
Harapan rakyat negara ini untuk menyaksikan debat antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkaitan kemelut syarikat sarat hutang itu akhirnya tidak kesampaian dan terkubur di tengah jalan.
Setelah kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berdebat tanpa syarat, pihak lain pula yang banyak "songeh" dengan mengeluarkan pelbagai pandangan, kemungkinan malah ugutan untuk meletakkan jawatan sekiranya debat itu berlangsung juga.
Semuanya menjadikan kedudukan Tony Pua dalam PAC sebagai alasan serta hujahan untuk memberi tekanan kepadanya.
Salleh Said Keruak yang pada awalnya membenarkan RTM menyiarkannya secara langsung, turut "korner baring" di saat-saat akhir dengan mengatakan siaran langsung melibatkan Tony Pua hanya akan diadakan jika beliau berundur terlebih dahulu daripada PAC.
Dengan Tony Pua terpaksa memilih antara berdebat atau kekal dalam PAC, beliau akhirnya memutuskan untuk tidak berdebat, sebaliknya kekal dalam PAC kerana peranan dan pengetahuannya selama ini berkaitan syarikat bermasalah itu dikira penting untuk terus mencari kebenaran berkaitan dengannya.