TERKINI :

Friday, October 2, 2015

KM P Pinang nafi tweet 'keluar negeri' berkaitan pembesar suara

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafi menghantar tweet menggesa mereka yang tidak bersetuju dengan larangan pembesar suara di masjid, kecuali untuk azan, keluar dari negeri itu.

Lim berkata satu laporan polis akan dibuat terhadap tweet palsu itu hari ini, untuk meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia cepat bertindak terhadap perkara itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Lim berharap orang ramai tidak akan mempercayai pembohongan itu.

Lim berkata, tweet itu dihantar oleh pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan negeri dan mengalih perhatian rakyat dari banyak dakwaan skandal kewangan yang melanda negara ini.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu ataupun campur tangan dalam hal ehwal Islam di negeri itu.

Tambahnya, keputusan untuk membenarkan pembesar suara di masjid hanya untuk azan dibuat oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata perbuatan untuk mengaitkan dirinya dengan perkara seperti ini adalah berniat jahat dan fitnah.

Beliau berkata Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana masyarakat, walaupun mereka yang menyokong Umno atau parti komponen BN yang lain.

Peruntukan negeri disalurkan kepada semua penduduk Pulau Pinang, tanpa mengira fahaman politik.

IGP: Kertas siasatan terhadap bekas KM Melaka selesai

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyelesaikan kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mendakwa kononnya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah telah menukar agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Kita tahu dia (Rahim) ada beberapa kali memohon maaf kerana kenyataannya tetapi itu terpulang kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk menyiasatnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng, yang meninggal dunia semalam, di Pusat Xiao En, Jalan Kuari, Cheras, hari ini

Khalid berkata polis menerima beberapa laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beberapa laporan media sebelum ini melaporkan Abdul Rahim telah memuat naik status di laman sosial miliknya mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah murtad.

Pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah telah menukar agama.

- Bernama

Nik Abduh setuju larangan pembesar suara

KUALA LUMPUR - Tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang hanya membenarkan penggunaan pembesar suara untuk azan dan iqamah disokong Pemuda Pas berdasarkan sunnah Rasullullah.

Ketuanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, berdasarkan ajaran Islam, adalah tidak wajar mengganggu orang bukan Islam.

"Betul lah. Islam tidak mengganggu masyarakat lain," katanya.

Menurutnya, Pas telah membuat pendirian itu sejak dahulu lagi.

"Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan pendirian itu dan ianya tidak akan berubah," katanya.

Beliau berkata, perkara ini timbul apabila masyarakat bukan Islam menjadi majoriti negeri itu.

"Dari sudut siasah syariah, tindakan melarang masjid daripada membuat perkara yang mengganggu orang lain adalah betul," katanya.

Pakatan Harapan perlukan idea baharu tarik pengundi


Pakatan Harapan perlukan idea baharu tarik pengundi

ULASAN: Parti Rakyat Malaysia(PRM) yakin bahawa lebih ramai rakyat Malaysia menolak BN yang dipimpin Umno, maka parti politik pembangkang harus bersatu untuk menentang parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Setiap parti politik mempunyai pendirian dan ideologi berlainan mengenai beberapa isu yang menjejaskan negara, tetapi PRM percaya bahawa semua parti politik pasti sanggup berkerjasama dengan niat sama untuk mengalahkan BN.

Tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan BN dahulu ada melakukan perkara yang baik, tetapi kini parti itu tidak sunyi dari tuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah, sikap boros dan pelaksanaan polisi dan dasar yang tidak mengutamakan rakyat.

Parti itu sebaliknya dilihat hanya menjaga kepentingan beberapa orang dan perniagaan korporat dan kroni.

Justeru, demi kepentingan rakyat dan negara, zaman pemerintahan BN harus diakhiri secepat mungkin dan digantikan dengan kerajaan alternatif yang benar – bukan sekadar penukaran orang dan parti yang memerintah.

Inisiatif Pakatan Rakyat melibatkan PAS, DAP dan PKR yang dimulakan pada 2008 kini nampaknya sudah berakhir.

Kenapa ahli Pas tegar berpaling tadah..??

Keyakinan dan kepercayaan ahli-ahli Pas kepada pemimpin yang beralih kepada parti baru, Parti Amanah Negara sangat mengejutkan pemerhati politik luar dan dalam Pas itu sendiri.

Fenomena ini berlaku sangat pantas sekali dan ianya sangat membingungkan ulamak dalam Pas.

Tohmahan ataupun gelaran yang diberikan dilabelkan oleh sesetengah pimpinan Pas kepada ahli Pas yang ingin menyertai parti baru juga di anggap sangat tidak beretika dan hilang moral diri mereka.

Walau apa pun cara ulama Pas menakut-nakutkan ahli dan pemimpin, termasuk cerai talak tiga, namun penghijrahan ke parti baru tidak dapat dikawal.

Mungkinkah Pas akan jadi parti kecil semula seperti tahun 1980an lalu?

Amanah dapat kebenaran RoS guna nama baharu

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mendapat kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menggunakan namanya, menggantikan nama Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dikenali sebelum ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu yakin RoS juga akan memberikan lampu hijau untuk beberapa perubahan lain yang dipohon, termasuk perlembagaannya.

Pada masa ini, RoS memberikan kebenaran untuk perubahan nama dan alamat, selain jawatan pengerusi parti kepada presiden.

Amanah, parti baharu yang dibentuk daripada serpihan parti Islam pembangkang PAS sebelum ini cuba membentuk parti baharu dikenali sebagai parti Progresif Islam tetapi ia ditolak RoS. Ia kemudian mengambil alih dan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang tidak aktif.

Mohamad hari ini menepis cakap-cakap yang menyatakan Amanah sedang berusaha keras memikat orang Melayu menyertai parti itu.

Katanya, parti itu kini mempunyai 30,000 ahli ketika ia dilancarkan secara rasmi pada bulan lalu, dan jumlah itu dijangka mencecah 10,000 menjelang Disember.

“Pada masa ini, kebanyakan ahli kita dari Kelantan,” katanya pada sidang media di George Town, hari ini, merujuk kepada negeri pantai timur yang dikawal PAS.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Amanah akan mengadakan siri jelajah pertamanya di Johor pada 9 Oktober, yang akan turut dihadiri veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Amanah menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang baharu Pakatan Harapan, yang ditubuhkan baru-baru ini selepas Pakatan Rakyat terkubur Jun lalu akibat pertentangan tidak berkesudahan antara PAS dan DAP. – 2 Oktober, 2015.

Saifudin bidas Najib, Hadi: ‘Melayu agenda lama’

Saifudin bidas Najib, Hadi: 'Melayu agenda lama'
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata rakyat Malaysia sudah bersedia untuk berubah ke arah pemikiran politik yang lebih matang, inklusif dan tidak berteraskan ras atau bangsa semata.

Menurutnya, hanya golongan pemimpin atasan dan sebahagian besar pemimpin peringkat pertengahan yang masih berfikiran bahawa rakyat tidak sedia melihat keadaan sedemikian

“Sudah sampai masanya perubahan pemikiran politik. (Sekarang) boleh berubah parti politik kerajaan tapi pemikiran boleh atau tidak berubah.

“Saya fikir rakyat Malaysia sudah banyak yang sedia untuk berubah tapi yang tidak sedia ini di atas atau yang di tengah,” katanya dalam forum Mempertahankan Maruah Melayu di Dewan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Saifuddin berkata politik di Malaysia perlu menginjak dari politik “tawar-menawar” seperti yang diamalkan oleh gabungan parti-parti politik seperti BN sekarang yang menjaga bangsa masing-masing.

“Kita perlu mengujarkan gabungan pemikiran baru. Sudah tiba masanya kita meneliti apakah betul model ‘tawar-menawar’ ini berani ditolak.

Larangan pembesar suara: Bukan Islam juga perlu elak gangguan suara

FMT Reporters | October 2, 2015

Fatwa Mufti Pulau Pinang yang melarang pembesar suara selain untuk azan di masjid dan surau perlu dicontohi oleh penganut agama lain sebagai tanda saling menghormati.

wan-ji

PETALING JAYA: Cadangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berhubung larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, kecuali untuk azan dan iqamah, perlu dicontohi masyarakat bukan Islam.

Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin berkata, larangan itu perlu dijadikan panduan kepada bukan Islam untuk tidak melakukan gangguan suara sebagai tanda saling menghormati.

“Orang bukan Islam juga perlu untuk tidak melakukan gangguan suara kecuali dalam perkara yang sememangnya wujud dalam agama atau budaya mereka.

“Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama, yang sudah pasti budaya saling hormat menghormati perlu disuburkan

“Justeru, atas semangat dan roh maqasid syariah, sudah pasti fatwa Mufti Pulau Pinang yang melarang menggunakan pembesar suara di luar masjid selain azan dan iqamah adalah wajar dan perlu disokong dan didokong,” katanya menerusi kenyataan media.

Ke mana hilang bijaksana, keikhlasan Hadi?

ULASAN Apabila mendengar mukadimah ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam rakaman video Mukhayyam Tarbawi PAS Kawasan Machang pada 3 September di Rusila, saya sebenarnya merasa lega.

Terdetik dalam hati saya bahawa kebijaksanaan dan keikhlasan mungkin sudah kembali kepada pimpinan bekas parti saya yang telah saya sertai sekian lama.

Malangnya kenyataan di penghujung video itu tidak sebijak atau seikhlas permulaannya.

Malang sekali apabila kebijaksanaan dan keikhlasan yang diceduk dari kisah para sahabat hanya diceritakan tetapi tidak dicontohi.

Apabila beliau berhadapan dengan suasana yang sama – walaupun jauh tidak mencabar – tidak pula dimanfaatkan kebijaksanaan yang diceritakan. Sepatutnya kebijaksanaan dan keikhlasan yang ditunjukkan Saidina Ali dijadikan pedoman dan panduan, bukan sekadar untuk diceritakan.

Akta 355: PAS bawa usul persendirian kali ke-3

KOTA BHARU: PAS tetap akan membawa usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) di parlimen biar pun sudah dua kali gagal dibentang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS tetap meneruskan komitmen membawa usul berkenaan sekali lagi pada persidangan parlimen bermula 19 Oktober ini.

Katanya, PAS sentiasa bersedia membentangkan usul berkenaan walau pun tertangguh pada persidangan parlimen sebelum ini.

“PAS bersedia bawa sekali lagi semasa sidang parlimen Oktober ini.

“Kita juga akan tengok implikasi undang-undang dibimbangi ada subjudis memandangkan ada pihak mengemukakan saman berhubung pembentangan usul berkenaan,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini empat individu mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkaitan usul persendirian bagi meminda Akta 355.

Cukup-cukuplah Pas, tumpu perkara lebih penting

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah
KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu meminta Pas menumpukan perhatian kepada perkara lebih mustahak dalam usaha menyelamatkan negara berbanding memberi pelbagai gelaran kepada ahli-ahli Amanah.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menekankan, Pas sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara lebih penting termasuk kesediaan menyertai PR 2.0 sekiranya benar-benar ingin mengembalikan maruah negara serta menumbangkan kerajaan sedia ada.

Tegasnya, beliau tidak kisah dirinya serta rakan-rakan lain dianggap sebagai pengkhianat oleh pemimpin Pas kerana bertindak keluar parti dan menyertai Amanah serta menganggap ia perkara kecil.

"Ini (isu pengkhianat) masalah remeh...kita ada isu negara yang lagi besar. Pembangkang, termasuk Pas, PKR, DAP dan Amanah perlu bergabung untuk menyelamatkan negara. Kita perlu hadapi cabaran besar, jadi letaklah ke tepi segala perbezaan untuk sementara.

Rabies: Veterinar Kedah lupus 1,626 anjing

Jabatan Veterinar Kedah mencatatkan 42 kes gigitan anjing terhadap manusia tetapi tiada kes jangkitan rabies kepada manusia dilaporkan setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Oktober, 2015.
Bagi membendung penularan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies di Kedah, Jabatan Veterinar negeri melupuskan sebanyak 1,626 ekor anjing liar di negeri ini setakat ini.

Selain itu, jabatan berkenaan turut memberi vaksin kepada 2,010 ekor anjing di seluruh negeri ini, kata Pengarahnya Dr Kamaliah Ghazali.

"Sehingga kini, sebanyak 18 ekor anjing dikesan positif rabies dengan 17 daripadanya adalah anjing liar manakala seekor adalah anjing peliharaan. Kesemua anjing ini dilupuskan," katanya hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mencatatkan 42 kes gigitan anjing terhadap manusia di Kedah setakat ini tetapi tiada kes jangkitan rabies kepada manusia dilaporkan setakat ini.

Langkah berkenaan diambil susulan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengisytiharkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sebagai negeri dilanda penularan penyakit anjing gila baru-baru ini.

Mengenai kawalan penularan penyakit itu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Dr Kamaliah berkata Jabatan Veterinar Kedah menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain di sempadan negara.

Anak Kedah ke Forum Belia Unesco

Anak Kedah ke Forum Belia Unesco
ALOR SETAR - Seorang anak Kedah mencipta kejutan apabila terpilih mewakili Malaysia ke Forum Belia Unesco (Unesco Youth Forum) ke-9 di Paris, Perancis dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Tharishini Chandra Segaran, 17, dari Anak Bukit, di sini, tidak menyangka tindakannya hanya cuba-cuba memohon menyertai forum itu melalui Facebook akhirnya menjadi kenyataan.

“Mulanya saya menghantar permohonan melalui Facebook Unesco dengan menyatakan pengalaman yang saya miliki sewaktu di sekolah.

“Beberapa hari kemudian saya dimaklumkan terpilih untuk menyertai forum itu dan diminta mendaftar diri pada 25 Oktober ini,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan dua isu dalam negara iaitu pendidikan dan kesihatan.

“Kadar buta huruf di Malaysia adalah terlalu rendah, namun ia tidak boleh dipandang ringan dan perlu fikir bagaimana nak atasi kelemahan itu,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...