TERKINI :

Wednesday, October 21, 2015

Heboh pasal usul Undi Tak Percaya, Apakah ada strategi lain di sebaliknya..???

Shahbudin Husin,


Di mata kasar terlihat seolah-olah ada yang tidak kena mengenai usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Najib Razak yang mahu dibawa di Parlimen.

Walaupun pertelagahan antara PKR dan DAP mengenai siapa yang seharusnya membawa usul berkenaan berjaya diselesaikan dengan Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersetuju untuk membawanya sendiri bagi mewakili parti-parti pembangkang, masalah yang timbul ialah oleh kerana ianya usul baru dan belum pun dikemukakan secara bertulis lagi, pendengarannya hanya mungkin boleh dilakukan pada sessi Parlimen Mac depan.

Bermakna, tiada usul undi tidak percaya terhadap Najib pada Parlimen yang sedang berlangsung sekarang. Tetapi Dr Wan Azizah juga dilaporkan sudah bertemu dengan Speaker dan yakin ada harapan usul berkenaan untuk dibentangkan.

Dalam masa yang sama, Azmin Ali menyatakan Pas sudah bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada usul berkenaan. Beliau juga seolah-olah yakin ada ruang untuk pembentangannya.

Namun, jika pun semua wakil-wakil rakyat pembangkang menyokong usul tidak percaya itu, ia masih lagi tidak mencukupi untuk memperolehi majoriti dan mencipta kemenangan.

Usul undi tidak percaya terhadap PM hanya sia-sia, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Parlimen sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Oktober, 2015.
Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bakal dibawa PKR pada persidangan Dewan Rakyat kali ini akan menjadi usul sia-sia kerana tiada kesepakatan antara parti pembangkang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul berkenaan ke Parlimen sebelum ini.

"Kalau tak ada persediaan yang baik, tiada perbincangan, tiada kata sepakat, maka usul itu akan jadi usul biasa sahajalah. Sebab itu usul ini tak boleh buat main-main macam tu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Baru, malam tadi.

Semalam, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian daripada PKR dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan menarik balik hasrat membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa usul sama.

Hudud: Ahmad Yakob tidak akan letak jawatan menteri besar Kelantan

  Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob berkata jika hukum hudud tidak dapat dilaksanakan di negeri itu pada tahun ini, beliau tetap tidak akan lepaskan jawatannya sebagai menteri besar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Oktober, 2015.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Baru Datuk Ahmad Yakob tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Kelantan walaupun hukum hudud tidak dapat dilaksanakan di negeri ini tahun ini.

Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS, berkata tanggungjawab beliau untuk membuat persediaan serta membawa perkara berkenaan ke peringkat tertinggi selesai.

"(Soal letak jawatan) itu apabila kita tidak dapat membuat persiapan. Sekarang ini kita siap semua. Pindaan (Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri) buat selesai.

"Yang menghalang (pelaksanaan hudud), kerana kita tidak dapat buat pindaan terhadap Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Itu bukan tanggungjawab kita, jadi bahagian saya selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) dan Himpunan Belia Kelantan sempena majlis sambutan Hari Hududullah di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Baru, hari ini.

Speaker ronyok kertas usul menteri, arah Lim beri penjelasan


Dewan Rakyat petang ini panas lebih setengah jam apabila sekumpulan anggota parlimen pembangkang khususnya wakil rakyat DAP membantah keras dan mempertikaikan notis usul untuk menggantung Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) .

Ini susulan ketua anggota parlimen DAP itu didakwa menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bantahan itu dibuat kerana notis penggantungan itu - yang sepatutnya akan dibentangkan petang ini - diedarkan kepada anggota Dewan Rakyat lebih awal sebelum tokoh DAP itu memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau.

Sebelum kekecohan itu berlaku, Lim bangun memberi penjelasan panjang lebar dan berhujah beliau tidak berniat dengan sengaja untuk mempertikaikan integriti Pandikar.

Sekolah tutup lagi esok

Indek Jam 6.00 petang tadi

Semua sekolah di Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis serta wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup esok.

Bagi negeri Pahang pula, sekolah di kawasan Bentong akan ditutup esok selain tiga lagi kawasan di Sarawak, iaitu, Kuching, Samarahan, Sri Aman Betong.

Langkah itu diambil susulan kualiti udara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Penutupan melibatkan 4,778 buah sekolah dan 2.6 juta pelajar itu diumumkan dalam kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Kementerian juga mengarahkan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing.

Adakah ZAHID sedang mengugut mp BN untuk undi tolak bajet?

Zahid: Siapa akan undi tolak bajet?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu lima ahli parlimen yang didakwa akan mengundi menolak bajet yang bakal dibentangkan Jumaat ini untuk menyoal diri masing-masing apakah tindakan yang sewajarnya dikenakan kepada mereka.

“Siapa mereka?” soalnya kepada wartawan.

Apabila dimaklumkan antara mereka, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ahmad Zahid berkata soal itu seharusnya diajukan kepada mereka.

“Baik awak tanya mereka. Tanya mereka apa tindakan yang sewajarnya diambil ke atas mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Menubuhkan parti Islam kedua selepas Pas bukan suatu kesalahan

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi


Secara logiknya, menubuhkan parti Islam kedua selepas Pas bukan suatu kesalahan kerana:

1. Perlembagaan Pas sendiri membenarkan ahlinya berhenti menjadi ahli parti itu.

2. Jika mewujudkan banyak NGO Islam tidak salah, tentu mewujudkan banyak parti Islam juga tidak salah.

3. Jika seseorang ahli parti Islam tidak boleh lagi berkhidmat untuk parti itu sebagai ahli, lebih bagus dia mewujudkan parti Islam kedua.

4. Jika wujudkan parti Islam kedua salah, maka wujudkan bank Islam kedua, takaful Islam kedua, sekolah Islam kedua, tadika Islam kedua juga salah.

5. Urusan Islam adalah urusan umat, bukan urusan kelompok atau parti tertentu. Lebih banyak pihak yang turut memikul risalah Islam, tentu dakwah lebih berkesan.

Menteri akui Najib terima dana bagi program politik


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulisnya mengakui sebagai ahli parlimen Pekan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ada menerima dana untuk aktiviti politik di kawasan beliau.

"Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri ada menerima dana untuk aktiviti politik di kawasan beliau yang telah disalurkan untuk program politik, aktiviti sosial dan kemasyarakatan penduduk tempatan," katanya.

Justeru menurut Azalina, adalah tidak wajar bagi Najib memberi seberang jawapan buat masa ini kerana perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang meminta Najib menyatakan sama ada SRC International, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan melalui Ihsan Perdana menderma RM42 juta kepada perdana menteri.

Muhyiddin gesa Putrajaya tangani kemelut 1MDB jika mahu ekonomi pulih

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal 1Malaysia Development Berhad merupakan krisis terbesar dihadapi negara ketika ini yang mengugat imej dan juga integriti pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2015.
Putrajaya digesa menangani kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika mahu ekonomi negara kembali stabil, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini ketika negara sedang berdepan kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam sejarah dan ketaktentuan ekonomi.

Muhyiddin, pengkritik utama syarikat pelaburan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata 1MDB merupakan krisis terbesar dihadapi negara ketika ini.

"1MDB krisis terbesar melanda negara, sudah heboh. Itu yang saya sebut dalam ucapan awal tadi mengenai soal keyakinan, ketelusan, integriti, isu pokok, nilai sejagat.

"Ia mengugat imej dan juga integriti pemimpin kita, itu terjejas," kata Muhyiddin semasa menghadiri majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEM) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.

Bagi Muhyiddin, meskipun negara mempunyai fundamental ekonomi yang kukuh dan memiliki infrastruktur terbaik dan dasar ekonomi pro-perniagaan, kestabilan politik juga penting.

Shahir - Mengapa saya meragui "FATWA" pengharaman parti baru yang disampaikan oleh Hj Hadi..??



Saya mengambil maklum bahawa Tuan Guru Hj Abd Hadi dalam satu ceramahnya telah meriwayatkan satu fatwa daripada al-Qaradhawi yg mengharamkan penubuhan parti baru, berdasarkan kepada konteks ayat, parti tersebut tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada AMANAH.

Susuk tubuh Tuan Guru cukup saya sanjung sebagai ulamak yang memimpin umat dalam politik, namun ‘fatwa’ al-Qaradhawi tersebut nampak sangat meragukan dengan manhaj yang beliau pegang dan ajar, sekurang-kurangnya dari beberapa sudut di bawah:

1) Al-Qaradhawi seorang yg cukup cermat. Beliau bukan jenis ‘ulamak kepalang tanggung’ yg suka mengharamkan sesuatu yg tidak jelas dalilnya dan ghairah melihat orang masuk ke neraka. Sikap cermat dan berhati-hati beliau dapat dilihat melalui manhaj yg ditulis dengan panjang lebar pada pendahuluan ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’. Beliau menegaskan bahawa pengharaman sesuatu perkara, benda dan urusan yang bersifat Mu’amalat (lawan bagi Ibadat) mesti punya dalil yg 'soreh' (jelas) lagi 'soheh', ada pun dalil yang tidak soreh lagi soheh, maka ia kekal dibolehkan. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m.s. 20. Al-Maktab al-Islami, 1980).

Oleh itu sangat aneh di sebalik sikap cermat yang ditunjukkan, tiba-tiba beliau menfatwakan haram menubuhkan parti baru, tanpa diketahui dalil yg soheh lagi soreh mana digunakan, dan melawan manhaj yang selama ini beliau julang.

Seorang anggota tentera dipenjara kerana telefon ada bendera IS

KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS.

Hakim Siti Mariah Ahmad memerintahkan Koperal Mohd Azidi Said, 28, dari Kolej Tentera Darat, Kem Segenting, Port Dickson, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Mariah berkata mahkamah mengambil kira tertuduh tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.

Katanya, mahkamah turut mengambil kira rayuan bahawa tertuduh telah insaf dan sedar ideologi yang diperjuangkan oleh IS adalah bertentangan dengan ideologi Islam yang sebenar.

"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman yang paling munasabah iaitu tujuh bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap," katanya yang turut memerintahkan supaya telefon bimbit tertuduh diserahkan kepada pihak polis untuk dilupuskan.

Mohd Azidi dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini pada 10.05 pagi, 19 Ogos lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Tol naik: Apa nasib bukan penerima BR1M?

JIKA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaitkan soal kenaikan kadar tol dengan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), timbul persoalan yang dibangkitkan penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman dan wajar difikirkan bersama.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mempersoalkan bagaimana nasib rakyat kelas menengah yang bukan penerima BR1M, di mana mereka terpaksa menampung kos tambahan tapi tidak mendapat sebarang bantuan.

“Beliau boleh kata begitu tapi pada masa sama kena ingat, tidak semua orang dapat duit BR1M. Kenyataan itu mungkin ada benarnya tapi apa pula nasib bagi golongan menengah dan menengah atas yang tidak mendapat BR1M ini?

“BR1M hanya satu segmen daripada masyarakat dan kita faham mungkin ada perlunya mereka ini mendapat bantuan tapi bagaimana nasib golongan yang tidak mendapat bantuan? Sudahlah tak dapat BR1M, masuk universiti tidak dapat biasiswa, tidak dapat pinjaman, PTPTN pun sedikit,” katanya kepada Sinar Online.

Terbaharu, Najib dilaporkan mempertahankan kenaikan kadar tol yang berkuat kuasa 15 Oktober lalu sebagai satu keperluan dan menyifatkan kerajaan tiada pilihan selain menaikkan kadar tol, kerana jika langkah itu tidak dilaksanakan, kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kadar pemberian BR1M.

Kes culik di Kedah makin menjadi-jadi....waspadalah semua..!

Pelajar lelaki nyaris diculik di Sg Petani

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar lelaki tingkatan satu sekolah agama di sini mendakwa nyaris diculik tiga lelaki di hadapan sekolahnya, kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata mangsa yang berusia 13 tahun memberitahu, dia ditarik dua lelaki untuk masuk ke dalam van berwarna putih yang dipandu seorang lagi suspek.

"Mangsa sempat menggigit tangan seorang suspek sebelum melarikan diri dengan terjun keluar dari van setelah mendapati pintu kenderaan itu tidak ditutup rapat.

"Mangsa yang sedar dia berada di pekan Tikam Batu terus menghubungi bapanya menggunakan telefon awam untuk meminta pertolongan dan dibawa pulang ahli keluarganya," katanya.

Md Zukir berkata sewaktu ditangkap suspek terbabit mangsa tidak diugut atau dicederakan tetapi mendakwa suspek ada memberitahu dia akan dibawa ke Thailand.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa manakala kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. - Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...