TERKINI :

Wednesday, September 30, 2015

Apa kesudahan siasatan 1MDB & RM2.6 Bilion?

1. Saya percaya ramai yang tidak tahu sejauh mana siasatan terhadap skandal 1MDB dan RM2.6 bilion ini sedang berjalan.

2. Saya percaya ramai yang tidak tahu apa yang Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang lakukan sekarang dengan kedua-dua skandal ini setelah beliau dilantik menjadi Peguam Negara.

3. Saya juga percaya ramai yang tidak tahu sejauh mana siasatan pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Negara terhadap kedua-dua skandal ini.

4. Saya dan rakyat Malaysia juga sudah lama tidak mendengar hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap RM2.6 bilion dan SRC International.

5. Yang saya dan ramai rakyat Malaysia tahu, mereka yang serius mengkritik skandal ini pula yang diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan yang terbaru adalah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan di bawah SOSMA atas dakwaan cuba mensabotaj negara.

6. Beginikah tahap kecekapan badan-badan besar yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat skandal 1MDB dan RM2.6 bilion?

7. Apa yang menyebabkan badan-badan ini mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat skandal ini?

8. Mengapa terlalu sukar untuk badan-badan ini untuk menemui bukti-bukti penyelewangan dan salah laku yang berlaku di dalam kedua-dua skandal ini?

9. Selama ini ramai yang memuji dan menyatakan bahawa PDRM dan SPRM adalah badan penyiasat yang cekap dan tangkas dalam menangani kes-kes rasuah dan jenayah. Tetapi apabila melibatkan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion, ramai menjadi was-was dan ragu-ragu serta bernyata mengapa kedua-dua badan ini kelihatan tidak bermaya dan lembap?

10. Mengapa siasatan terhadap kedua-dua skandal ini dilihat seperti cuba dilengah-lengahkan?

11. Mengapa penyelewengan yang berlaku di dalam skandal ini perlu disembunyikan sedangkan umum mengetahui wujudnya penyelewengan dalam skandal tersebut.

12. Apa yang telah badan-badan ini lakukan terhadap Dato' Sri Najib dan suspek yang terlibat di dalam skandal tersebut?

13. Apa sudah jadi dengan badan-badan ini? Adakah mereka hendak menyelamatkan Dato' Sri Najib dan mereka yang terlibat atau hendak menyelamatkan Malaysia?

14. Akhirnya, adakah siasatan ini hanya sekadar satu lakonan dan sandiwara atau bagaimana?

15. Apa kesudahannya, rakyat mahukan jawapannya !

Amanah . Progresif . Peduli

‪#‎HarapanBaru‬

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH (AMAN) Negeri Perak

Dr M: Undang-undang luar tak akan sentuh PM

Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin akan dikenakan sebarang tindakan ketika berada di luar negara.

Menurut bekas perdana menteri itu, ini kerana operasi pencegahan pengubahan wang hanya bertindak terhadap "orang kecil" sahaja.

"Jika saya melakukan pengubahan wang haram, saya mungkin ditangkap. Tetapi jika anda memegang kedudukan yang tinggi, anda dikecualikan.

"Saya tak fikir masyarakat antarabangsa akan melakukan sesuatu... Jika kita mendapati terdapat wang yang boleh dipersoalkan, kita bekukan akaun tetapi mereka tidak melakukan apa-apa," katanya kepada wartawan hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai siasatan di luar negara mengenai skandal kewangan 1MDB serta individu yang dilaporkan rapat dengan Najib.

Najib kini berada di New York, Amerika Syarikat bagi menghadiri perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Harga petrol RON95, RON97 dan diesel naik 10 sen

Harga minyak petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 10 sen berkuatkuasa selepas tengah malam ini.

Menurut sumber-sumber, harga baru RON95 ialah RM2.05 seliter manakala RON97 naik kepada RM2.45 seliter.

Harga RON95 dan RON75 sekarang ialah masing RM1.95 seliter dan RM 2.35 seliter

Harga diesel pula naik dari RM1.80 kepada RM1.90 seliter, lapor Oriental Daily.

Tidak mustahil Mahathir juga akan dikenakan SOSMA...ini ulasan beliau..!!

Dr M: Saya dah tua untuk ditahan Sosma


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan beliau boleh ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir, 90, bagaimanapun berkata beliau sudah terlalu tua untuk dipenjarakan.

“Saya beliau sedia, saya terlalu tua, tidak berapa sihat dan boleh boleh berfikir dengan baik. Nyanyuk, kamu tahu?” katanya dalam sebuah forum pendidikan.

“Tetapi tiada alasan untuk orang nyanyuk ucap perkara salah,” kata Mahathir yang terkenal dengan kenyataan sinisnya.

Beliau ditanya sama ada menjangkakan akan turut ditahan seperti Datuk Khairuddin Abu Hassan, bekas ketua Umno Batu Kawan, selama 28 hari atas alasan cuba mensabotaj negara.

“Ini undang-undang, saya haru patuh. Jika saya bersalah saya harus hadapi penjara seumur hidup,” kata perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia itu.

Amanah : Tuntut kebenaran pun langgar SOSMA?

 
Penahanan Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan di bawah SOSMA dan sebelumnya bawah Kanun Keseksaan kerana memudaratkan proses demokrasi parlimen adalah sesuatu yang tidak perlu.

Ini memandangkan bahawa Khairuddin hanya ingin mendapat kebenaran dari kes 1MDB yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia.

Penahanan ini membawa implikasi bahawa undang-undang negara digunakan untuk menyelamatkan pemimpin yang korup dan bukan untuk menjaga kepentingan negara dan awam.

Kami berpendirian bahawa SOSMA adalah undang-undang yang memberi kuasa kepada panel penyiasat dan menafikan hak kepada mahkamah dalam menentukan merit pendakwaan dan pengadilan di mahkamah terbuka.

Dewan di-Raja Selangor merasa amat dukacita ke atas Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik

'Kenyataan Rahim fitnah, menghasut'


ULASAN Dewan di-Raja Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di dalam akaun Facebook beliau yang diterima pada 25 September 2015, memberi komen tentang pertukaran agama oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dewan di-Raja Selangor dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tohmahan dan fitnah berkaitan kenyataan ini yang merupakan satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

Berikut dipetik kenyataan beliau:

“Berita pertukaran agama oleh putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholikisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh Negara dan dunia.

"Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi yang menimpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope di Vatican City akan berhasil.”

Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik tersebut, Dewan di-Raja Selangor berpendapat dan merumuskan bahawa kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur-unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.

Apabila Ketua Dewan Ulama PAS sedia pertimbang keluar dari Kerajaan Selangor, Naib Presiden pula tak wala'..!!

Iskandar: Itu pandangan peribadi ketua Dewan Ulama



Kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bahawa parti itu mempertimbang keluar daripada kerajaan Selangor dikatakan hanya pandangan peribadi.

Sebaliknya, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan mereka akan terus kekal dalam kerajaan pimpinan menteri besar PKR itu, walaupun selepas Pakatan Harapan dibentuk.

“Itu pandangan peribadi, bukan pandangan PAS Selangor. Malah PAS Pusat bersetuju kita terus bersama di dalam kerajaan negeri Selangor.

“Kami di Selangor telah diarah untuk terus bersama dalam kerajaan,” kata Iskandar yang juga naib presiden PAS kepada Malaysiakini.

ADUN Cempaka itu mengingatkan bahawa Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sendiri menegaskan Pakatan Harapan tiada kena mengena dengan kerajaan negeri Selangor.

Kes Lelaki Tampar Imam Masjid Negara - 'Saya mahu jumpa imam minta maaf'

http://www.ismaweb.net/wp-content/uploads/2015/09/tampar_arab_600.jpg

"I feel guilty, I want to see imam, I want to ask sorry (forgiveness). Can you call imam to come here? I feel very guilty".

("Saya berasa bersalah. Saya mahu berjumpa dengan imam, saya mahu minta maaf. Boleh tak anda panggil imam datang sini. Saya berasa sangat bersalah").

Demikian kata-kata Shabir Ahmad Khan, 31, lelaki warganegara India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat di masjid itu dua minggu lalu.

Shabir yang berada di kandang tertuduh di Mahkamah Majistret juga bertindak menepuk pipinya sendiri beberapa kali ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Dia didakwa di atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan imam, menganggu solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas Lawatan Sosial.

Shabir, yang bekerja sebagai pemandu peribadi, pada mulanya mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan namun pengakuannya tidak diterima oleh majistret setelah dia kelihatan keliru.

Demokrasi benarkan undi tidak percaya terhadap PM, kata Dr Mahathir kepada speaker


Undi tidak percaya kepada perdana menteri adalah sesuatu yang demokratik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 September, 2015.
Undi tidak percaya terhadap perdana menteri sesuatu yang "sememangnya demokratik", kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung Aturan Mesyuarat Parlimen tidak membenarkan langkah sedemikian diambil.

Menulis di blognya malam tadi, bekas perdana menteri itu berkata, walaupun Parlimen mungkin tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan seorang perdana menteri perlu meletakkan jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Jadi, adakah speaker cuba untuk mengetepikan Perlembagaan?" soal Dr Mahathir, merujuk kepada laporan berita awal bulan ini Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya yang akan dibentangkan terhadap perdana menteri.

Dewan Rakyat bakal bersidang semula bulan depan dan ahli Parlimen pembangkang selama ini giat mendesak penggubal undang-undang di pihak kerajaan Barisan Nasional untuk menyokong mereka dalam undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini diselubungi banyak masalah, termasuk skandal kewangan yang didakwa membabitkan dirinya.

Pakatan Harapan: Empat persoalan, empat penyelesaian

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/09/Pakatan-Harapan.jpg

Saya kongsikan ucapan saya di sidang meja bulat pembangkang tempoh hari berkaitan penubuhan Pakatan Harapan supaya dapat memperdalam debat terbuka dengan lebih banyak perspektif.

Saya memberitahu sidang bahawa saya akan menyentuh empat isu klise yang kerap menjadi persoalan. Pertamanya, adakah pakatan baru itu ditubuh tergesa-gesa?

Sebenarnya, Pakatan Rakyat berakhir pada Jun 2015 walaupun sebenarnya ia gagal berfungsi untuk tempoh agak lama; setidak-tidaknya sejak krisis Menteri Besar Selangor, atau mungkin lebih awal lagi.

Jadi, sebuah pakatan perlu segera ditubuh kerana pembangkang harus bersedia dengan kemungkinan Umno menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menggantikannya dengan Datuk Seri Zahid Hamidi ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerana ada lompong besar dalam kepimpinan politik Malaysia. Lebih cepat diisi, lebih baik impaknya kepada rakyat yang mahu melihat pembangkang sebagai pengimbang kepada kerajaan Umno.

Kenakan GST pada topeng muka jerebu bagai tabur garam atas luka rakyat

http://www.roketkini.com/wp-content/uploads/2015/09/ng-sze-han-650x400.jpg

KUALA LUMPUR 29 SEPT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han menyarankan Kerajaan Persekutuan supaya memansuh cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap topeng muka jerebu.

Pada kenyataan media, hari ini, beliau berkata, topeng muka adalah keperluan kritikal berikutan negara dilanda jerebu yang bertambah buruk hingga ke tahap yang mengancam kesihatan.

Jadi, katanya, kerajaan harus bersungguh-sungguh membantu rakyat, bukan setakat menyeru orang ramai memakai topeng muka sedangkan rakyat perlu membayar keperluan itu beserta caj GST.

“Topeng muka jenis N95 contohnya, sehelai RM6 dan meningkat jadi RM6.35 selepas dikenakan GST. Ini membebankan kerana rakyat. Bayangkan kos tambahan setiap isi rumah untuk topeng muka setiap hari jika jerebu berterusan,” katanya.

Ekonomi negara: Zeti juga sudah bimbang

SUARA SORE
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/09/zeti1mdb.jpg

Kalau sebelum ini Gebenur Bank Negara Zeti Aziz selalu tampil dengan penuh keyakinan mengumumkan pertumbuhan Keluran Dalan Negeri Kasar (KDNK) dengan setiap tiga bulan sekali, atau pun diulang bila-bila masa diperlukan dengan penuh bangga, tetapi kini tidak lagi.

KDNK negara masih lagi berlegar di sekitar 4.5% hingga 5.5%.

Zeti yang sangat berhati-hati membuat kenyataan berhubung perkembangan ekonomi negara kerana suaranya sangat penting bimbang mempengaruh sentimen pelaburan, tampaknya tidak dapat terus mempertahankan "keselamatan" negara dalam aspek data ekonomi dan kewangan yang kian meruncing ketika ini.

Beliau akhirnya terpaksa juga bercakap dengan nada yang tidak menyenangkan pihak kerajaan apabila tidak dapat membohongi keadaan yang berlaku kini. Kita memahami apa dilakukan Zeti itu suatu keadaan yang sangat memaksa dirinya.

Beberapa hari lepas Zeti telah mengeluarkan kenyataan pedas dan menghiris jiwa kerajaan apabila beliau menduga kedudukan ringgit Malaysia kini yang merudum berbanding dengan mata wang asing tetap tidak akan stabil dan berada diparas rendah selagi isu 1MDB tidak diselesaikan.

Zeti secara terang-terang telah menyalakan skandal 1MDB menyebabkan pelabur kurang berminat untuk terus melabur di negara ini.

Yang dipenjara KHIR TOYO, Pengajarannya adalah untuk kita..

Shahbudin Husin,

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo akhirnya terpaksa merengkok di Penjara Kajang selama 12 bulan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak sebulat suara rayuannya untuk menukar hukuman itu kepada bentuk khidmat sosial dengan memberikan rawatan gigi secara percuma selama dua tahun.

Melalui keputusan mahkamah paling tinggi itu, hanya pengampunan Sultan Selangor saja lagi selepas ini yang dapat meringankan hukuman yang diterimanya itu.

Dengan tidur di penjara yang tidak pernah terduga olehnya, mungkin malam ini dan beberapa malam seterusnya Dr Khir agak sukar melelapkan mata atau hanya mampu berjaga sepanjang malam sambil mengenang nasib dirinya.

Sebagai manusia, memang kita bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak bersimpati pula bermakna kita sebagai manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan itu. 

Siapalah menduga daripada kedudukan yang tinggi sebagai ketua sebuah kerajaan negeri paling kaya, tiba-tiba menjadi penghuni penjara.

Namun, kita tidak boleh pula terlalu bersimpati dan kasihan sehingga menganggap perbuatan rasuah itu sebagai jenayah yang boleh dimaafkan. Dalam kehidupan dan beragama sekali pun, amalan rasuah memang amat ditegah kerana kesannya yang amat buruk kepada kehidupan serta tamadun manusia.

Anwar simbol solidariti politik Malaysia

Mohd Sayuti Omar,

RENUNGAN

Anwar menjadi lambang solidariti pembangkang.
Nafas maufakat diambil oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (kalau pakatan pembangkang itu menang) tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

Ada yang mempertikaikan tindakan itu dari segi relevannya dari beberapa perkara. Mereka menyoal apakah PH sudah tidak ada tokoh lain untuk diangkat menjadi PM selain Anwar?

Ada juga komen-komen bersifat individual meluahkan rasa muak dengan pembangkang yang tidak habis-habis untuk mengangkat Anwar sebagai pemimpin.

Tindakan itu bagi mereka seolah-olah hanya Anwar sahaja layak menjabat jawatan itu. Jelas mereka yang berperasaan begitu mereka yang tidak mengenali atau mengetahui keistimewaan yang ada kepada sosok ini kenapa beliau digilai untuk dijadikan PM walaupun beliau dihalang dengan berbagai cara dan tipudaya.

Ada juga yang secara berterus terang mengatakan Anwar sudah terlepas "puyan" (musim), tamat tempoh. Masa Anwar untuk jadi PM dalam usia selepas 70 tahun sudah terlalu lambat. Kalau PH menang pilihan raya nanti usia Anwar ketika itu sudah melebihi 70 tahun dan ia dilihat sudah tua dan letih dan tidak sesuai lagi.

Sg. Petani - Taman Jubli Perak kotor, penuh sampah sarap

Kotor, penuh sampah sarap

SUNGAI PETANI – Pusat riadah terkenal Taman Jubli Perak, di sini, tercemar dengan sampah sarap ditinggalkan pengunjung yang meraikan satu acara pada malam kelmarin.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan jam 11 pagi semalam mendapati, longgokan botol plastik, bekas polistirena, sisa makanan, lilin dan kotak sampah bertaburan di sana sini sehingga mengundang persepsi tidak sihat dalam kalangan pengunjung lain.

Rosalwati Che Nat, 32, berkata, tindakan kurang sopan sesetengah pihak menunjukkan pengunjung di bandar ini masih belum mempunyai sikap keprihatinan terhadap penjagaan alam sekitar.

“Saya lihat banyak sampah-sarap termasuk sisa lilin di merata tempat termasuk di kerusi rehat dan ruang permainan kanak-kanak.

“Ia sekali gus mempamerkan budaya tidak sihat dalam kalangan pengunjung apabila mereka dengan sengaja meninggalkan sampah-sarap di lokasi awam seperti taman ini,” katanya.

R Nagendran, 28, berkata, pihak berkenaan sepatutnya memikirkan langkah terbaik sebelum menganjurkan sebarang aktiviti terutama menitikberatkan aspek kebersihan dan keprihatinan terhadap penjagaan alam sekitar.

Rumah Adun PKR Lunas dipecah masuk tiga lelaki bertopeng

Azman Nasrudin
SUNGAI PETANI - Rumah Adun Lunas, Azman Nasrudin, di Taman Kristal, di sini, dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau, awal pagi Isnin.

Azman daripada PKR berkata, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi ketika beliau, isterinya Siti Hajar Abdullah, 42, serta empat anaknya, sedang tidur sebelum dikejutkan penyamun terbabit dan diikat serta dikumpulkan di sebuah daripada bilik rumahnya.

"Saya terjaga dari tidur selepas dikejutkan salah seorang penyamun, sambil sebilah pisau diacukan ke arah saya. Demi keselamatan saya sekeluarga, kami tidak melawan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Penyamun terbabit, katanya, melarikan komputer riba milik anaknya, tablet, telefon bimbit, sedikit barang kemas dan wang tunai kira-kira RM300.

"Sebaik sahaja keadaan selamat dan kelibat penyamun itu tidak kelihatan, saya terus ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda kira-kira 5.30 pagi, untuk membuat laporan polis," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Muhamad ketika dihubungi berkata polis sedang menyiasat kejadian itu dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...