Kenyataan Media
19 Oktober 2015
Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?
Menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran samada di dalam stadium mahupun di atas jalanraya dengan tujuan dan tuntutan tertentu adalah fenomena biasa. Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan yang dianjurkan wajar memberi kelebihan dan signifikasi yang positif kepada umum khususnya rakyat marhein.
Himpunan membantah GST, himpunan bantah kenaikan harga tol dan himpunan protes harga petrol naik adalah contoh himpunan yang bertujuan meringankan beban rakyat. Manakala himpunan membantah ISA, membantah penipuan pilihanraya pula adalah contoh himpunan yang menuntut hak demokrasi. Semua himpunan yang mempunyai tujuan ini adalah demi rakyat dan wajar dibanggakan.
Baru-baru ini kita dapat saksikan satu himpunan besar yang memenuhi sebuah stadium dengan tujuan menunjuk kekuatan. Dikhabarkan ratusan bas disewa untuk membawa penyokong hadir ke lokasi himpunan. SAMM ingin bertanya apakah tujuan himpunan dianjurkan selain daripada menunjuk kekuatan? Perlukah himpunan begini dianjur ketika rakyat dan kerajaan negeri Kelantan dilihat terjerumus pelbagai permasalahan?