TERKINI :

Sunday, October 11, 2015

Shafie: Henti hina rakyat, heret pesalah 1MDB ke mahkamah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini, mengikut jejak langkah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab berkaitan kegagalan 1MDB.

Beliau berkata walaupun 1MDB sedang melalui proses rasionalisasi hutang, negara terpaksa membayar harga yang mahal melalui sentimen ekonomi yang teruk.

Menurutnya, kenyataan 1MDB bahawa aset yang dimiliki syarikat itu melebihi hutang, dan ini bukan satu kebimbangan dianggap "penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia".

Ini kerana, kata MP Semporna itu, hutang tersebut telah terkumpul kerana jaminan kerajaan dan kedudukan 1MDB selaku anak syarikat milik penuh kerajaan.

"Kegagalan 1MDB untuk membayar hutang berkenaan akan memaksa kerajaan untuk 'step in' dan menanggung hutang ini.

"Walaupun rasionalisasi hutang 1MDB sedang berjalan, ia tidak harus menidakkan hakikat bahawa aktiviti perniagaan 1MDB telah gagal sehingga memaksa ia menjual aset kerajaan yang diperolehi dengan harga murah dan berlakunya pemindahan dana berbilion ringgit yang masih belum dijelaskan hingga hari ini.

"Ketiadaan ketelusan dan tadbir urus inilah yang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan pada masa kini. Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan memohon maaf kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Muhyiddin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendengar persidangan perintah Majlis Raja-Raja bahawa siasatan 1MDB disegerakan dan pihak yang bertanggungjawab, jika ada, dihukum.

Muhyiddin dan Shafie disingkirkan daripada kabinet sewaktu rombakan kabinet pada Julai tetapi masih memegang jawatan mereka dalam Umno.

Gerakan veteran Umno bakal cetus gelombang

Oleh Mohd Azhar Abd Rahman


Satu demi satu personaliti Umno yang menyinar karier politik mereka satu masa dahlu bangkit bersuara lanjutan daripada serangan bertubi-tubi Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak terutamanya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma 2.6 bilion.

Nama-nama yang pada anggapan ramai sudah boleh disemadikan dalam “Muzium Umno” tidak semena-mena muncul membawa keris masing-masing menghunus ke arah Najib atas kelemahan beliau menguruskan hal ehwal pentadbiran dalam negara.

Bermula dengan Dr Mahathir, rakan sekutunya, Tan Sri Sanusi Junid turut menyatakan desakan sama meminta Najib berundur.

Sebelum itu, Tan Sri Zainudin Maidin turut membuat desakan yang sama apabila melihat Najib seakan-akan tidak menghiraukan gesaan bekas perdana menteri Dr Mahathir.

Tan Sri Rafidah Aziz, yang satu ketika dahulu turut pernah dikritik Dr Mahathir juga bersuara mengkritik cara Najib menguruskan ekonomi negara yang kian tenat.

Tidak ketinggalan, Tun Daim Zainudin apabila beliau menyatakan keraguannya terhadap sokongan Umno kepada Najib pada ketika ini.

Kepercayaan rakyat musnah akibat BN yang mungkir janji

Oleh Alyaa Alhadjri

http://bm.theantdaily.com/Documents/Article/34640/BN-govts-broken-promises_BAHASA_785x442.jpg
Jelas bahawa rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada pentadbiran, apabila begitu banyak janji yang dimungkiri kerajaan Barisan Nasional.

Tempat teratas dalam senarai ini tentunya janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memulakan reformasi sivil dan ikrarnya bahawa undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan 1948 tidak akan disalahguna.

Tangkapan terhadap bekas ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Bakar di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) juga mencetuskan kebimbangan sejumlah 38 pertubuhan masyarakat sivil, yang undang-undang itu telah disalahgunakan untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Sosma pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan sebagai langkah anti-keganasan dan keselamatan negara, dan ia membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari. Tiada tuduhan atau bukti yang menunjukkan Khairuddin memiliki latar belakang keganasan.

“Sebaliknya Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata dengan jelas bahawa Khairuddin ditahan kerana membuat laporan di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom berhubung skandal kewangan melibatkan 1MDB,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Siapa pilihan PKR, Pakatan Harapan atau PAS?

Oleh Amin Iskandar

https://i2.wp.com/www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/10/parti-pembangkang1.jpg
PKR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini disebabkan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang mahu penubuhan Pakatan Harapan dibincangkan semula.

Dua puluh lima ahli MPP ini tidak berpuas hati mengapa presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail “tergesa-gesa” mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini sedangkan sepatutnya ianya hanyalah perbincangan awal.


Kumpulan 25 pemimpin PKR ini juga mahu PAS dilibatkan dalam Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sebelum ini melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan tidak akan bersama gabungan baharu itu kerana adanya DAP dan “pengkhianat” Parti Amanah Negara (Amanah).

Selain itu, kumpulan 25 pemimpin ini mahukan mesyuarat MPP hari ini meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, sekurang-kurangnya 7 daripada 25 pemimpin ini sudah menghubungi Dr Wan Azizah bagi memohon maaf di atas tindakan mereka menandatangani petisyen yang dilihat sebagai “undi tidak percaya” kepada presiden PKR itu.

Zahid patut halau penyebab air keruh dahulu sebelum salahkan penangguknya

Shahbudin Husin,


Dari kejauhan nun di Amerika Syarikat, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi melontarkan teguran kepada pemimpin-pemimpin BN kerana menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan keraguan terhadap agensi-agensi penguatkuasa susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja berkaitan kemelut 1MDB.

Katanya, sebarang kenyataan berunsur provokasi tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan lebih awal.

Ketulusan saranan daripada Majlis Raja-Raja tidak seharusnya ditangguk di air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan untuk menyelamatkan parti dan kerajaan, katanya.

Walaupun mungkin kenyataan Zahid itu ditujukan kepada beberapa pemimpin yang lain, namun jelas sasarannya paling mungkin ialah kepada Muhyiddin Yassin kerana reaksinya terhadap kenyataan Majlis Raja-Raja yang turut mengaitkan tentang pendakwaan, tangan ghaib, 1MDB tidak kebal dan sebagainya.

Jika aduan kepada RAJA-RAJA pun buntu...Hanya kepada Allah kita mampu berserah...!!

KEPADA SIAPA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU JIKALAU BUKAN KEPADA RAJA


Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia dapat ‘bernafas’ lega mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Ahmad yang mengatakan bahawa Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan dengan IMDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Dan baginda menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Sebagaimana yang dipetik oleh Bernama, kenyataan itu mengatakan, ‘ penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran….Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan” Malaysiakini 6 Oktober 2015

Rakyat Malaysia sudah agak lama juga ‘sesak nafas’ mengenangkan nasib yang menimpa rakyat Malaysia berkaitan dengan masalah IMDB dan wang sejumlah RM 2.6 billion ringgit yang terdapat dalam akaun peribadi DS Najib Tun Abdul Razak. Walaupun jawapan telah diberikan bagi menjawab soalan-soalan yang berkaitan, namun jawapan yang diberikan semacam tidak dapat meyakinkan rakyat di negara ini.

Zam: Zahid nafi desakan rakyat

FMT Reporters | October 11, 2015

TPM cuba menyalahkan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana menimbulkan provokasi sehingga orang ramai meragui kewibawaan badan dan agensi kerajaan

zam-zaid

PETALING JAYA: Tindakan tidak berbudaya, tidak profesional dan terlalu berpolitik telah menghakis integriti Jabatan Pegaum Negara, Polis Diraja Malaysia, SPRM, Bank Negara dan agensi kerajaan yang lain.

Dalam tulisannya Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Sri Zainuddin membalas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba menyalahkan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana menimbulkan provokasi sehingga orang ramai meragui kewibawaan agensi berkenaan.

Jelasnya, teguran yang dibuat dari dalam perlu dilihat dalam konteks positif kerana ia dibuat kerana simpati dan sayangkan parti.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid seolah-olah menafikan apa yang ditimbulkan rakyat, ahli UMNO wa ima Majlis Raja-Raja sendiri.

Selamat Tinggal Husam...semoga anda selamat di sana..!!!

Oleh ramziredang


"Saya adalah orang yang terawal menulis memberi amaran tentang adanya gerakan menjatuhkan husam dan menulis amaran tentang PAS bakal menuju kehancuran, iaitu sejak tahun 2009. Saya penah menerima email dari orang kuat PAS, menuduh saya talibarut UMNO kerana menulis tentang kehancuran PAS, tetapi setahun kemudian orang yang sama menghantar email memohon maaf tersalah tuduh dan mengesahkan ternyata apa yang saya tuliskan adalah benar. Kemudian dari sehari ke sehari, sisi buruk dan jijik sesetengah pemimpin PAS mula nampak nyata dan makin membarah.

Sebenarnya hati rasa sayu dan rasa seperti tertinggal sesuatu, bila terbaca kenyataan Husam, bahawa dia sebolehnya akan kekal di dalam PAS sehingga mati. Saya percaya tentu ramai penulis penulis lain yang berperasaan sama seperti saya.

Saban hari kami menulis tanpa menerima apa apa upah. Menulis dengan niat ingin membetulkan sesuatu yang pincang, mengikut cara kami dan semampu kekuatan yang kami ada. Ketika PAS masih berada di landasannya (mengikut tafsiran kami), kami cuba berjuang dengan cara kami tanpa ada penghargaan dari sesiapapun, membantu PAS mengembangkan sayap ke serata malaysia. Malah tanpa ada sesiapa mengenali siapakah kami sebenarnya.

Baru 5 hari menteri berkata memerlukan kelulusan parlimen untuk setuju TPPA, datang hari ini lain pula cakapnya..!!

Tidak perlu kelulusan Parlimen untuk tandatangan TPPA, kata menteri
Putrajaya sebenarnya tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang melibatkan 12 negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Oktober, 2015.
Putrajaya sebenarnya tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang melibatkan 12 negara, lapor Mingguan Malaysia hari ini, memetik Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam satu wawancara khas, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dilaporkan berkata, keputusan membawakan TPPA ke Parlimen bagi pengundian majoriti diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia kerana isu tersebut dilihat mencetuskan kontroversi dan mendapat perhatian ramai, kata akhbar milik Umno itu.

Malah menteri yang mesra dengan panggilan Tok Pa itu berkata, tidak ada istilah "pindaan" tertentu yang boleh dilakukan terhadap kandungan TPPA itu.

"Secara keseluruhan, sama ada mahu atau tidak. Kita buat pertimbangan. Misalnya, tekstil dan kelapa sawit dapat masuk pasaran. Kita undi mahu atau tidak saja. Kalau tolak, maka tolak semua.

Mat Sabu: Amanah sedia tanding 3 penjuru lawan PAS jika pintu rundingan dah tertutup

Parti Amanah Negara sedia bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, kata presidennya Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Oktober, 2015.
Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, kata presidennya Mohamad Sabu.

Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.

"Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya kepada The Malaysian Insider pada satu majlis di Skudai, Johor baru-baru ini.

Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya.

"Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

Susulan pembentukan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.

Selepas sokong himpunan ‘baju merah’, Najib kata BN tentang ekstremisme kaum


Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 11 Oktober, 2015.
Barisan Nasional (BN) menentang segala bentuk ekstremisme kaum, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini, walaupun parti itu baru-baru ini memberi sokongan tersirat kepada perhimpunan baju merah 16 September yang dicemari ucapan berapi-api dan kain rentang yang provokatif terhadap komuniti Cina.

Pengerusi BN itu juga mengutuk kedua-dua penunjuk perasaan baju merah dan peserta perhimpunan Bersih 4 yang diadakan dalam selang masa 3 minggu, mengatakan walaupun Putrajaya membenarkan rakyat berhimpun secara aman, penganjur perlu menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang menjejaskan sensitiviti kaum.

"Kita mesti menolak sebarang bentuk ekstremisme, sama ada keganasan, seperti yang kita lihat di Timur Tengah atau pelampau kaum.

"Apa yang kita perlu tekankan ialah jika anda mahu menganjurkan perhimpunan, lakukannya secara aman. Kita benarkan perhimpunan aman," kata perdana menteri yang juga presiden Umno itu.

"Jangan bawa sepanduk yang diwarnai sentimen perkauman, jangan buat kenyataan yang bersifat menghasut. Jangan menyakiti perasaan orang lain. Dan, tentu sekali, jangan menghina pemimpin negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Kuala Lumpur hari ini.

Dr M enggan buat laporan polis terhadap Najib sebab..............


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bercadang membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tak pernah membuat laporan polis ke atas sesiapa," katanya apabila ditanya sama ada beliau yang juga perdana menteri selama 22 tahun itu bercadang merujuk kepada polis seperti yang pernah dilakukan sesetegah individu.

Ditanya lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, dia tidak mempunyai cukup bukti bagi mengemukakan aduan berkenaan.

"Saya tahu duit sudah hilang tetapi saya tak tahu duit itu ada di mana," katanya selepas menerima Anugerah Presiden daripada Pertubuhan Akitek Malaysia malam ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menyatakan wang apakah yang dimaksudkannya itu, sama ada merujuk kepada dana 1MDB atau sumbangan bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Sebelum itu Dr Mahathir ditanya mengenai kaedah yang boleh diambil bagi menyingkirkan Najib daripada jawatan perdana menteri.

Pakatan 4 dalam 1 untuk apa: menang kuasa atau tadbir negara?

Dr Wong Chin Huat


Kalau Pakatan 2.0 dibentuk tanpa persefahaman dalam dasar dan isu besar, meskipun mampu menang dan berkuasa, sangat dikhuatiri cita-cita mentadbir negara akan gagal. Kerjasama antara parti politik boleh mengambil bentuk pakatan (huruf kecil "p") untuk mencapai keputusan pilihan raya yang lebih baik (electoral pact) ataupun gabungan untuk mentadbir negara/negeri (governing coalition). 'Pakatan pilihan raya' "Pakatan pilihan raya" pula boleh mengambil dua bentuk, yang secara terbuka (overt) dengan tujuan untuk berkongsi undi sokongan, dan yang secara tersembunyi (covert) bertujuan memecahbelahkan sokongan parti lawan. Ramai orang salah tersilap kaedah atau mekanisme atau susunan, satu-lawan-satu adalah satu-satunya bentuk pakatan pilihan raya. Kalau tak jadi satu-lawan-satu, maka parti-parti pembangkang dikatakan berpecah dan bakal dihukum oleh pengundi.

Pandangan ini nyata jahil dengan sejarah pilihan raya pada 1980-an, di mana PAS dan DAP banyak bersaing di kawasan yang lama. (atau sama?) Ini bukan kerana pemimpin PAS dan DAP tidak ingin berpakat. Sebaliknya, sekalipun Barisan Nasional (BN) percaya, persaingan 3 penjuru adalah pakatan pilihan mereka. 

Apabila PAS masuk ke medan perang DAP dan MCA/Gerakan/MIC yang mempunyai minoriti Melayu, maka PAS tarik undi Melayu daripada MCA/Gerakan/MIC dan meningkatkan peluang kemenangan DAP. Sebaliknya, apabila DAP masuk ke medan perang PAS dan Umno yang mempunyai minoriti bukan Melayu, maka DAP tarik undi bukan Melayu daripada Umno dan meningkatkan peluang kemenangan PAS. 

Pas kena baiki diri, disiplin kalau nak kuat (Siri 2)

Husam Musa
Sambungan jawapan kepada soalan: Jadi, sesetengah yang curiga terhadap Datuk, ada bersikap sinis dan negatif terhadap Datuk. Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?

INI saya bukan kata kepada kawan-kawan, boleh dilihat semasa menjadi pengerusi lebuh raya,  pihak Korea menjemput saya melawat ke sana, saya tidak melawat mana-mana tempat atas kapasiti saya sebagai pengerusi lebuh raya.

Saya menjadi pengerusi untuk pembinaan stadium baharu, saya tidak melawat mana-mana, saya serah kepada arkitek untuk sediakan reka bentuk. Selepas saya tidak ada, ‘orang ni’ melawat seluruh Eropah, Itali, Sepanyol untuk melihat stadium, berapa habis belanja.

Saya fokus untuk membuat stadium, tetapi orang lain melawat sana sini, kenyataan untuk buat stadium sudah senyap. Mungkin buat tetapi tidak nampak kesungguhan. Jadi saya tidak tahu adakah kami  berbeza dari segi cara kerja,  cara kerja yang  diminta oleh Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ialah semua Exco kena bekerja penuh dedikasi, amanah dan melakukan sesuatu yang lebih baik daripada musuh kita.

Itu falsafah yang saya dapat daripada Tok Guru Nik Aziz.  Saya tidak kata kawan saya yang lain tidak menghayati falsafah sama.  Tetapi sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, tidak nampak pula pertembungan dengan saya, di luar mungkin berlaku, saya juga tidak tahu apa sebab.

Husam - 'Saya rela hilang segalanya' (Siri 1)

http://images.says.com/uploads/story_source/source_image/346016/9bb2.jpg
DATUK Husam Musa, nama yang tidak asing dalam dunia politik. Beberapa kali pernah diangkat sebagai pimpinan tertinggi Pas. Pada pemilihan Muktamar Pas baru baru ini, beliau dicalonkan jawatan presiden, namun membuat keputusan mempertahankan jawatan naib presiden.

Bagaimanapun selepas tewas pada pemilihan itu, beliau dikatakan banyak berdiam diri, ditambah dengan kesihatan tidak mengizinkan, bekas anak didik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dikatakan mengasingkan diri daripada dunia politik seketika. Namun, selepas beberapa bulan, beliau muncul membuat teguran terbuka khususnya terhadap pentadbiran kerajaan Kelantan.

Sikap beliau yang dikatakan positif terhadap penubuhan parti Amanah menyebabkan ahli mula sangsi dengan pendiriannya termasuk ada mendakwa beliau berkomplot mahu menjatuhkan kerajaan negeri. Melalui temu bual oleh wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan Rosmiza Kasim, Husam menjelaskan pendiriannya terhadap isu dibangkitkan, selain mengakhiri spekulasi berhubung statusnya dalam Pas.

Bergambar | Boleh percayakah laporan mengatakan MH370 dijumpai di selatan Filipina?




Apa lagi yang PKR harapkan daripada PAS?

Faiz Fadzil

http://media.therakyatpost.com/wp-content/uploads/2015/08/PASPKR-flag.jpg
Pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015 antara parti pembangkang Amanah, PKR dan DAP adalah satu rahmat kepada rakyat Malaysia.

Agenda Barisan Nasional untuk melenyapkan permuafakatan pembangkang ternyata gagal walaupun Pakatan Rakyat terkubur setelah PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Sejarah menunjukkan BN boleh dijatuhkan dengan gabungan parti-parti pembangkang.

Sejarah juga menunjukkan parti-parti pembangkang kalah teruk dalam pilihan raya setelah gabungan berpecah. Inilah senjata yang paling digeruni BN. PAS secara 'sub-conscious' sanggup membiarkan dirinya dijadikan ejen kepada agenda BN untuk memecahkan PR.

PKR seharusnya terus istiqamah mengukuhkan PH dan bukannya terus mendambakan kerjasama dengan PAS. PAS sekarang yang bersifat takfiri seolah-olah mereka sahaja yang benar, sudah pasti tidak akan menganggap mana-mana pihak sebagai rakan. Bagi mereka, siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka, adalah musuh walaupun hakikatnya, kezaliman adalah musuh utama. Sedangkan, Allah mencegah kita daripada cenderung kepada kezaliman (surah Hud:113).

Namun, PAS sekarang bukan sahaja gagal melihat kezaliman sebagai musuh, bahkan sanggup membela kezaliman atas alasan demokrasi. Dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan ekonomi akibat GST dan kenaikan kos sara hidup serta amalan rasuah dan salahguna kuasa pemimpin kerajaan terutama perdana menteri, PAS tidak menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri. Tindakan ini seharusnya dijadikan kayu pengukur, PAS mempunyai agenda perjuangan yang berbeza dengan rakyat dan PH. Malahan, agenda perjuangan PAS juga sekarang kabur umpama jerebu.

Antara PAS di Kelantan dengan DAP di Pulau Pinang

DR AZMAN IBRAHIM

 

KERAJAAN PAS Kelantan usia 25 tahun, Kerajaan DAP Pulau Pinang belum sampai 2 penggal. Pulau Pinang mungkin punya wang, tetapi Kelantan kaya dengan pengalaman memerintah. Antara senjata wang dengan modal pengalaman, dua-dua ada kelebihan. Tapi pengalaman tak dapat dibeli dengan wang.

Mengekalkan sebuah kerajaan yang dianaktirikan dari segenap aspek selama 6 penggal berturut-turut adalah satu rekod dalam sejarah perjuangan gerakan Islam di dunia.

DAP ditentukan mentadbir sebuah negeri kaya. Maka mereka ada wang dan kuasa. Wang dan kuasa bukanlah lesen untuk memperlekehkan kerajaan PAS Kelantan yang mungkin dilihat tak berduit dan kurang bergaya. Walau DAP mempunyai juak-juak di Kelantan yang setiap hari bekerja untuk memperlekehkan parti dan kerajaan sendiri. Hakikatnya juak-juak mereka semakin dilupakan orang.

Usia 8 tahun berbanding 25 tahun terlalu jauh beza. Kalau di sekolah, yang berumur 25 tahun adalah guru sementara yang 8 tahun adalah murid. Belajarlah dari guru walau kita rasa kita lebih hebat.

Saya menulis teguran ini lantaran rasa simpati kepada segelintir pimpinan DAP seperti Tony Pua dan Lim Guan Eng yang berterusan menghina Kelantan.

SUNGAI PETANI - AIMST rancang bina hospital sendiri

Samy Vellu
SUNGAI PETANI - Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) merancang membina sebuah hospital bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan termasuk perkhidmatan pergigian kepada masyarakat dari kawasan berhampiran.

Canselornya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, keputusan membina sebuah hospital milik AIMST dibuat kerana universiti berkenaan mempunyai kelebihan dari segi kepakaran dalam bidang perubatan dan perkhidmatan pergigian.

"Kita ada tanah dan sekarang ini sedang merangka pelan pembinaannya selain membuat beberapa kaji selidik. Cadangan awal, hospital ini akan mempunyai bangunan empat tingkat dan berupaya memuatkan sebanyak 200 katil," katanya.

Bekas presiden MIC itu berkata demikian pada sidang media selepas majlis Konvokesyen AIMST Kali Kelapan di kampus utama di Bedong, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 23,828 pesakit menerima rawatan pergigian percuma daripada 50 pakar pergigian di klinik pergigian yang diwujudkan di universiti berkenaan.

Maki penguatkuasa: Dua lelaki direman tiga hari

Maki pihak berkuasa gara-gara kereta kena kunci
GEORGETOWN - Dua lelaki yang didakwa bertindak biadap memaki dan mencampak duit kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas tayar kereta mereka dikunci direman selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatarash Wahid berkata polis akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan selepas menjalankan siasatan ke atas dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun yang ditahan semalam.

"Rakaman video itu dibuat oleh seorang daripada penguatkuasa berkenaan dan setakat ini polis telah merekodkan keterangan tiga penguatkuasa MBPP yang terlibat dalam insiden berkenaan

"Selain itu, kami juga akan panggil beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya dapat melengkapkan kertas siasatan kes itu dalam tempoh terdekat dan seterusnya menyerahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk arahan selanjutnya.

Mior Faridaltrash berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan dan denda RM1,000.

'Rabies': Kedah tunggu nasihat Jabatan Veterinar - MB

SINTOK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, keputusan untuk memansuhkan Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing di negeri ini hanya akan dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Keputusan itu adalah penting katanya, justeru apa jua tindakan pembatalan perlu mendapat nasihat daripada JPV dan tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak berkaitan.

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang memansuhkan Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang berkuatkuasa 15 September, selepas tiada kes gigitan anjing gila atau 'rabies' sejak bulan lepas.
  
Mukhriz berkata, setakat ini, pewartaan wabak anjing gila di Kedah masih berkuatkuasa.

Semalam, Jabatan Kesihatan Kedah mencatat 70 kejadian gigitan anjing sehingga 7 Oktober lepas dengan dua daripadanya melibatkan anjing gila, tetapi tiada kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kejadian itu membabitkan 70 anjing dengan tujuh kes berlaku di Kota Setar, Kuala Muda (21), Kulim (18), Kubang Pasu (10), Bandar Baharu (empat), Langkawi (empat), Baling (tiga), Yan (satu), Pendang (satu) dan Padang Terap (satu). - Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...