehnya, kenapa Pas tidak membuat keputusan yang konsisten dan mempertahankan prinsip mereka dengan turut mengisytiharkan diri mereka sebagai pembangkang di Selangor?," katanya. - Bernama

Pas Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor

SHAH ALAM - Pas Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, meskipun Pas pusat semalam mengisytiharkan parti Islam itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, anggota Exco Pas akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

"Anggota Exco dan Adun Pas di Selangor tetap bersama Pakatan (Rakyat) dan tetap dalam kerajaan Selangor. MB Selangor juga telah putuskan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Khairuddin diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengisytiharkan parti itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Ini berikutan tindakan kerajaan negeri itu memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan anggota Pas di negeri berkenaan.

Tiga anggota exco Pas Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani). 

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafie menegaskan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri buat masa ini.

Beliau berkata Menteri Besar dan kesemua anggota Exco daripada PKR-Pas-DAP akan terus bekerjasama dalam memikul mandat yang telah diberikan rakyat Selangor.

Mohamed Azmin tidak dapat dihubungi kerana kini berada di luar negeri.

Pada 2 November lepas, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor masih berpegang pada pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa parti itu akan terus bersama Pas dan PKR untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini. - Bernama

Obama pertahan TPPA, tekankan harga ubat generik akan turun

​Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mempertahankan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan menyangkal dakwaan pelajar Malaysia pada sesi "town hall" dengan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang menyifatkan ia satu perjanjian elitis.

Malah, kata Obama, dari perspektif harga ubat generik, perjanjian itu dirangka supaya ia akan memastikan keperluan untuk ubat-ubatan generik dilindungi bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut faham kebimbangan masyarakat terhadap paten ubat-ubatan memandangkan industri farmaseutikal negara itu berpengaruh di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya perlu ada beberapa perlindungan untuk ubat-ubatan tertentu kerana tanpa perlindungan harta intelek, tiada siapa mahu mencipta ubat-ubatan baru.

"Perkara sama jika anda seorang penyanyi dan membuat rekod, tetapi sebaik sahaja anda merakamkan lagu itu, orang lain dengan mudah memuat turunnya tanpa bayaran, ini akan menjejaskan industri muzik.

"Jadi, kita kata, kita perlu melindungi sesetengah orang, tetapi kami amat jelas dalam bab mengenai perkara ini dengan mengatakan kita perlu melindungi ubat generik untuk mereka yang berpendapatan rendah.

"Malah, kita perlu menghapuskan tarif ke atas beberapa item seperti penisilin dan ubat-ubatan yang berada di pasaran untuk tempoh masa yang sangat lama.

"Dan dari masa ke masa, kita memang percaya kos ubat-ubatan akan turun di kebanyakan negara yang ketika  ini mempunyai banyak halangan dari segi ubat-ubatan itu," katanya.

Obama berkata beliau turut dikecam syarikat-syarikat ubatan Amerika Syarikat kerana tidak mendapatkan tawaran yang lebih baik untuk mereka.

"Saya katakan kepada mereka, sebahagian daripada tugas kami ialah untuk mempromosikan industri ubat-ubatan Amerika Syarikat tetapi sebahagian lagi tugas kami ialah menjadi rakan kongsi yang baik kepada negara-negara yang mempunyai orang sakit, kami perlu pastikan mereka mendapat akses kepada ubat-ubatan."

Katanya, adalah tidak tepat menganggap ketelusan bermakna TPPA dirundingkan dalam persekitaran yang terbuka sambil menambah, sekiranya itu dilakukan, perjanjian itu akan tidak akan dimuktamadkan.

Beliau berkata keseluruhan dokumen itu kini boleh didapati di atas talian dan tertakluk kepada kelulusan badan perundangan di 12 negara terlibat. – 20 November, 2015.

Syukur Alhamdulillah.. Harga ubat akan naik sebaik sahaja TPPA disahkan, ini Obama yang kata..!

Ya, harga ubat akan naik, kata Obama

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini mengakui bahawa harga ubat dijangka naik sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) disahkan.

Bercakap pada sesi perbincangan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), Obama bagaimanapun berkata sifat perjanjian perdagangan itu adalah bahawa semua pihak yang terlibat perlu bersedia untuk berkorban atau rundingan itu tidak akan berjaya.

"Ketika ini, banyak syarikat-syarikat ubatan di Amerika Syarikat marah pada saya kerana mereka kata mereka tidak lagi dilindungi. Jawapan saya, dalam persekitaran global yang baru ini, perkara sentiasa berubah setiap masa dan sebahagian daripada nilai saya adalah bahawa perubahan itu mestilah baik bagi orang kebanyakan.

"Saya tidak percaya bahawa kita boleh hentikan perubahan. Saya tidak fikir bahawa dengan meletakkan halangan ke atas perdagangan, kita boleh hentikan perubahan," katanya ketika menjawab soalan peserta dari Malaysia.

Peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Rizal itu menimbulkan kebimbangan bahawa TPPA adalah "perjanjian elitis" yang akan membebankan majoriti rakyat Malaysia dan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Salleh Man tak akan dipecat berikutan keterbukaannya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan Penang

Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak akan memecat Adun Pasnya, Datuk Salleh Man Mat Aji berikutan keterbukaannya menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah memutuskan hubungan dengan Pas sebaliknya hanya memutuskan hubungan dengan Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam hal ini, tidak timbul isu pilih kasih. Ini kerana, Adun Permatang Pasir (Salleh Man) membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia setia dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan. Walaupun dia masih ahli Pas, tetapi dia sentiasa bersedia membela kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

“Dalam Pakatan Harapan, kita mengamalkan semangat kekeluargaan. Sehubungan dengan itu, kita tidak akan memecat Salleh Man kerana kesetiaannya terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan,” katanya di sidang Dun, hari ini.

Gugurnya Harumanis di Pokok Sena.. Maaf Dato' Mahfuz, kami tak boleh tunggu dah....!

Assalamualaikum Dato'

Maaf, kami tak boleh tunggu dah.

Setelah menunggu agak lama perkembangan politik dalaman PAS yang amat membingungkan, malam tadi 300 bekas ahli Pas bertekad untuk meninggalkan 'sejarah' mereka bersama dengan PAS, mereka secara rasminya menyerahkan borang permohonan keahlian Parti AMANAH kepada Timbalan Presiden, Tuan Hj Salehuddin Ayub dengan disaksikan oleh YB Dr Mujahid Rawa dan Dr Ismail Salleh.

Bekas ahli Pas yang diketuai oleh Hj Omar Awang (Mantan NYDP Pas Kawasan Pokok Sena) dan Hj Jauhari Hanapiah (Mantan Ketua Penerangan Pas Pokok Sena) terpaksa mengambil tindakan untuk meninggalkan Pas setelah PAS dilihat kehilangan arah tuju, "kami pun tak faham sebenarnya pimpinan nak apa?, sat-sat kata nak kawan umno, yang lain pula kata umno tak boleh percaya, sat-sat nak kawan dengan orang, lepas tu dalam muktamar putuih hubungan, nak pi mana sebenarnya?" Kata salah seorang bekas ahli Pas tersebut apabila ditanya kenapa memilih untuk meninggalkan parti yang telah dianggotai selama 27 tahun.

Apapun, " maaflah Dato' Mahfuz, kami dah tak larat nak tunggu, walaupun kami tau Dato' dok perosah nak baiki parti dari dalam, nampaknya hat ataih tu makin ghosot, kita berpisah sat, kami pi dulu, lepaih Dato' pula mai" kata seorang Cikgu Harumanis.

Maaf Dato' Mahfuz!

Amanah Kedah kena terima permohonan rakan rakan yang ingin bersama Amanah dari kawasan Pokok Sena tanpa menunggu Dato', kegelisahan orang bawah amat membarah pada waktu ini.

Ridzwan Abu Bakar
Pengarah Komunikasi Amanah Kedah

Kenapa diam Najib jumpa Netanyahu?

Nurul-Izzah
PETALING JAYA: Serangan terhadap Nurul Izzah Anwar kerana berjumpa dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu dalam satu majlis rasmi menunjukkan sikap hipokrit pemimpin UMNO.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, pemimpin UMNO sebaliknya hanya diam membisu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

“Ini memperlihatkan sikap hipokrasi dan serangan terhadap Izzah hanyalah bermotifkan politik.

“Kerajaan sepatutnya menjawab pelbagai isu yang belum selesai seperti skandal 1MDB bukan mengalih perhatian kepada isu seperti ini,” katanya dalam kenyataan media.

Latheefa berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Izzah dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah tidak terpakai.

'Derma' RM2.6 bilion: Semua benar, rakyat silap dengar?


KUALA LUMPUR: Kalau 'derma' RM2.6 bilion boleh diterima baik, maka SPRM khasnya perlu mencadangkan agar perubahan takrif rasuah perlu dibuat semula agar semua dapat 'menikmatinya' seperti Datuk Seri Najib Razak.

"Insya Allah Malaysia akan dikenali sebagai negara penderma paling ramai selepas ini," ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam yang menyatakan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah memberi gambaran seolah-olah ini adalah jalan keluar bagi beliau untuk menjelaskan tuduhan RM42 juta yang dikatakan dialirkan daripada SRC International ke akaun persendirian beliau.

PAS keluar arahan supaya ahlinya tidak bercakap selepas kritikan terbuka Husam

Ahli PAS diarah tidak keluar kenyataan selepas kritikan terbuka Husam

 Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada 24 November ini dan menjemput Datuk Husam Musa bagi menjelaskan dakwaan beliau di hadapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 November, 2015.
Ahli PAS diberikan "gag order" (larangan bercakap) yang menghalang mereka daripada mengeluarkan kenyataan terbuka tentang isu kontroversi berkaitan parti, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan hari ini, susulan kenyataan berterusan daripada bekas naib presiden parti Datuk Husam Musa.

Takiyuddin berkata, Jawatankuasa Pusat parti Islam itu akan bermesyuarat pada 24 November ini dan Husam akan dijemput bagi menjelaskan dakwaan beliau di hadapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami tidak mahu isu dalaman dibincangkan secara terbuka," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Antara isu yang dibangkitkan Husam yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu ialah dakwaan yang dibuat ke atas kerajaan Kelantan dan juga dakwaan berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Amanah nafi curi ahli PAS, penyertaan 40% anak muda


Meskipun penyertaan tertinggi ahli baharu Parti Amanah Negara (Amanah) masih didahului Kelantan, parti itu menegaskan hari ini, sasaran utamanya bukan daripada ahli PAS, kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 20 November, 2015.
Meskipun penyertaan tertinggi ahli baharu Parti Amanah Negara (Amanah) masih didahului negeri Kelantan, parti itu menegaskan hari ini, sasaran utamanya bukan daripada ahli PAS.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, penyertaan ahli baharu parti itu merangkumi 40% daripada golongan muda bawah 30 tahun.

"Kita tidak tumpu pada ahli PAS, bukan itu tujuan kita. Kita nak ada hubungan yang baik dengan semua parti dalam negara ini. Bukan ambil ahli parti lain.

"Sebab, ramai lagi golongan tidak berparti seperti orang muda," kata Anuar pada satu sidang media di Wisma Amanah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur hari ini.

AMANAH 'lamar' Husam

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/11/Mohd-Anuar-Tahi_husam-musa_600.jpg
Parti Amanah Negara (AMANAH) hari secara terbuka mengalu-alukan penyertaan bekas orang kanan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Husam Musa menyertai parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, jika Husam - yang kini dilihat semakin berani bersuara mengkritik sesetengah pemimpin PAS - mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, pihaknya pasti menerima dengan tangan terbuka.

Malah, kata Mohd Anuar, Husam boleh dianggap sebagai aset dalam politik dan boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti yang disertainya.

"Husam aset terbesar kepada mana-mana parti dan kami di AMANAH berdoa beliau menyertai kami. AMANAH sedia menerima," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar membayangkan kesediaan mereka menerima Husam itu seperti "kecil kereta Kancil, lori besar" mereka sanggup sediakan.

Husam pernah berkhidmat sebagai exco kanan di Kelantan ketika negeri itu ditadbir Nik Abdul Aziz.

YAPEIM dok pie perabih duit belah AUSTRALIA la pulak..!!!

NOW: Dana Yapeim biayai tiket bisnes ke Australia


Setelah Amerika Syarikat dan Perancis, NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) turut menganjurkan program di Australia.

Pengarah NOW, Akmal Nasir pada sidang media mendakwa program itu menelan perbelanjaan RM218,505 tetapi hampir satu pertiga daripada kosnya adalah bagi membiayai beberapa peserta yang menaiki penerbangan kelas bisnes ke Australia.

Beliau turut mengemukakan salinan dokumen yang diterimanya mengenai wang Yapeim yang digunakan untuk program yang diadakan di Brisbane, Sydney dan Melbourne.

Program bernama "Promoting Islamis: Values In Multi Culture and Religion: Future and Challenges" itu berlangsung pada 16 Apriil sehingga 26 Apriil 2014.

Anak didik Nik Aziz label menantu Hadi ‘firaun’ disebabkan tidak berunding nak buat debat


ADUN Salor Datuk Husam Musa menyifatkan menantu presiden PAS, Zaharudin Muhammad sebagai ‘lebih dari firaun’ kerana tidak berunding terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan debat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) esok.

Husam berkata, sehebat firaun sekalipun, apabila hendak ‘bertarung’ dengan Nabi Musa beliau akan berunding terlebih dahulu mengenai tarikh, tempat dan masa.

“Sehebat dan segagah firaun sekalipun, bila hendak ditentukan masa, tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional sihir Diraja, firaun merundingi Musa.

“Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.

“Pada hal firaun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku,” kata Husam dalam kenyataannya hari ini.

SUA: Hadi terlalu sibuk, terlepas undian Dewan Rakyat

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlalu sibuk dengan hal parti untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di mana beberapa rang undang-undang kontroversi, termasuk Bajet 2016 diluluskan.

"Dia ada banyak yang perlu dilakukan. Kadang-kala dia tidak berada dalam negara," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, Hadi selaku ahli parlimen Marang, perlu dimaafkan meskipun tidak dapat hadir ketika Dewan Rakyat membuat undian kerana beliau terpaksa menguruskan hal-hal parti.

"Ia bergantung. Apabila dia mempunyai perkara penting di luar Parlimen, dia mesti dimaafkan," katanya.

Takiyuddin yang juga adalah ahli parlimen Kota Baru, menegaskan bahawa Hadi sering menghadirkan diri pada sidang Dewan Rakyat apabila keadaan mengizinkan. Beliau juga menolak masalah kesihatan sebagai punca presiden PAS itu gagal menhadiri sidang yang penting.

Tahun ini sahaja, Hadi tidak mengundi rang undang-undang Pencegahan Keganasan (Pota) dan pindaan Akta hasutan.

Kelibatnya, juga tidak kelihatan ketika Dewan rakyat meluluskan bacaan kedua Bajet 2016 pada Isnin lalu.

Hadi, bagaimanapun, enggan mendedahkan sebab ketidakhadirannya apabila Bajet 2016 telah diluluskan di peringkat dasar dengan 128 undi memihak dan 74 undi menentang.

Kenakan Caj untuk bil bercetak sebanyak RM5 adalah tak adil

GEORGETOWN - "Tindakan sebuah syarikat telekomunikasi mengenakan caj tambahan sebanyak RM5 untuk kos pencetakan bil dilihat tidak adil buat penggunanya," kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris.

Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu dilakukan sebuah syarikat telekomunikasi di negara ini menjelang Januari 2016. Menurutnya, langkah tersebut diambil setelah syarikat berkenaan hanya akan menghantar bil secara atas talian, bagaimanapun sebaliknya bil yang bercetak akan dikenakan caj.

“Langkah ini hanya meresahkan golongan warga emas yang rata-ratanya tidak tahu menggunakan komputer. “Kumpulan umur ini biasanya tidak lagi bekerja dan bergantung kepada wang simpanan atau pencen, jadi ia hanya menambahkan beban mereka,” katanya.

Mohamed yang juga Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, tambahan bil sebanyak RM5 sebulan itu terlalu tinggi. Jelasnya, harga kosnya sekitar 60 sen sahaja, ia dilihat seolah-olah hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Ketika kita bergerak ke arah kemajuan teknologi dan era mesra alam sekitar, kita boleh menggalakkan orang ramai untuk menerimanya tetapi tidak seharusnya kita memaksa.

“Jika mereka dalam kumpulan yang tahu menggunakan teknologi moden, mungkin terdiri dari keluarga berpendapatan rendah atau tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan untuk memeriksa bil secara atas talian,” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...