TERKINI :

Sunday, September 27, 2015

Apabila Umno puji PAS sebab tolak untuk bersama Pakatan Harapan

Puji Pas tolak Pakatan Harapan

ALOR SETAR - Pendirian Pas tidak menyertai Pakatan Harapan dipuji kerana berpegang pada prinsip dan perjuangan parti itu, berbanding parti dalam gabungan itu yang dilihat lebih memperjuangkan kepentingan peribadi serta legasi keluarga masing-masing.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tindakan Pas disifatkan bijak dalam mempertahankan kepentingan parti dan ahlinya.

“Saya puji pemimpin Pas dalam hal ini. Ini menunjukkan pihak luar tidak boleh mempermainkan parti itu yang sudah begitu lama bertapak.

"Keputusan dibuat pemimpin Pas itu membuktikan ketegasan terhadap pendirian mereka, tidak seperti DAP atau PKR,” katanya, pada majlis Korban Perdana anjuran Umno Bahagian Alor Setar bersama syarikat Usima Group, di Taman Wira Mergong, semalam.

Menurutnya, Pakatan Harapan tanpa penglibatan Pas merugikan pakatan baharu itu berikutan Pas sudah lama memperoleh sokongan rakyat mahupun orang Melayu.

“Rakyat negara ini lebih mengenali Pas atau BN (Umno), berbanding arti baharu. Saya percaya pakatan itu tidak mampu bertahan lama tanpa Pas,” katanya.

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, PR sebelum ini dilihat berjaya kerana mendapat sokongan Pas, namun tanpa sokongan parti itu, tidak mustahil pakatan baharu itu ‘longgar’.

“Saya percaya apabila Pas tidak bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), pakatan baharu ini tidak mampu bertahan. Pas tetap dengan pendiriannya, jika tak bersetuju dengan perjuangan pakatan, parti itu rela keluar dari pakatan sebab tiada kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas tindak-tanduk PKR dan DAP sebelum ini yang banyak membuat keputusan berlandaskan kepentingan peribadi, Ahmad Bashah berkata, kedua-dua parti itu sudah lama ‘menggula-gulakan’ Pas.

“Dari awal lagi, PKR dan DAP bertindak demi kepentingan peribadi dan keluarga mereka, bukan kepentingan ramai atau ahli.

"Contohnya, DAP mahu kekalkan legasi keluarga Lim Kit Siang manakala PKR mahu legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berkuasa, yang lain digula-gulakan sahaja,” katanya.

Menurutnya, Amanah pula sekadar parti serpihan Pas ditubuhkan atas kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

“Pada mulanya memang dapat sambutan, selepas beberapa lama, akan nampaklah bibit-bibit kepentingan individu tertentu dalam parti itu.

"Mereka tubuhkan parti ini pun ada kepentingan sendiri, bukan mahu perjuangkan kepentingan orang Melayu atau Islam,” katanya.

Kerajaan Najib dalang baju merah, kata Tun M

MELAKA - Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan adalah dalang di sebalik himpunan baju merah yang berlangsung pada 16 September lalu.

Beliau berkata, sebahagian besar peserta perhimpunan tersebut terdiri daripada ahli Umno dan masyarakat Felda yang diberikan kemudahan pengangkutan serta wang saku untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Kebanyakan peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut datang dari Felda menggunakan bas kerajaan dan mereka diberi duit dan makanan. Jadi ia seolah-olah kerajaanlah di belakang perhimpunan itu.

“Hanya orang di dalam kerajaan yang boleh membenar dan menggunakan kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Human Rights Public Forum sempena United Nation’s International Day of Peace 2015 yang dianjurkan Mallaca Bar di sini, semalam.

Sementara itu, Mahathir berkata, sentimen perkauman tidak dibangkitkan dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang disertainya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat isu tersebut sengaja diwujudkan sendiri oleh kerajaan melalui himpunan baju merah.

“Saya berada di perhimpunan baju kuning itu tetapi mereka tak berkata apa-apa tentang perkauman. Mereka hanya mahukan Perdana Menteri berundur. Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, situasi negara dalam pelbagai aspek hanya akan pulih selepas siasatan terhadap 1MDB selesai.

Wan Azizah: Pembangkang tiada RM2.6b singkir Najib

Pembangkang tidak mempunyai RM2.6 bilion 'wang derma' untuk mendapatkan MP BN menyeberang dengan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berseloroh di Seberang Jaya dan berkata "pihaknya juga tidak mempunyai niat untuk membeli mereka".

"Jika kita mempunyai kuasa terhadap RM2.6 bilion, ia mungkin membantu kita, sebab itulah cara ia (berfungsi)," katanya sambil senyum sinis kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan PKR cabang Permatang Pauh pagi ini.

Azizah berkata demikian ekoran Najib yang kini berdepan tekanan besar mengenai isu sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa diterima dari penderma negara Arab tanpa dinyatakan namanya.

Wang tersebut dilaporkan disimpan dalam akaun beberapa bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013 dan Najib menegaskan wang itu tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Najib turut berdepan dengan kritikan antarabangsa dalam menguruskan firma pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wan Azizah ditanya bila pembangkang akan membentangkan undi tidak percaya bagi menyingkirkan Najib kerana kebanyakan MP pembangkang menyatakan sokongan terhadap langkah itu.

Dr Wan Azizah yang juga ADUN Kajang berkata pembangkang sedang berbincang cara terbaik untuk melakukannya, termasuk "melakukannya di luar Parlimen".

Penahanan Jamal selama semalaman sahaja bukti double standard pihak berkuasa - Peguam Hak Asasi Manusia

Pembebasan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos selepas ditahan semalaman bukti 'double standard' yang diamalkan pihak berkuasa, kata peguam hak asasi manusia Eric Paulsen, berikutan keputusan polis tidak menahan reman pemimpin perhimpunan baju merah itu.

Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu berkata, walaupun mereka sentiasa menegaskan pentingnya memartabatkan hak kebebasan bersuara, ia ada batasannya dalam keadaan tertentu, seperti dalam kes hasutan terhadap keganasan dan ucapan kebencian.

"Kami terkejut dengan 'double standard' yang terang-terangan dalam kes Umno atau personaliti pro Umno seperti Jamal dan pada waktu sama, tindakan keras diambil terhadap penentang kerajaan dan ahli politik pembangkang atas sebab yang sangat tidak kontroversi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tahanan reman yang dikenakan ke atas ahli politik pembangkang, aktivis dan penentang kerajaan yang menyertai perhimpunan aman dan ucapan tidak berbahaya sedangkan Jamal hanya ditahan 1 malam walaupun didakwa terlibat mencetuskan keganasan dan mengancam rusuhan kaum.

"Memberi layanan istimewa kepadanya tetapi memohon reman untuk rakyat yang menegakkan hak seperti (Datuk) Ambiga (Sreevenasan), Adam Adli (Abd Halim) dan Hishamudin Rais hanya memberi gambaran buruk terhadap pihak berkuasa," katanya kepada The Malaysian Insider ketika mengulas pembebasan Jamal malam tadi.

Ditanya sekiranya beliau berpendapat Jamal perlu ditahan reman, Paulsen berkata:"Jika konsisten dalam amalan diguna pakai, berdasarkan keseriusan kesalahan itu, dan lain-lain hal, ya dia sepatutnya (direman)."

Jamal ditahan pada Jumaat malam berhubung satu protes yang dikatakan akan diadakan semalam di Jalan Petaling.

Protes itu bagaimanapun kemudiannya dibatalkan atas nasihat polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainudin Ahmad berkata, Jamal ditahan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa rusuhan akan berlaku di Jalan Petaling itu.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, Jamal yang harus dipenjarakan kerana mengapi-apikan sentimen perkauman, bukannya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang ditahan selama 29 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma ) 2012 kerana membuat laporan ke atas syarikat kerajaan sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Maria berkata, Khairuddin, bekas ahli Umno yang dipecat itu, seperti ramai lagi rakyat Malaysia, hanya mencari jawapan kepada skandal sekitar syarikat pelaburan negara milik Kementerian Kewangan itu.

Selepas membuat rentetan laporan polis dengan pihak berkuasa asing berhubung isu 1MDB, Khairuddin ditahan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan selepas dibebaskan 6 hari kemudian, ditangkap semula di bawah Sosma.

Sebelum ini, ahli politik pembangkang dan aktivis ditahan reman hingga 6 hari, termasuk mereka yang ditangkap kerana merancang perhimpunan #TangkapNajib di Kuala Lumpur baru-baru ini .

"Kalaulah aktivis sosial yang lain, tentu mereka akan dihukum penjara lebih lama. Lihat saja apa yang berlaku semasa Bersih 3. Seseorang memecahkan halangan (masuk ke Dataran Merdeka) dan serta-merta ditahan," kata Maria.

Beliau berkata, Jamal seharusnya disiasat atas tuduhan melakukan "ugutan jenayah".

"Pihak berkuasa sememangnya hendak menutup mulut (Khairuddin) berbanding dengan mereka yang di belakang perhimpunan baju merah. Saya percaya perhimpunan baju merah adalah untuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan bertujuan untuk mengalihkan perhatian.

"Dan cara mereka melayan Jamal mencerminkan sentimen itu.

"Pihak polis perlu menyiasat Jamal lebih lanjut. Apa yang beliau lakukan tidak wajar. Apa pula yang dilakukan Khairuddin hingga beliau dipenjarakan? Membuat laporan polis bukan satu jenayah," katanya. – 27 September, 2015.

Kita akan teruskan hingga tamat penggal nanti - Azmin

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor kekal seperti biasa tanpa sebarang rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, ini berikutan kerajaan negeri yang ada ketika ini dibentuk selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 lalu.

“Ini adalah kerajaan yang diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU13 dan kita akan teruskan hingga tamat penggal nanti,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Qurban Perdana Menteri Besar Selangor ke Sabak Bernam sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10, Sabak Bernam, hari ini.

10 exco kerajaan negeri terdiri daripada 4 Adun PKR, masing-masing tiga daripada PAS dan DAP.

Najib perlu letak jawatan Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: PAS bertegas bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan penasihat 1MDB dengan serta-merta.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini supaya kedua-duanya tidak lagi bercampur-aduk dan pihak Kementerian Kewangan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran nasihat daripada Gabernor Bank Negara.

"Apakah Najib bimbang tanpa beliau sebagai Penasihat 1MDB mahupun Menteri Kewangan, 1MDB tidak mampu bertahan daripada siasatan yang cuba dijalankan pelbagai pihak?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Berita-berita negatif mengenai negara Malaysia terus datang berpusu-pusu sehinggakan Pengerusi CIMB, Datuk Nazir Razak melahirkan kebimbangan mengenai masalah kewangan yang sedang dialami negara.

Semalam, Moody Corp’s telah mengeluarkan satu carta perbandingan yang menunjukkan Malaysia dikategorikan di dalam ‘junk’.

Negara yang mendapat taraf ‘junk’ adalah negara yang mempunyai jurang terbesar antara penilaian rasmi kreditnya oleh agensi antarabangsa dan apa yang ditunjukkan melalui aktiviti kredit yang sebenarnya.

Dengan berita siasatan terhadap pengaliran dana haram yang dikaitkan dengan 1MDB di seluruh dunia terutamanya laporan Wall Street Journal dan New York Times, hasilnya nilai Ringgit menjunam mencecah RM4.40 kepada USD1 dan menghampiri RM3.10 kepada SGD1.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Tan Sri Akhtar Zeti Aziz berkata nilai Ringgit akan pulih sekiranya isu 1MDB dijawab dengan sepenuhnya.

Sedihnya saranan Zeti langsung tidak disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan malah dibiarkan dicemuh oleh 1MDB.

Sikap membisu Najib menonjolkan bahawa seluruh Kementerian Kewangan dan beliau tidak dapat bertindak dengan adil kerana Najib masih bertugas selaku Penasihat 1MDB.

Bahkan, ia memberikan gambaran yang sangat negatif kepada kewangan negara apabila Menteri Kewangan lebih mempercayai kata-kata satu syarikat yang dinasihati beliau daripada gabenor bank sendiri.

Oleh itu, PAS bertegas bahawa Najib perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan penasihat 1MDB dengan serta-merta supaya kedua-duanya tidak lagi bercampur-aduk dan pihak Kementerian Kewangan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran nasihat daripada Gabernor Bank Negara.

Apakah Najib bimbang tanpa beliau sebagai Penasihat 1MDB mahupun Menteri Kewangan, 1MDB tidak mampu bertahan daripada siasatan yang cuba dijalankan pelbagai pihak? - HARAKAHDAILY 25/9/2015

Pakatan Harapan langkah berani, kata Mat Sabu

SHAH ALAM - ‎Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyifatkan penubuhan Pakatan Harapan merupakan satu langkah awal dan berani yang dilakukan parti-parti pembangkang yang mahu bersatu semula untuk membentuk muafakat politik baharu.

Oleh itu, ujarnya langkah awal ini perlu diikuti dengan dialog dan perbincangan terus menerus dan serius dengan parti-parti politik yang ingin bersama Pakatan Harapan.

"Sesungguhnya rakyat mahu melihat arah tuju Pakatan Harapan  dan yang paling penting manifesto rakyat menjelang PRU14.

"Maka pandangan semua pihak termasuk NGO, orang perseorangan atau kesatuan, perlu dikutip agar manifesto yang akan dihasilkan benar-benar mantap dan dijulang secara bersama," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamat atau dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Amanah menyeru kepada "semua ahli dan penyokong dan mereka yang bersimpati", untuk terus berusaha memantapkan Pakatan Harapan dan melebarkan  pengaruh.

"... serta menyebarkan segala maklumat yang betul dalam memberi pengharapan kepada rakyat untuk membuat perubahan, terutama dengan keadaan Malaysia sekarang yang cukup parah khasnya dari sudut ekonomi dan perkauman.

"Kita juga mengharapkan semua parti-parti pembangkang yang lain dan juga NGO agar turut bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan membebaskan penderitaan rakyat  yang semakin menjdi-jadi akibat salah laku, rasuah yang menjadi budaya baharu di negara ini," katanya.

‎Pakatan Harapan ditubuhkan baru-baru ini selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Amanah sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel.

Jamal dibebaskan, ancam saman media

Datuk Jamal Mohd Yunos, orang kuat di sebalik himpunan baju merah 16 September lalu, dibebaskan alam ini dan mengancam bertindak terhadap media yang didakwa menyebabkan dia ditangkap.

Jamal berkata terdapat media alternatif yang tidak melaporkan kenyataannya secara penuh pada 23 September, yang mendorong pihak berkuasa menahannya.

“Saya sangat bersyukur hari ini tetapi bagi saya penahanan saya hari ini sangat mendukacitakan dan tidak wajar kerana penahanan saya berasaskan laporan media kurang tepat diambil 23 hari bulan lepas.

“Hanya sebahagian diambil dan dihebah,” kata pemimpin akar umbi Umno itu.

Dia berkata, keadaan itu menyebabkan keadaan tidak selesa dan kelam kabut serta menyusahkan banyak pihak.

“Saya berkali-kali tegaskan saya dikerah jadi orang tengah di Jalan Petaling ketika 16 September.

“Tetapi laporan sesetengah media propembangkang telah mensensasikan apa yang saya kata. Saya ingin beri amaran rakan media yang laporkan ini bakal hadapi tindakan tegas daripada saya,” katanya.

Jamal sekali lagi menegaskan beliau bukan penganjur yang hendak mengadakan rusuhan di Jalan Petaling.

Jamal ditahan polis semalam, dipercayai ditahan bagi membantu siasatan polis mengikut Akta Hasutan.

Jamal mendakwa pihaknya hanya menyampaikan hasrat individu yang menyebabkan suasana tegang di Jalan Petaling ketika 'Himpunan Rakyat Bersatu' berlangsung pada 16 September lepas.

Tiada perhimpunan yang dikhuatiri menyebabkan rusuhan berlaku di Jalan Petaling hari ini.

Ringgit Malaysia perlu ‘oksigen’

SHAH ALAM – Nilai mata wang ringgit Malaysia kini disifatkan berada pada tahap nazak dan perlu diberi ‘oksigen’.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehubungan itu kerajaan perlu memandang serius gesaan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan segera bagi memulihkan kembali nilai ringgit.

“Keberanian Zeti meletakkan 1MDB antara punca masalah, menunjukkan hasil siasatan Bank Negara bahawa 1MDB mempunyai kes yang perlu menyeret pihak tertentu ke mahkamah. Laporan siasatan Bank Negara berkaitan kes 1MDB telah diserahkan kepada Peguam Negara sebulan lalu tetapi masih tiada apa-apa tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut beliau, gesaan Zeti yang tidak dipedulikan oleh kerajaan menunjukkan Gabenor Bank Negara dan Bank Negara sendiri telah diketepikan peranannya untuk bertanggungjawab terhadap kawalan, pertumbuhan nilai mata wang dan ekonomi Malaysia.

“Institusi ini sudah tidak mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya pendakwaan segera terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB seperti dicadangkan dalam kertas laporan siasatan oleh Bank Negara akan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa, khususnya pelabur, terhadap Malaysia.

“Ini sekali gus akan dapat membantu memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai ringgit,” katanya.

Sebaliknya, menurut Mahfuz, apa yang berlaku ialah tindakan kerajaan, melalui polis, menahan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Langkah ini tidak membantu memulihkan nilai ringgit, sebaliknya menambahkan lagi ketidakpercayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia.

“Kejatuhan nilai ringgit berpunca daripada krisis keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap pengurusan dan kes penyalahgunaan kuasa bagi melindungi skandal kewangan negara 1MDB yang melibatkan Najib dan kini dilindungi Sosma,” katanya.

Cara China kawal wabak anjing gila

LANZHOU - CHINA. Di negara China, pihak berkuasa sanggup berbuat apa sahaja untuk mengelakkan penularan wabak anjing gila.

Kerajaan memperkenal pelbagai cara untuk mengawal wabak berkenaan termasuk membunuh anjing liar di negara itu.

Semalam, sebuah portal antarabangsa melaporkan pihak pengawal Universiti Lanzhou menanam hidup-hidup anak-anak anjing yang dijumpai di sekitar institut pengajian tersebut.

Menurut pihak universiti, langkah tersebut diambil bagi mengawal penularan wabak anjing gila yang berpotensi menjangkiti pelajar-pelajar universiti berkenaan.

Bagaimanapun sekumpulan pelajar yang mendengar khabar tersebut tidak bersetuju dengan kaedah yang digunakan oleh pengawal-pengawal universiti.

Kumpulan terbabit bergegas ke lokasi anak-anak anjing yang ditanam dan mula melakukan kerja menggali di lokasi tersebut.

Dalam jangka masa singkat, kumpulan terbabit menyelamatkan kesemua anak-anak anjing anjing ditanam.

Awal bulan ini, kerajaan pentadbiran Shandong mengeluarkan amaran untuk membunuh semua anjing yang dipelihara oleh penduduk di daerah tersebut.

Sebuah bandar di Wilayah Yunnan melaporkan lima kematian, menyebabkan kerajaan itu membunuh 5,000 anjing di kawasan tersebut.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...